Kasihan juga pada Genting bila dapat tahu 20th Century Fox World yang sedang dibina kini dalam bahaya akan dibatalkan oleh Disney dan Fox. Sebagai seorang yang pernah membesar dengan pergi ke taman tema di Genting, saya tahu bagaimana perit rasanya bila Genting merobohkan taman tema asal mereka semata-mata untuk membina 20th Century Fox World.

Tak dapat merasa lagi dah naik kereta antik keliling tasik.

Mengikut pada saman US$1 bilion yang difailkan oleh Genting, punca pembatalan adalah kerana Disney tidak mahu imej ‘family friendly’ mereka tercemar kerana mempunyai kaitan dengan sebuah taman tema yang dibina berdekatan kasino.

Disney membeli Fox pada 27 Julai 2018 sedangkan perjanjian untuk taman tema ditandatangani oleh Fox dan Genting pada tahun 2013. Sekarang ianya jadi kes pemilik baharu tidak berminat untuk meneruskan projek sedia ada yang telah dipersetujui sebelum ini.

BACA: Pemegang Saham Disney Dan Fox Bersetuju Dengan Tawaran RM289 Bilion

Kalau benar Disney atau Fox mahu tarik diri, aku rasa ia lebih daripada sekadar mahu menjaga imej ‘family friendly’ Disney. Ada dua lagi sebab utama lain yang agak ketara.

Pertama, tidak mustahil Disney sebenarnya mahu melindungi taman tema Disneyland mereka daripada pesaing baharu (Disney mempunyai 3 Disneyland di Asia).

tip-ke-disneyland-shangahai-1
Salah satu taman tema Disneyland di Shanghai, China

Kedua, meneruskan 20th Century Fox World bermakna memberikan Genting hak milik menggunakan beberapa jenama filem seperti Ice Age, Life of Pi, Planet of the Apes dan Alien vs. Predator, dimana tarikan yang sebenarnya boleh digunakan oleh Disney di Disneyland milik mereka sendiri pada masa hadapan.

Dan jika betul 20th Century Fox World dibatalkan, tamparan paling besar adalah buat industri pelancongan negara. Jangan lupa, 20th Century Fox World ini adalah last resort kita selepas kalah dalam perebutan taman tema lebih 10 tahun lalu.

Ya, sebenarnya Malaysia dari dahulu lagi bersaing dengan negara lain dalam usaha menarik taman tema antarabangsa untuk dibina di negara kita. Idea Disneyland ini pernah dibangkitkan di Perak dan Selangor sebelum bermulanya peralihan milenium.

Bila Disney mengumumkan bahawa mereka akan membina Disneyland kedua di Asia, Malaysia antara yang bersaing dengan Hong Kong dan Singapura untuk mendapatkan projek tersebut. Kita gagal, sampai pernah dibuat orang satu lawak kenapa Disney pilih Hong Kong dan bukannya Malaysia.

Tokyo Disneyland
Kredit gambar: Tokyo Disneyland

Pada tahun 2005, Pak Lah selaku Perdana Menteri pergi ke Jepun untuk bertemu dengan pengurusan Tokyo Disneyland. Pada masa itu, Malaysia menawarkan tanah di Nusajaya, Johor untuk projek Disneyland dengan nilai pelaburan sebanyak RM2 bilion dan peluang pekerjaan untuk 20,000 orang.

Ketika itu, Hong Kong Disneyland baru sahaja dibuka dan kita berharap sangat Disney akan memilih Malaysia selepas Hong Kong. Sayangnya pada tahun 2009, Shanghai terpilih sebagai lokasi Disneyland ketiga di Asia.

Persaingan menjadi lebih kritikal buat Malaysia dalam industri pelancongan apabila jiran selatan kita (bukan Johor), iaitu Singapura memulakan ofensif untuk menjadikan negara mereka destinasi pelancongan baharu. Selepas ‘meniru’ Malaysia dengan menganjurkan perlumbaan Formula 1 pertama mereka pada tahun 2008 sehingga hampir menjadikan Sepang tidak relevan.

universal-studio

Pada tahun yang sama juga, Singapura memulakan projek pembinaan Universal Studios Singapura, yang merupakan gantian untuk kegagalan mereka menarik masuk Disneyland. Tapi Universal Studios pun tak kurang hebatnya, dan taman tema yang dibuka pada tahun 2010 di Singapura itu adalah yang kedua di Asia selepas Jepun.

Kita kalah pada Hong Kong, dan kemudian kita kalah pada Singapura.

Apa jadi pada cadangan pembinaan taman tema di Nusajaya?

Rezeki Malaysia datang akhirnya apabila Legoland pertama di Asia dan ke-6 di dunia siap dibina pada tahun 2012. Barulah kita boleh berbangga berjaya membawa masuk sebuah taman tema antarabangsa untuk menarik pelancong ke Malaysia.

LEGOLAND

Cuma, Legoland adalah toy inspired theme park dan berbeza dengan Disneyland atau Universal Studios yang lebih merupakan movie inspired theme park. Atas kertas, Legoland punya prestij adalah kecil berbanding Disneyland dan Universal Studios yang lebih gah.

Tuah kita akhirnya datang apabila Fox, sebuah konglomerat media merasakan mereka perlu mempunyai taman tema sendiri sebagaimana Disney ada Disneyland dan Universal ada Universal Studios. Selepas menjelajah mencari lokasi berpotensi, Malaysia akhirnya menjadi pilihan apabila Fox dan Genting bersetuju membina Fox World pertama di dunia di Genting Highlands.

Pecah tanah bermula seawal 2013 dengan pembinaan dijangka selesai 2016. Tapi kelewatan memaksa pembukaan ditunda sehingga 2018 dan seterusnya melanjut ke tahun 2019 atas sebab-sebab tertentu.

Sebab-sebab tertentu itu menjadi nyata hari ini apabila Disney mengambil alih Fox dan kini meletakkan nasib taman tema Fox World di hujung tanduk. Semua ini berlaku selepas Genting merobohkan taman tema asal mereka sendiri.

Kesudahannya, kita masih ketinggalan di belakang Hong Kong dan Singapura dalam perlumbaan taman tema dan saya pasti mereka pun senyum lebar sekarang.

Nak harap Movie Animation Park Studio (MAPS) di Perak? Dengar cerita yang itu pun nyawa-nyawa ikan nak tutup dah, chor!

Muhammad Najib
Baru balik dari Hong Kong Disneyland