Pernah tak apabila anda berada di kedai jam dan waktu yang dipaparkan pada jam tersebut menunjukkan tepat jam 10:10? Bukan sahaja di kedai, malah jika anda lihat pada iklan promosi di pelbagai platform bagi jam tangan juga kebanyakannya telah ditetapkan pada waktu ini.

Untuk menjawab persoalan mengenai perkara berkenaan, jarum jam yang diletakkan pada waktu 10.10 ini sebenarnya ada kaitan dengan penampilan atau lebih tepat lagi kedudukan logo pada jam yang dipamerkan.

Pembuat-pembuat jam ini difahamkan berpendapat jarum yang diletakkan di kedudukan waktu 10.10 tadi akan memberikan ruang kepada logo jenama mereka untuk tampak lebih cantik dan lebih sesuai untuk dipamerkan kepada pelanggan.

Namun begitu, berbeza dengan pengeluar-pengeluar jam yang lain, syarikat teknologi Apple yang mengeluarkan Apple Watch telah menetapkan waktu seminit awal di paparan jam mereka untuk tujuan pengiklanan dan promosi, iaitu pada jam 10:09 dan 9:41.

Perkara ini secara tidak langsung menimbulkan persoalan dalam kalangan pengguna dan pemerhati yang tertanya-tanya apakah sebab sebenar jenama dari Amerika Syarikat itu tidak hanya mengikuti apa yang telah dilakukan pengeluar-pengeluar jam yang lain sebelum ini.

Mengapa 9:41 dan 10:09?

apple-watch-4
Sumber: Steve Blank

Teori paling popular seperti dilaporkan Business Insider adalah kerana ia dikatakan sinonim dengan waktu pelancaran model pertama iPhone oleh Steve Jobs pada tahun 2007.

Dalam acara berkenaan, Jobs telah melancarkan model iPhone pertama pada jam 9:41 dan sehingga kini ia masih difahamkan menjadi salah satu teori yang paling kuat mengatakan kenapa jam di Apple Watch ini ditetapkan pada waktu berkenaan.

Tidak sahaja menggunakan paparan jam 9.41 seperti yang dinyatakan tadi, namun Apple juga mengambil pendekatan berbeza berbanding sebahagian besar pengeluar jam yang lain apabila tidak menggunakan tetapan 10.10 tetapi sebaliknya mereka memilih 10.09.

Untuk jawapan kepada mengapa mereka memilih 10.09 ini pula, ia dipercayai berlaku kerana Apple difahamkan menginginkan kelainan seperti yang dicadangkan oleh Dave Mark di portal The Loop.

“Saya rasa perkara ini mempunyai kaitan dengan simetri iaitu mengenai perincian dan bukan mengenai jenama Apple berkembang lebih awal dari jenama yang lain.

“Jika jarum menunjukkan jam 10:10, maka jarum panjang akan menghalang 1/6 antara 10 dan 11 pada permukaan jam.

“Sekiranya jarum pendek berkedudukan tepat pada jam 2, jarum panjang dan pendek tidak akan kelihatan seimbang. Jika terletak pada 10:09 maka kedudukannya adalah lebih simetri.

“Perkara tersebut lebih kedengaran seperti logik Apple bagi saya,” kata beliau.

Menguatkan lagi teori yang mengatakan Apple menginginkan sesuatu yang berbeza daripada jam berjenama yang lain adalah pandangan daripada portal Business Insider yang terdahulu menjelaskan pemilihan waktu 9.41.

Menurut laporan daripada portal berkenaan, pemilihan 10.09 berbanding 10.10 itu melambangkan hasrat dan kenyataan daripada Apple yang ingin berada di hadapan berbanding dengan pengeluar-pengeluar jam lain.

Pemilihan waktu ini juga adalah unik kepada Apple sepertimana pemilihan unik tersendiri yang dimiliki pengeluar-pengeluar jam berjenama dunia seperti Rolex, TAG Heuer, TIMEX dan Bell & Ross.

Sebagai contoh, Rolex mengekalkan keunikan paparan jam mereka untuk dipromosikan dengan waktu 10:10:31, TAG Heuer dengan 10:10:37 dan Apple pula kekal unik dengan 10:09:00 atau 10:09:30.

Secara mudahnya, pemilihan waktu yang awal seminit ini secara tidak langsung menunjukkan mereka berada selangkah di hadapan berbanding jenama-jenama lain selain mengekalkan keunikan mereka yang tersendiri.

Walaupun tiada kenyataan rasmi dan konkrit mengenai pemilihan waktu oleh Apple ini namun diharapkan dengan penjelasan dan maklumat-maklumat yang telah dibekalkan ini akan dapat menjawab sedikit sebanyak persoalan di sebalik pemilihan waktu jam yang sedikit berbeza daripada jenama-jenama lain.

Tahukah anda  Apple baru-baru ini juga dilaporkan akan membekalkan bateri yang lebih kecil pada model mereka yang akan datang iaitu iPhone 13? Baca lebih lanjut mengenainya di pautan di bawah. 

Apple Dijangka Guna Bateri Yang Lebih Kecil Pada iPhone 13

Pengguna Kecewa Hadapi Masalah ‘Paint Chipping’ Pada iPhone 12

Malaysia Antara Negara Termurah Untuk Dapatkan Apple iPhone 12