Pada masa dulu perlaksanaan majlis perkahwinan dilakukan untuk memenuhi tuntutan agama dan adat. Akad nikah dilakukan untuk menghalalkan perhubungan antara seorang lelaki dan seorang wanita yang bukan mahram. Manakala, majlis perkahwinan atau kenduri ialah untuk mewarwarkan kepada orang ramai tentang ikatan yang sah agar dijauhi dari fitnah.

Pada masa kini, ia masih dilangsungkan untuk memenuhi tuntutan agama dan adat. Tetapi majlis perkahwinan yang diulit dengan impian bakal pengantin menyebabkan kos majlis perkahwinan menjadi semakin tinggi. Malah, ada juga pasangan pengantin yang kurang wang tapi agak “alergik” dengan konsep kesederhanaan kerana mahu jaga nama dan status di kalangan saudara mara dan jiran.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Situasi ini telah didedahkan dalam satu hasil kajian bertajuk “Impian dan Realiti Majlis Perkahwinan Orang Melayu Masakini: Kajian Kes Di Pinggir Bandar Kuala Lumpur”. Kajian ini mendapati wujud keinginan pasangan pengantin, terutama pengantin perempuan, untuk memenuhi bentuk majlis perkahwinan impian, melalui aktiviti konsumsi komoditi dan perkhidmatan perkahwinan yang disediakan industri perkahwinan.

Aktiviti konsumsi komoditi dan perkhidmatan perkahwinan yang wajib ada dalam sesebuah perkahwinan bagi menjayakan impian pengantin melibatkan 4 perkara ini; iaitu konsep dan tema perkahwinan, pakej perkahwinan, barang hantaran dan servis jurugambar perkahwinan.

1. Konsep Dan Tema Perkahwinan

Gambar: Irvan Aziz
Gambar: Irvan Aziz

Kreativiti bakal pengantin mempengaruhi konsep dan tema perkahwinan. Pemilihan warna pula biasanya berdasarkan warna kegemaran pasangan pengantin dan persembahan di majlis perkahwinan adalah berdasarkan hobi atau minat pasangan pengantin.

Bakal pengantin juga turut dipengaruhi dengan trend majlis perkahwinan semasa yang ditonjolkan di dalam majalah-majalah dan juga majlis perkahwinan selebriti dan orang ternama.

Tujuan konsep dan warna tema digunakan di dalam majlis perkahwinan:

1. Untuk majlis perkahwinan kelihatan lebih cantik dan menarik
2. Untuk mengikut trend semasa
3. Untuk mendapatkan keunikan

Ini semua bagi mencipta suasana majlis perkahwinan yang berbeza dengan majlis perkahwinan orang lain dan ia akan menjadi kenangan untuk pasangan pengantin dan tetamu yang hadir.

Sudah pasti konsep dan tema ini akan mempengaruhi tentatif dan kos majlis perkahwinan kerana semakin hebat konsep atau tema perkahwinan yang dipilih, semakin tinggi kos yang perlu ditanggung oleh bakal pengantin bagi menjayakannya.

2. Pakej Perkahwinan

Gambar: menjaringimpian.blogspot.my
Gambar: menjaringimpian.blogspot.my

Kebiasaannya butik-butik andaman menyediakan pakej perkahwinan mengikut bajet pelanggan. Dalam masa yang sama, pelanggan iaitu bakal pengantin mahu pakej perkahwinan yang boleh memenuhi konsep dan tema majlis perkahwinan yang telah dipilih, yang dapat menyesuaipadankan dengan barang-barang yang telah ada dan mahu barang dan perkhidmatan yang diperlukan untuk majlis persandingan mereka.

Selain itu, pakej perkahwinan disinonimkan dengan penjimatan kos dan masa dan memudahkan kerana semua barang dan servis yang diperlukan bagi menjayakan majlis perkahwinan berada di bawah satu bumbung.

Antara barang yang biasa disediakan dalam pakej perkahwinan ialah:

1. Set pelamin lengkap (kerusi pengantin, lampu chandeliaer, serta hiasan pelamin)
2. Sepasang baju pengantin lelaki dan perempuan lengkap dengan aksesori
3. Set tepung tawar
4. Hiasan bilik pengantin
5. Solekan dan dandanan
6. Walkways
7. Karpet merah
8. Kipas dan payung pengantin
9. Bunga tangan untuk pengantin perempuan
10. Hiasan meja makan beradab
11. Hiasan meja kek
12. Bantal tempat duduk untuk pasangan pengantin semasa upacara akad nikah
13. Pintu gerbang perkahwinan

Sebenarnya pemilihan pakej perkahwinan bukan berdasarkan bajet pengantin, tetapi ia lebih kepada memenuhi keinginan impian dan imaginasi pengantin dengan konsep atau tema pengantin yang selari agar majlis perkahwinan yang dilangsungkan akan kelihatan cantik.

Jika pakej perkahwinan lebih dari bajet, bakal pengantin akan usaha mencukupkannya. Jadi, apabila disebut soal harga mahal, ia tidak lagi jadi penghalang.

Pengantin telah menyediakan peruntukan untuk bahagian tersebut sejak dari awal walaupun perlu bersusah payah dan ada juga yang membuat pembiayaan peribadi. Yang lebih penting bagi pengantin ialah mencapai impian dan berasa kepuasan dengan hasil akhir majlis perkahwinan.

3. Barang Hantaran

Gambar: ikahwin.my
Gambar: ikahwin.my

Barang hantaran perkahwinan terdiri daripada barang-barang keperluan peribadi dan makanan ialah satu bentuk hadiah yang saling diberikan oleh pengantin lelaki dan pengantin perempuan yang dipersetujui semasa hari pertunangan atau sebelum akah nikah dilangsungkan.

Jumlah barang hantaran mesti angka ganjil, seperti 5 dibalas 7 atau 7 dibalas 9 kerana orang Melayu percaya angka ganjil mempunyai unsur kebaikan dan keberkatan, berbanding angka genap yang dikaitkan dengan unsur kejahatan dan kecelakaan.

Pada masa kini barang hantaran berjenama dipilih kerana ia adalah standard dalam majlis perkahwinan sekarang. Antara jenama yang menjadi pilihan pengantin ialah Polo, Bonia, Guess, FitFlop, Crocodile, Rayban, Fossil, Calvin Klein, Coach dan Estee Lauder.

Jika pilih barang tidak berjenama, ia boleh menyebabkan pengantin rasa rendah diri dan malu kerana barang hantaran perkahwinan ini dipertontonkan di depan sanak saudara dan jiran.

Dalam masa yang sama, ia mesti digubah cantik bagi menambah lagi seri. Barang hantaran juga jadi indikator kekayaan keluarga pengantin lelaki dan perempuan.

Pemilihan barangan hantaran oleh bakal pengantin juga dipengaruhi rakan sebaya dan pengalaman melihat majlis-majlis perkahwinan sebelum ini.

4. Jurugambar Perkahwinan

Tiada makna apabila konsep atau tema perkahwinan gah, pakej perkahwinan lengkap dan barangan hantaran berjenama jika tiada jurugambar perkahwinan di majlis yang diraikan itu. Ini menunjukkan servis jurugambar perkahwinan sama penting dengan semua perkara di atas bagi pasangan pengantin.

Mereka tidak berasa rugi membayar servis ini kerana apa yang lebih penting bagi mereka ialah setiap detik indah dan bersejarah dalam majlis perkahwinan dirakam untuk dijadikan kenang-kenangan kerana hanya memori itu yang kekal untuk ditunjukkan hingga ke anak cucu, selain ikatan perkahwinan mereka.

Servis jurugambar perkahwinan juga dianggap normal dalam sesebuah majlis perkahwinan. Orang ramai akan berasa pelik jika tiada jurugambar rasmi semasa majlis perkahwinan berlangsung. Selain itu, servis ini boleh menonjolkan rasa keagungan cinta, kasih sayang dan romatik dalam bentuk gambar dan/atau video.

Kesimpulan

Tidak dinafikan setiap orang mempunyai impian masing-masing. Tapi dalam usaha menjayakan impian itu, tidak perlu membuatkan kehidupan makin tertekan dan membelakangkan kewajipan dengan melambat-lambatkan masa diijabkabulkan kerana mengumpul wang bagi memenuhi impian majlis perkahwinan.

Ya, semakin banyak wang, semakin gah majlis seumur hidup yang boleh dibuat. Ini menunjukkan wang ringgit jadi faktor utama untuk menjayakan majlis raja sehari masa kini. Makin penting apabila ada impian yang perlu direalitikan.

Takut diumpat dan dikeji sanak saudara, jiran dan kawan-kawan jika tidak melakukan majlis perkahwinan mengikut standard masa kini turut menjadi penyebab sikap berjimat cermat semakin terhakis.

Pada pemikiran orang apa jua yang ditonjolkan dalam sesebuah majlis perkahwinan menggambarkan keupayaan kewangan pasangan pengantin. Jadi, bagi menjaga air muka dan status, majlis perkahwinan yang gah dibuat.

Maka, berlakulah situasi mengutamakan hal-hal yang remeh dalam urusan majlis perkahwinan yang akhirnya akan menjadi beban kepada pasangan pengantin, terutama yang membuat pembiayaan peribadi bagi mencapai tujuan tersebut.

Ini secara langsung menyumbang kepada berlakunya peningkatan kos perkahwinan masa kini. Malah ia turut membawa ke arah pembaziran dan perbuatan berlebih-lebihan.