Pemaju hartanah Binghatti telah bekerjasama dengan syarikat barang kemas mewah Jacob & Co untuk membina sebuah bangunan kediaman yang didakwa tertinggi di dunia — Menara Burj Binghatti Jacob & Co Residences.

Menurut Binghatti, menara kediaman itu mempunyai lebih 100 tingkat yang akan terdiri daripada kediaman dua dan tiga bilik tidur di daerah Business Bay, Dubai.

Baca Juga:

Rekaan berkonsepkan ‘hypertower’ yang didedahkan kepada dunia merupakan hasil kerjasama dengan pengeluar jam tangan Jacob & Co. Penduduk dalam komplek kediaman itu dapat menggunakan kolam infiniti yang menghadap langit Dubai serta menggunakan servis concierge dalaman yang menawarkan chef peribadi, pengawal peribadi, pemandu dan chef.

“Kami mengambil inspirasi daripada pergerakan horologi yang kompleks yang ada dalam jam tangan Jacob & Co dan kami menyepadukannya ke dalam elemen utama menara kediaman itu.

“Menara berbentuk berlian yang terletak di puncak menara itu simbolik kepada mahkota sebenar, hiasan kehalusan unik yang diilhamkan oleh reka bentuk permata yang dipotong halus Jacob & Co.

“Ini adalah puncak naratif mewah dalam pembinaan menara kediaman dan ciri khas yang menambahkan lagi kemegahan pada latar langit bandar ini,” kata Muhammad Binghatti, Ketua Pegawai Eksekutif Binghatti.

Ketinggian sebenar kediaman pencakar langit ‘Burj Binghatti’ belum diumumkan lagi. Setakat ini Menara Central Park New York memegang rekod semasa ‘bangunan kediaman sahaja’ tertinggi pada 472.4 meter. Manakala menara kediaman tertinggi di Dubai ialah ‘Princess Tower’ yang setinggi 393 meter.

Burj Binghatti Jacob & Co Residences juga akan menawarkan kelab ahli persendirian dan penthouse berspesifikasi tinggi.

Semua pihak yang berminat akan berpeluang mendaftar semasa acara yang akan diadakan pada 16 November di Dubai kelak. Pihak yang berminat sedemikian hendaklah menjalani proses pra-kelayakan untuk menilai kelayakan bagi memiliki kediaman ultra eksklusif, melalui jemputan khas sahaja.

Bangunan bertingkat tinggi merupakan hartanah yang paling bernilai di pasaran Dubai. Pada tahun lalu negara itu dilaporkan bakal membina Menara Analemma, sebuah ‘bangunan terbalik’ yang tergantung di udara. Menara tersebut digantung pada asteroid dan akan berputar dalam bentuk angka lapan setiap hari dan kembali ke tempat asal di Dubai.