Saya rasa orang Melayu dahulu cukup genius. Bahkan, pensyarah saya pun cakap Rumah Melayu dinobatkan antara architecture terbaik di dunia. Wow kan?

Jadi, disebabkan saya sangat suka dengan rekaan Rumah Melayu, izikan saya berkongsi sedikit ilmu. Kalau ada yang kurang, mohon tambah ya.

S10
HYPE
Rakam Video Dan Terus Sunting, Ini Kelebihan Samsung Galaxy Note10 Untuk Anda Yang ‘On The Go’
Baca lagi →

1. LALUAN ANGIN

Rumah Melayu 1

Perasan tak, bila kita balik ke kampung, rumah kayu ini sejuk saja. Nak-nak lagi pada waktu tengah malam. Pehhh, kalah rumah berhawa dingin. Merekot kesejukan kalau tak ada selimut.

Sebabnya, rumah kayu ada banyak laluan angin. Papan lantai rumah ada sedikit ruang. Atas tingkap ada lubang angin. Bumbung pula kebiasaannya berlapis. Kalau tidak pun, mesti ada lubang angin.

Kenapa? Sebab haba (angin panas) bergerak dari bawah ke atas. Bila ada banyak lubang angin, haba ada laluan untuk keluar. Sebab itu, kalau rumah ada siling tinggi rasa kurang panas berbanding dengan rumah bersiling rendah.

2. PINTU MASUK LELAKI LAIN, PEREMPUAN LAIN

rumah melayu 2

Masa saya kecil-kecil dulu, bila ikut mak pergi kenduri di kampung, orang perempuan mesti masuk ikut pintu tengah atau pintu dapur. Saya jadi pelik. Macam tak adillah, sebab ayah masuk ikut pintu depan.

Rupanya, pengaruh Islam bukan setakat pada agama saja, bahkan dalam kehidupan seharian orang Melayu itu sendiri.

Sebab itu ada 2 pintu. Biasanya ruang anjung atau serambi, ruang untuk orang lelaki berbual-bual. Orang perempuan pula bersosial sebelah dalam rumah; bahagian dapur atau rumah ibu. Rumah ibu ni biasanya bahagian tengah rumah dan sedikit luas. Kalau tengok cerita drama, biasanya mak-mak terlantar sakit di ruang rumah ibu inilah.

3. RUMAH TINGGI

rumah melayu 4

Pernah terfikir tak kenapa rumah kampung ini tinggi? Ada banyak faktor sebenarnya.

Rumah kampung dulu tak ada pagar. Masa dahulu, orang lalu celah-celah rumah kalau hendak ke kedai atau surau. Cuba bayangkan kalau kita tak dapat kawal mata, mahunya kita ‘skodeng’ rumah orang lain. Atas sebab itu jugalah, kenapa rumah kampung biasanya tinggi-tinggi.

Selain itu, nak elak binatang buas atau liar masuk ke dalam rumah dan juga faktor iklim kita iaitu musim hujan yang kadang-kalanya menyebabkan banjir.

Lagipun, ruang bawah rumah boleh dijadikan tempat simpanan barang. Macam stor.

4. KIBLAT LURUS

Bila saya balik kampung Mak atau Ayah, nak cari kiblat cukup mudah. Bentang saja sejadah, tegak dan lurus.

Biasanya bahagian depan dan belakang rumah menghadap arah Utara Selatan. Manakala bahagian kiri kanan rumah menghadap Timur Barat. Secara tak langsung, rumah menghadap kiblat dan laluan angin (cross ventilation). Sebab itu kalau duduk di serambi, sedap ditiup angin sepoi-sepoi.

Orang dahulu, bukan setakat bahasanya indah. Semuanya berseni. Bahkan susun atur rumah pun bermaksud.

Ini sajalah yang saya boleh kongsi. Jenuh jugalah nak ingat kembali apa yang saya study dulu. Dengan harapan, dah tua nanti merasa duduk kampung ada kebun.

Manalah tahu kan. Gambar ihsan daripada Google.

Nazia Suhaimi
Belajar architecture dulu tapi sangkut

Artikel di atas disumbangkan oleh Nazia Suhaimi. Beliau merupakan pengajar di Kelas Smartphoto. Boleh ikuti beliau di sini.

Anda Mungkin Suka