Sebaik sahaja tiba di rumah, dengan muka separuh serius, terus saja beliau beritahu kami bahawa iPhone telah hilang. “Habislah, sangat berjasa iPhone tu.” Saya mula bertanya “Bila hilang?”

Keadaan begitu betul-betul pernah berlaku pada rakan kami, iaitu di laluan Tokyo Metro, Tozai Line. Ketika waktu puncak, kepadatannya menghampiri 200% daripada kapasiti normal sesebuah gerabak. Beliau bercakap lagi, “Aku tak pasti bila, selepas sampai rumah alih-alih poket aku rasa ringan. Aku terus check dan rasa tak ada.”

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →
peak hour
Kredit gambar: Japan Guide

“Ok, kita cuba tengok dulu bendanya ada di mana. kita buka komputer dan cari lokasi iPhone sekarang.” Menerusi software yang digunakan, kami dapat kenal pasti ia berada di sekitar stesen Ueno (tempat pelancong Tokyo selalu berjalan-jalan).

“Eh, macam mana boleh ke situ pula?”
“Kau guna Tozai Line, alih-alih berpindah ke Ueno Line?”
“Tak apa, kau pergi sekarang.”

Dia terus balik ke bilik sebentar untuk bersiap. “Ok, aku keluar terus dari rumah.”

Setelah tiba di sana, kawan kami beritahu bahawa iPhone sudah dapat diterima semula. Alhamdulillah, kami berada dalam kelompok 82% orang yang bernasib baik mendapat semula smartphone yang hilang. Itu data daripada Tokyo Metropolitan Police Department 2017.

Saya bertanya “Jadi macam mana iPhone boleh bergerak ke Ueno station?”
“Ada orang yang jumpa di penghujung Tozai Line, kemudian bagi kepada staf tren.”

Sikap Jepun begitulah. Mereka jarang mengambil barang-barang berharga sesuka hati, sebaliknya memulangkan kepada pihak berkuasa. Dalam kes kami, iPhone itu terjatuh di ceruk tempat yang orang ramai tidak sedar. Ia kekal di situ sehinggalah di stesen terminal (stesen akhir).

Begitulah sikap orang Jepun. Sikap Jepun sebegitu juga ada ditunjukkan dalam 6 contoh keadaan ini:

1. Ketika berlaku gempa bumi besar pada 2011. Ia melibatkan penemuan duit dalam jumlah yang sangat banyak. Orang yang menjumpainya tidak mengambilnya malah mengembalikan kepada pihak berautoriti.

2. Kanak-kanak pun diajar untuk pulangkan duit walaupun duit syiling 10 yen (RM0.42). Menurut seorang bekas anggota polis yang mengajar di Kansai University of International Studies, Toshinari Nishioka, beliau memberitahu walaupun jumlah yang dipulangkan macam itu sedikitnya, anggota polis akan berkata “Awak telah membuat kerja yang hebat.” Kemudian 10 yen yang hilang itu polis menguruskan menggunakan prosedur SOP yang sama.

duit
Duit bernilai RM400 diletak atas lantai begitu sahaja

3. Kalau guna servis beli makanan bento Uber Eats, orang Jepun boleh dengan selambanya letakkan duit kertas nilai terbesar 10,000 yen (RM400) di depan pintu rumah. Nanti apabila rider Uber Eats sampai, dia boleh ambil duit itu dan letakkan duit baki semula di tempat sama.

4. Orang Jepun tak ramai pasang gril besi pada tingkap dan pintu masuk utama rumah. Kunci utama hanya 1 atau 2 saja. Kalian kalau guna perkhidmatan rumah konsep guest house ala-Airbnb nanti, tengoklah silap-silap nanti tuan rumah hanya bagi password saja untuk buka pintu rumah. Tak perlu pasang mangga bagai.

5. Orang Jepun sudah terbiasa letak smartphone mereka di poket belakang. Bukan tu saja, kalau kita jalan di tempat-tempat sibuk macam tengah bandar Tokyo, boleh ternampak iPhone mereka tertonjol di belakang poket orang Jepun. Bila-bila masa saja orang boleh seluk iPhone tanpa masalah.

6. Kalau nak ‘cop’ tempat duduk di tempat food court, orang Jepun boleh dengan bersahaja letak beg mereka di tempat duduk yang mereka mahukan. “Wah, agak cuak kalau kita nak buat macam itu.”

Bagi yang datang ke Jepun, kalian pun boleh terkejut dengan beberapa budaya Jepun yang pelik yang lain, kiranya macam culture shock. Nak tahu? Nanti ada masa saya cerita lagi.

Pada tahun 2016, Tokyo Metropolitan Police Department, bahagian Lost and Found Center menguruskan duit tunai sebanyak 3.76 bilion yen (RM145,874,177). Duit itu duit yang hilang ya, sama ada tercicir atau tertinggal di mana-mana tempat. 3/4 dari jumlah wang itu dapat dipulangkan semula kepada pemilik. Kalau hilang beg duit, data memberitahu ia mudah untuk dipulangkan semula kepada pemilik asal.

Ini pula kisah tentang antara lokasi Lost & Found terbesar di Jepun. Baca lagi pada pautan di bawah.

Budaya ‘Lost & Found’ Yang Hebat Di Jepun

14 ‘Hidden Gem’ Wilayah Tohoku Di Utara Jepun Yang Pelancong Malaysia Perlu Cuba

Khidmat ‘Kekasih Sewa’ Yang Normal Serta Sah Di Jepun