Ditulis Oleh:
Azura Abdullah
https://www.facebook.com/mekzurots
April 19, 2017 2:36 PM

“Ibu tau tak dulu, kalau ibu on assignment kat luaq kami cukup takut kalau abah masak masakan Melayu. Masak western tak apa.”

“Ada sekali abah buat gulai daging. Daging keraih macam batu hahaha.”

“Kami telan juga sebab kesian abah dok susah payah masak. Takut abah marah pun ada juga,” Irfan membuka cerita sewaktu makan malam.

“Mana ada… Ok apa abah masak. Elok ja semua orang makan abah tengok,” balas suami cuba mempertahankan diri.

Hahaha… abah tak tau kami sampai nak tercabut gigi masa tu,” Irsyad pula menyerang. Pakat gelak tanda setuju dengan Irsyad. Tersengih encik suami. Kalah ler tu.

Momen indah

Apa yang saya nak kongsi di sini ialah bukan hal masak tu.

Saya nak cakap bab momen-momen indah yang tanpa kita sedar sebenarnya melekat di hati anak-anak kita. Kalau diikutkan, Irfan dah tingkatan 5, tetapi Irfan masih ingat momen-momen waktu kecil sebegitu.

Anak-anak jika mereka bercerita kembali, bermakna itulah yang memberi kesan kepada mereka. That is happiness.

“We don’t remember days, we remember moments.” -Cesare Pavese

Fasa umur

Seperkara lagi, anak-anak ini ada beberapa fasa umur. Ini saya kongsi dari perspektif saya sendiri sebagai ibu kepada 3 anak lelaki dan seorang anak perempuan, umur mereka di antara 10 tahun – 17 tahun sekarang.

Saya bukan pakar motivasi. Dulu waktu di universiti dan waktu kerja adalah bagi motivasi sikit-sikit di sekolah-sekolah.

Saya bekas jurutera, sekarang seorang surirumah yang bekerja dari rumah, tiada beza aplikasi hal keluarga samada anda bekerja atau di rumah. Percayalah, bekerja dari rumah 10 kali lebih sibuk dari bekerja di pejabat. Tahun ke 4 buat saya.

Baik, berbalik kepada apa yang saya mahu kongsikan tadi ya tentang fasa tumbesaran anak-anak.

Fasa pertama: umur 0-6 tahun

Pada fasa ini anak-anak perlu dimanjakan dan diberi kasih sayang tanpa batasan.

Formula anak-anak sangat ringkas; siapa yang banyak menghabiskan masa berkualiti dengan mereka dan sentiasa ada di kala mereka memerlukan contohnya demam, jatuh di tadika dan cikgu telefon untuk ambil, waktu sambutan harijadi – orang itulah yang dekat di hati anak-anak ketika itu. Bermainlah dengan anak-anak.

Waktu ini juga anak-anak mula ‘create emotional’ dan ‘security foundation’ di dalam diri. Rasa kasih dan selamat dengan siapa.

Kalau nenek dan atuk yang mengisi peratus momen mereka dengan banyak, neneklah orangnya yang melekat di hati.

Pada fasa ini juga anak-anak gemar untuk membantu anda seperti memasak, membasuh, mencuci, menggosok pakaian. Kanak-kanak suka menjadi orang dewasa. Biarkan.

Beri mereka peluang dan secara tidak langsung ini peluang melatih mereka. Anda perlu ketap bibir, sabar jika rumah berselerak, dapur tongkang pecah, tak apa. Percayalah, hasil lumayan nantinya.

Fasa kedua: umur 7-14 tahun

Fasa ini mula fasa menanam benih displin dan tanggungjawab seperti solat, pengurusan diri, saling bantu-membantu antara adik beradik, pengasingan tempat tidur antara lelaki dan perempuan dan sebagainya.

Dalam sesetengah aspek saya masih tradisional dalam mendidik anak. Saya ibu tebuan. Hehehe.

Sebagai contoh bagi keluarga saya, anak-anak saya membasuh dan menggosok baju mereka sendiri seratus peratus pada umur 13 tahun.

Sebagaimana saya katakan tadi, beri mereka pendedahan pada fasa pertama.

Alhamdulillah Irdina (14 tahun) dan Irsyad (13 tahun) juga sudah boleh mengambil-alih dapur saya di hujung minggu tanpa saya. Isyraf (10 tahun) masih perlu dipantau. Irfan (17 tahun) walaupun bertangan satu cekap di dapur mengalahkan saya.

Mereka gembira melakukannya dan sama-sama berekperimentasi pelbagai menu.

Secara halus aktiviti sebegini menguatkan lagi family bonding dan mengajar anak-anak tentang pelbagai aspek displin, displin masa, displin kewangan sewaktu hendak membeli barang, bertolak ansur – siapa hendak lakukan itu lakukan ini dan berbagai lagi manfaatnya.

Anak-anak juga bangga kerana anda percayakan mereka melakukan tugasan yang dilakukan oleh orang dewasa.

Fasa ketiga: umur 15-21 tahun

Ketika ini merupakan fasa remaja, jiwa memberontak. Pendekatan sebagai kawan lebih berkesan.

Banyak berbincang dan berkongsi dengan anak-anak. Mengherdik atau memarahi mereka di hadapan adik beradik atau saudara mara yang lain tidak akan membantu malah akan membuatkan mereka lebih memberontak secara diam dan penuh dendam.

Oleh kerana itulah fasa pertama dan kedua tidak boleh diambil mudah.

Apabila anak-anak tidak lagi selesa menjadikan kita sebagai tempat rujukan, tempat meluah rasa, tempat berkongsi masalah – mereka akan mula mendapatkan pihak ketiga untuk tujuan tersebut, mereka akan mula keluar rumah mencari alternatif.

Pada fasa ini juga anak-anak tidak suka diarah-arah, jika mereka mahu lakukan sesuatu mereka akan lakukannya dengan sendiri, dengan rela hati tanpa dipaksa.

Sekali lagi, fasa pertama dan kedua adalah masa untuk kita meletakkan batu asas yang kukuh untuk mereka.

Fasa keempat: umur 21 tahun ke atas

Pada fasa ini anak-anak perlu diberi kebebasan dan sepenuh kepercayaan, hanya dipantau. Asas yang kukuh pada fasa sebelumnya akan membantu membentengi kehidupan anak-anak kita. InsyaAllah.

Manfaatkan momen-momen yang ada sebelum ianya menjadi memori.

Kita sebolehnya mahu momen-momen itu bertukar menjadi memori manis buat anak-anak.

Waktu berkualiti ini kita kena cari. Hendak tunggu ianya ada entah bila.

Contohnya waktu memandu ketika menghantar dan mengambil anak pergi dan pulang dari sekolah, usah membisu sambil kepala memikirkan hal pejabat sahaja. Luangkan waktu sebegini untuk berbual dan bertanya pengalaman anak-anak seharian di sekolah.

Kongsikan juga cerita anda supaya anak-anak juga merasakan mereka sebahagian dari hidup anda dan penting untuk anda. Di hujung minggu pula carilah aktiviti yang berunsurkan ‘family bonding’ untuk mengeratkan lagi ukhuwah dan secara tidak langsung memberi ruang berlakunya interaksi secara aktif.

Anak-anak memerhati dan menghadam di antara kita ibu dan bapa samada kita memainkan peranan dengan betul.

Sekarang bukan lagi zaman di mana bapa hanya bangun angkat punggung tinggal pinggan di atas meja, hanya cuci tangan sendiri.

Itu semua zaman adat mengatasi tuntutan agama. Kesedaran agama semakin tinggi dan anak-anak kita juga mempunyai pendedahan tanpa batasan.

Jika salah seorang dari kita membebankan pasangan kita, suami tidak ringan tulang membantu isteri di rumah waima hal solat mengaji anak-anak juga dibebankan di atas bahu isteri, begitu juga sebaliknya, nantikanlah natijahnya apabila kita meniti hari tua. Kasih anak-anak akan bertukar menjadi kasihan sahaja.

Ketika itu magnet yang menarik mereka pulang ke kampung untuk menunaikan tanggungjawab mereka kepada ibubapa akan mula pudar.

Ya, ada antara anda akan berkata anda tidak mengharapkan balasan anak-anak di hari tua.

Itu saya serahkan pada anda untuk menjustifikasinya. Dari lensa saya sendiri yang Allah swt beri peluang keluar masuk kampung melalui badan NGO dan bersama team CSR (corporate social responsibility) syarikat saya bekerja dahulu, inilah dia antara puncanya ibu atau bapa terbiar, tidak terurus atau berakhir di pusat jagaan orang tua.

Ini juga antara puncanya adik-beradik bagaikan orang asing, tidak pedulikan kebajikan sesama sendiri apabila ada di kalangan masing-masing yang tidak bernasib baik, walhal adik-beradiklah orang pertama yang kalian kenal selepas ibubapa, lahir dari rahim yang sama.

Kenapa? Jawapannya ialah foundation kasih yang longlai.

Sekejap tadi baru saya terima mesej bertanyakan ada tak orang kaya sudi bayarkan yuran nursing home untuk abangnya yang buta, apabila ditanya mereka dari keluarga adik-beradik ramai tetapi yang cakna kepada abang buta hanya beliau seorang.

Fuh! Boleh tahan Mek Zurots membebel. Hanya bermula dengan bab makan. Hehehe..

Didoakan ada manfaatnya buat semua.

Sekadar berkongsi.

The best part about pictures is that even the people in the photo change, the memory it contains never will.

Nota: Saya masih perlukan tajaan 24 set kelengkapan solat. Rujuk posting sebelum ini. Nak bawa untuk asnaf di Raub nanti. InsyaAllah.

Artikel di atas disumbangkan oleh Azura Abdullah. https://www.facebook.com/mekzurots. Boleh ikuti beliau di sini.