Wabak adalah penyakit yang paling ditakuti di dunia. Ia mampu menghapuskan ratusan juta manusia jika tidak dihalang atau dibendung dengan langkah-langkah yang proaktif. Wabak ini akan menyerang mangsa dengan beberapa simptom atau gejala awal sebelum ia merebak menjadi kumpulan yang besar.

Pada abad ke-17 di Eropah, pakar perubatan atau ‘doktor wabak’ adalah barisan hadapan yang bertanggungjawab untuk membasmi wabak. Mereka akan datang dengan pakaian khas tetapi ‘mengerikan’ – menutup seluruh tubuh dengan pakaian berwarna hitam dan memakai topeng dengan reka bentuk paruh burung.

Alasan mereka adalah untuk mengelak daripada dijangkiti dengan wabak semasa melakukan pemeriksaan ke atas mangsa.

Individu yang bertanggungjawab mereka suit khas ini adalah Charles de Lorme, seorang doktor yang telah berkhidmat dengan institusi diraja Eropah pada abad ke-17. Beliau juga pernah berkhidmat untuk Raja Louis XIII dan Gaston d’Orléans, putera Marie de Médici.

Charles menyifatkan pakaian doktor wabak hadir dengan ciri-ciri khas seperti kot dilindungi dengan wangian lilin, seluar yang disambung dengan but, baju yang terselip ke dalam serta topi dan sarung tangan yang dibuat daripada kulit kambing.

Paul_Fürst,_Der_Doctor_Schnabel_von_Rom_(coloured_version)
Wikipedia

Ia juga hadir bersama tongkat kayu untuk tujuan menunjukkan ke sesuatu kawasan atau memeriksa pesakit tanpa perlu menyentuh mereka. Ia juga digunakan untuk menghalau orang.

Tujuan asal pakaian ini digunakan ketika itu adalah bagi melindungi diri daripada miasma – dianggap sebagai punca utama penyakit ini sebelum ia disangkal oleh pakar perubatan. Mereka percaya bahawa wabak ini mampu merebak melalui udara. Wangian pula dianggap sebagai alat yang mampu untuk melumpuhkan wabak tersebut dan dalam masa yang sama dapat melindungi si pemakai.

Doktor wabak akan mengisi topeng mereka dengan 55 jenis herba dan bahan lain seperti serbuk daging ular, kayu manis atau madu. De Lorme menganggap bentuk paruh burung panjang pada topeng tersebut mampu untuk memberikan masa yang cukup sebelum udara itu sampai ke hidung dan paru-paru si pemakai. Selain itu ia juga mampu untuk mengelak dari bau busuk mayat.

Kostum ini juga menjadi popular sehingga digunapakai oleh Commedia dell’Arte, atau lebih dikenali sebagai ‘komedi Itali’. Ia adalah persembahan teater lucu yang dilakukan oleh pelakon profesional. Ia juga digunakan sehingga sekarang semasa Karnival Venice di Itali.

Walaupun pakaian ini dilihat menyeramkan, tetapi ia adalah salah satu cara yang dilakukan oleh pakar perubatan ketika itu bagi melindungi diri mereka dari terkena wabak. Set pakaian perlindungan diri atau PPE masih belum wujud ketika itu, jadi reka bentuk oleh Charles ini dianggap ikonik dan melangkaui zaman.

Untuk bacaan lanjut mengenai situasi COVID-19, klik pautan di bawah.

Pereka Tempatan Radzuan Radziwill Dipuji Bantu Hasilkan PPE Buat ‘Frontliners’

Doktor Yang Dilarang Sebar Kes COVID-19 Kini Terima Penghargaan Tertinggi Kerajaan China

Bersendirian Tanpa Pelawat, Doktor Ini Kongsi ‘Perjalanan Sunyi’ Pesakit COVID-19