Semalam telah viral satu video sekumpulan pelakon teater ‘Kembang Layarku’ di salah satu saluran televisyen tempatan yang memaparkan salah satu babak lakonan dalam teater tersebut. Video tersebut telah menjadi tular akibat gerak tari yang dipamerkan oleh pelakon dianggap sebagai bahan jenaka oleh orang ramai.

Sesetengah orang ramai yang tidak peka dengan ilmu kesenian lebih-lebih lagi dengan lakonan teater telah memberi komen negatif kepada 3 individu yang dikenali sebagai anak didik Fauziah Nawi.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Seorang pengguna Facebook, Syed Nasroon Syed Ishak yang juga merupakan seorang penggiat seni karikatur tampil memberi perkongsian mengenai pengalaman beliau dalam bidang kesenian yang terkait dengan situasi tersebut. Berikut merupakan pendapat beliau.

Hari ini telah viral satu video memaparkan 3 individu yang sedang asyik menari di dalam sebuah program bual bicara pagi ‘Selamat Pagi Malaysia’ di RTM1.

Apabila video ini tular, video ini menjadi bualan yang agak hangat sehingga menerima pelbagai respon dan kritikan telah dilemparkan oleh para netizen. Ada yang puji, tapi kebanyakannya menunjukkan rasa tidak puas hati dan mengeluarkan kata-kata berbaur negatif seperti mabuk ketuk, budak raver dan pelbagai lagi kata-kata yang kesat.

Secara jujurnya, saat pertama kali saya menonton video itu, saya pun tergelak sama. Bagi saya normal buat ‘orang baru’ seperti saya. Saya hairan. Saya terasa tertanya-tanya apa yang mereka buat ini? Adakah sengaja ‘memperbodohkan diri’ dikhalayak secara langsung? Saya tidak puas hati. Saya cuba cari daripada sumber yang lain, dan hasilnya saya jumpa video itu versi penuh.

Setelah ditonton, barulah Saya tahu. Oh, mereka sedang buat persembahan teater rupanya. Kemudian saya fikir semula, ‘Eh, apa yang mereka persembahkan itu salahkah dari sudut undang-undang seni teater?’ Saya kaku. Saya tak ada jawapan untuk itu.

Akhirnya, saya terfikir satu pengalaman aku sendiri yang mungkin aku boleh kaitkan sendiri dengan isu ini. Tentang seni karikatur. Saya pernah dengar beberapa hamba Allah ini kata, ‘Apa benda ni, muka senget benget, macam bodoh je. Tak sama pun.’ Komennya tentang seni karikatur.

Antara karikatur penulis yang menerima kritikan netizen. Sumber: Syed Nasroon Syed Ishak

Apabila wujudnya orang awam begini, saya terpaksa telan sahaja. Bukan apa, aku cuba positifkan diri, mungkin dia kata begitu kerana dia tidak faham tentang apa itu seni karikatur dan konsep karikatur itu sendiri. Mungkin dia tidak ada ilmu tentangnya, dan mungkin juga dia tidak pernah diberi pendedahan tentang apa itu karikatur.

Jadi, disini saya rasa adalah sangat tidak adil jika aku pun kutuk-kutuk mahupun memperlekehkan individu di dalam video tular itu, sebab saya tidak punya ilmu dalam bidang teater itu sendiri. Memang tidak ada. Maka saya diam sahajalah. Saya rasa saya tiada hak mahu merendahkan mereka. Saya tidak arif dalam bidang itu.

Mungkin ada di sini yang ada ilmu dalam bidang teater ini boleh tampil dan menjelaskan pada aku yang memang sifar ilmu ini, adakah apa yang mereka persembahkan itu salah dalam sudut undang-undang teater? Jika ianya tidak salah, tidak perlukah kita melabelkan mereka sebagai ‘bebal’ atau ‘bodoh’.

Bagi saya, seni itu terlalu luas dan banyak cabangnya. Persembahan teater itu sendiri ada seninya yang tersendiri. Bagi saya, hormatilah seni orang lain. Kita bukan main marah, sentap, kecil hati bila orang kutuk seni kita kan? Kalau kita mahu orang hormat seni kita, kita perlu hormat seni orang lain juga, meskipun berlainan cabang. Tidak perlu merendah-rendahkan seni orang.

Saya pun pernah buat silap satu ketika dahulu dengan cara merendahkan orang lain. Namun, semakin hari kita semakin nampak silap kita. Jangan pernah penat perbaiki diri.

Penulis mengaku pada mulanya beliau juga tercuit hati apabila pertama kali menonton video tersebut. Oleh kerana rasa ingin tahunya, beliau berusaha untuk mencari video penuh bahawa sedutan video tersebut sebenarnya adalah sebahagian daripada babak teater.

Saudara Syed Nasroon juga pernah menghadapi situasi ini apabila karya karikatur beliau dikritik oleh orang ramai yang tidak begitu peka dengan seni dan konsep karikatur itu sendiri. Beliau mengakhiri post tersebut dengan mengatakan bahawa adalah tidak adil jika kita mengkritik persembahan berkenaan tanpa memahami konsep sebenar sesuatu kesenian.