Pasti anda sudah tahu tentang kes kemalangan lori terbalik yang berlaku di Kampung Tawang, Bachok, Kelantan baru-baru ini. Kemalangan tersebut tular kerana ada pihak yang mengambil muatan susu tin berkenaan tanpa izin dan menyebabkan pemilik lori berkenaan, Azizan Zainuddin, 57 terpaksa menanggung kerugian hampir RM120,000.

Azizan sendiri turut merayu penduduk kampung yang ‘terambil’ susu tin berkenaan untuk memulangkannya kembali. Pada mulanya, timbul kekeliruan apabila ada pihak mendakwa pemilik barang itu memberi kebenaran untuk mengambil susu terbabit. Namun itu hanyalah khabar angin. Anda boleh menonton temu bual bersama pemandu lori berkenaan di sini.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

https://www.youtube.com/watch?v=_hEvhYuojek

Sehubungan dengan insiden berkenaan, tular pula satu video di China di mana insidennya hampir sama dengan kemalangan di Kelantan ini tetapi dengan pengakhiran yang berbeza.

Berdasarkan video yang dikongsikan oleh China Global Television Network (CGTN) ini, kemalangan yang melibatkan lori bermuatan air soda ini berlaku di persimpangan sebuah lampu isyarat di China. Dapat dilihat air soda bertaburan di atas jalan raya dan pejalan kaki yang menyusuri jalan tersebut membantu dalam mengalihkan air-air tersebut.

Lebih menarik, tiada langsung pejalan kaki yang ‘terambil’ air soda yang jatuh dan bawanya pulang ke rumah. Dilaporkan tidak ada satu botol air botol pun yang hilang daripada lori tersebut.

Disebabkan ianya berlaku di China, terdapat 3 kemungkinan besar mengapa berlaku perbezaan daripada sikat penduduk awam di China ini.

1. Sistem Kredit Sosial di China

Sistem kredit sosial ini adalah satu sistem baharu yang diperkenalkan oleh kerajaan China untuk ‘mengawal kelakuan’ rakyatnya. Sistem ini akan diperkenalkan sepenuhnya menjelang tahun 2020.

Apa sebenarnya sistem kredit sosial ini? Secara ringkas, ianya adalah satu sistem penilaian sikap setiap rakyat China. Jadi, setiap tingkah laku baik mereka akan diberi markah. Apa kepentingan markah ini? Markah tinggi akan memudahkan mereka berurusan dengan kerajaan, menjalankan bisnes, menginap di hotel ternama dan banyak lagi. Jika kredit sosial mereka rendah, mereka kemungkinan besar akan dimasukkan dalam senarai blacklist.

Jika sudah disenarai hitam, sukar untuk individu berkenaan untuk ke luar negara serta berurusan dengan pihak bank sebagai contoh. Dalam kes lori terbalik ini, mereka tahu ada kamera yang akan merakam aksi mereka. Jadi, semuanya membantu dengan harapan wajah mereka dirakam untuk meningkatkan point kredit sosial mereka.

2. Propaganda media

China Global Television Network (CGTN) boleh dikatakan merupakan CNN versi negara China. Disebabkan ada segelintir rakyatnya yang ‘memburukkan’ nama China di luar negara (terutamanya pelancong), jadi ini salah satu cara mereka menyebarkan feel good stories yang berlaku di China.

Dengan cara ini, mereka dapat memberitahu dunia bahawa tidak semua rakyatnya berkelakuan buruk. Mereka juga sedang menangani masalah ini dengan sistem kredit sosial yang telah pun diperkenalkan.

3. Rakyat China memang berhati mulia

Jangan ‘pukul rata’ mengatakan rakyat China semuanya bermasalah kerana setakat tahun 2018, populasi penduduk China adalah melebihi 1.3 bilion. Walaupun 1 peratus penduduknya yang bermasalah, ianya sudah cukup ramai.

Masih ramai rakyat China yang berhati mulia dan tahu hak mereka. Mereka tahu, walaupun ada barang yang tercicir di atas jalan, barang berkenaan bukan hak mereka untuk ambil dan simpan. Ianya boleh dibuktikan dalam video yang ditularkan.

Ini kemungkinan yang ada untuk insiden kemalangan botol soda di China. Diharap kita boleh mengambil iktibar daripada dua kejadian ini. Kejadian yang berlaku tempoh hari di Kelantan mungkin berpunca daripada salah faham selepas ada yang menyamar jadi tuan punya susu dan ‘memberi kebenaran’ untuk ambil sebahagian susu berkenaan.

Jika berlaku lagi kemalangan sebegini di masa akan datang, mohon jangan ambil barangan tersebut kerana barangan tersebut tetap bukan hak kita.