Nota Editor: Penulisan ini ditulis oleh Tuan Syamsul Adlan Mahrim, seorang ‘Strategic Consult Coordinator’. Ilmu ini berguna untuk memahami manusia dengan cepat dan pantas. Ikuti penulisan ini di bawah.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

4 Temperament Manusia

Sebelum ini saya tulis berkenaan 4 perangai manusia. Masih ingat lagi satu ketika dahulu saya dijemput oleh kaunselor Universiti Malaya untuk berkongsi tentang 4 Temperament ini dihadapan pelajar-pelajar kaunseling. Saya juga pernah berkongsi tentang 4 Temperament ini dalam satu kursus pegawai unit khas Bank Negara di Agrotech, Ulu Langat.

Apakah itu temperament?

Temperament adalah perangai, behaviour, atau sikap semulajadi manusia.

Apakah istimewanya ilmu 4 Temperament ini?

Keistimewaan ilmu ini ialah:

1. Memudahkan komunikasi sesama kita.

2. Kita akan lebih mudah mengenali seseorang sepintas lalu walaupun tidak pernah berjumpa dan tidak pernah bercakap dengan mereka.

3. Kita sudah bersedia dengan sikap mereka yang positif atau yang negatif; dengan ini, kita terima mereka seadanya.

4. Jika dalam bidang jualan (sales), kita tahu pintu-pintu buying decision mereka.

5. Jika dalam bidang kepimpinan, kita boleh jangka gaya kepimpinan yang akan mereka bawa; justeru itu, kita boleh letakkan ruang yang sesuai untuk mereka.

6. Jika dalam bidang perubatan, kita boleh tahu organ-organ kritikal mereka yang cenderung sakit; dengan ini pencegahan awal boleh dilakukan.

7. Jika dalam bidang strategi, kita boleh tahu gaya strategi mereka.

8. Daripada gaya mereka bercakap, bertindak, berfikir, gaya hidup (lifestyle) dan tingkah laku yang ditunjukkan kita boleh tahu apakah temperament mereka.

9. Dan macam-macam lagi.

Sekilas ikan di air, sudah kutahu jantan betina. Sekilas kau tunjukkan wajah di profil Facebook, sudah ku tahu apa temperamentnya.


Temperament 1: Rohani

Tahap pertama dalam 4 temperament ialah apa yang disebutkan sebagai tahap Rohani.

Rohani = angin = syariat

*Di sini saya hanya lebih ceritakan daripada sudut positif sahaja berbanding sudut negatif.

Orang rohani adalah orang yang suka ikut peraturan. Mereka biasanya takut langgar undang-undang. Kalau mereka mahu lakukan sesuatu yang melanggar undang-undang, mereka akan mudah rasa bersalah.

Jiwa mereka halus dan sensitif. Mereka peka pada sekeliling dan mudah menyesuaikan diri. Mereka suka berkongsi tentang pandangan dan idea mereka pada orang lain.

Mereka ini juga pada asasnya ialah jenis orang yang lurus, jujur dan amanah. Mereka ini juga orang yang lurus bendul kadang-kadang.

Mereka mementingkan adab dan tatasusila dalam berbicara. Mereka sukakan seni. Gaya mereka berfikir lebih kepada visionaries, abstrak dan spekulatif. Ini gaya berfikir otak kanan.

Gaya kepimpinan mereka tegas. Mereka bersifat ersatif dalam berpendapat dalam masa yang sama boleh terima pandangan orang lain.

Cara mudah mengenali mereka sekali imbas ialah pada rahang yang bersegi dan tulang yang panjang-panjang (lihat gambar).

Mereka mudah naik angin tak tentu fasal dan mudah pula reda anginnya. Mereka mudah bad mood secara tiba-tiba dan boleh reda tidak lama kemudian.

Mereka tidak tetap pendirian dan mudah dipengaruhi jika kena gayanya.

Mereka bersifat empati tetapi tidak semestinya bersimpati.

Fizikal mereka sangat lemah. Daya tahan tubuh juga lemah. Mereka mudah dihinggapi penyakit berjangkit. Mudah demam dan mudah pula sembuh.

Mereka mudah goyah dalam membuat keputusan, jadi mereka perlukan penyokong yang ikhlas di sisi mereka.

Tubuh badan fizikal mereka tidak stabil. Kadang-kadang berdiri pun tidak betul, seolah-olah senget sebelah.

Pemikiran mereka lebih berbentuk intuitive.

Jika bercakap dengan mereka, berterus teranglah. Mereka tidak faham bahasa berlapik-lapik.

Mereka mudah teruja pada sesuatu perkara yang menyeronokkan.

Organ kritikal mereka ialah di bahagian kepala, leher hingga ke bahu.

Mereka adalah seorang perancang yang baik.

Mereka adalah people person dan mudah bersosial. Mereka juga agak persuasif dalam komunikasi.

Antara figura terkenal dengan temperament ini ialah Angelina Jolie, Faizal Hussein, Steve Jobs, Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari, Maksim dan Yanni.


Temperament 2: Emosi

Emosi adalah tahap kedua dalam 4 temperament.

Emosi = Api = Tariqat

Orang yang berciri emosi ialah yang paling bijak dan romantik jika dibandingkan dengan temperament yang lain.

Mereka ini mudah tersentuh jiwanya dan juga sensitif. Mereka juga mudah bersimpati pada orang lain.

Mereka juga sangat penyabar. Dalam berkata-kata, mereka suka cakap berlapik. Jika mereka suka atau benci pada seseorang, adakalanya mereka sukar untuk berkata secara terus terang sebaliknya mereka meluahkan perasaan mereka secara indirect.

Ini membuatkan mereka bengkek jika orang lain tak faham akan apa yang mereka cuba sampaikan. Jika mereka marah atau takut, mereka boleh kawal perasaan itu dalam dada mereka. Tapi awas kalau mereka meletup.

Jika lelaki, mereka bersifat kebapaan. Jika wanita, mereka bersifat keibuan. Gaya berfikir mereka adalah kebanyakannya dalam domain emosi.

Mereka adalah golongan yang sangat pemurah dan kembang tangan. Mereka pandai cari wang dan memang rezeki mereka mudah; sesuai dengan sifat kemurahan mereka.

Pemikiran mereka dinamik. Kalau anda mati kutu dan buntu, mintalah pandangan mereka. Ada saja cara-cara dan idea jalan penyelesaiannya.

Cara pembelajaran mereka lebih kepada sintesis segala ilmu yang telah mereka pelajari. Mereka memudahkan apa-apa yang sukar, complicated. Mereka menguraikan apa yang berselirat. Mereka ringkaskan apa yang detail. Hakikatnya mereka tak suka pada detail.

Mereka sukakan keindahan alam. Mereka pandai menghiburkan diri sendiri jika mereka bosan.

Daripada segi kepimpinan, mereka yang paling lemah. Sukar nak menegur orang sebab tak sampai hati.

Pernah satu ketika waktu kem motivasi pelajar sekolah, seorang pengetua sekolah (ciri emosi) bertanya, “Macamana saya nak berikan arahan dan teguran pada cikgu sekolah?”

Saya menjawab, “Puan mungkin sukar untuk melakukan secara terus, tapi puan mempunyai kemahiran dan kreativiti mencapai apa yang puan mahu secara indirect. Gunakanlah kemahiran itu.” Beliau tersenyum.

Mereka ini memang amat bijak orangnya. Mereka mampu menjadi perancang di sebalik tabir atau think tank. Mereka mampu jadi pencatur pada satu-satu peristiwa yang berlaku.

Mereka sangat setia dalam hubungan sesama insan. Jika tuan puan mempunyai rakan seperti ini, jangan sia-siakan mereka.

Mereka sukakan kehidupan yang berorientasikan kekeluargaan.

Mereka sanggup berkorban demi kepentingan orang lain.

Salah satu ciri-ciri tipikal orang emosi ialah gaya mereka yang spontan berfikir. Idea spontan tanpa perancangan. Dalam kebanyakan kes mereka tak begitu gemar dengan perancangan. Biarlah idea itu datang spontan dan mereka lakukan terus.

Organ tubuh mereka yang kritikal ialah di bahagian dada dan jantung. Jangan biarkan mereka ketawa berlebihan kerana mereka boleh sesak nafas.

Mereka mampu pendam perasaan dan sembunyikan perasaan sebenar daripada diketahui oleh orang lain. Mereka juga adalah ‘pelakon’ yang baik.

Jika mereka takut, mereka boleh kawal perasaan takut itu daripada wajah namun dalam hati, Allah saja yang tahu.

Ciri-cir ketara fizikal mereka yang memiliki temperament emosi ialah muka yang bulat dan dada yang bidang (lihat gambar).

Antara figura yang mempunyai ciri-cir ini ialah Oprah Winfrey, Allahyarhamah Dato Sharifah Aini, Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Ustazah Nor Bahyah dan Steve Wozniak (co-founder Apple Inc).


Temperament 3: Mental

Tahap ketiga ialah Mental. Ini adalah golongan ahli fikir. Gaya berfikir mereka dalam bentuk analitikal dan kritikal.

Istilah lain bagi Mental ialah Compliance. Apabila mereka dapat satu-satu maklumat, mereka tidak terus terima sebaliknya mereka akan menilai semula dan cuba comply dengan info-info dan fakta-fakta yang berkaitan.

Mereka akan fikirkan logik dan rasional sesuatu maklumat. Orang mental memang kuat berfikir. Secara amnya, mereka tak mudah terima sentimen.

Mereka memang golongan intelek. By default, mereka adalah seorang yang ragu-ragu dan was-was terhadap satu-satu info. Oleh kerana bentuk pemikiran mereka lebih kepada analisa dan kritis, mereka lambat membuat satu-satu keputusan.

Adakalanya melampau-lampau mereka berfikir sehingga sampai ke satu tahap, mereka sendiri yang keliru tentang apa yang difikirkan.

Golongan mental juga adalah think tank yang baik. Jika mereka tak berpuas hati dalam memikirkan satu-satu masalah, mereka akan terbawa-bawa hingga ke tempat tidur. Maka, terkebil-kebil biji mata itu hingga sukar nyenyak tidurnya.

Organ kritikal mereka ini ialah di bahagian sistem penghadaman termasuk colon, perut, hati dan pankreas. Cara mudah untuk mengenali mereka ialah apabila kita bersama, mereka suka memberikan komen tanpa diminta.

Contohnya, ketika kita bersama menaiki kereka di lebuh raya, mereka suka mengomel, “Ish.. kenapalah lampu jalan ni diletakkan macam ni,”. Ketika menonton TV, “…apalah punya drama. Tak logik langsung! Ada ke patut.”

Jika mereka bahasakan orang lain, kata-kata yang keluar daripada mulutnya perghh..!!! Menusuk-nusuk dikalbuku, sakitnya tu di sini.

Daripada segi fisiologi, cara mengenali mereka ialah matanya yang bundar, adakalanya gigi di bahagian hadapannya (rahang atas) terkehadapan sedikit dan punggungnya yang ….. (sambung sendiri).

Jika tuan puan ingin menjual sesuatu kepada mereka, tunjukkan fakta yang berkaitan selain daripada manfaat produk dan servis anda. Mereka tertarik kepada fakta maka fakta adalah pintu masuk ke minda bawah sedar mereka sebelum membuat keputusan membeli.

Tak perlu berbahas dengan mereka. Jika dah terjebak dan mereka tak mahu kalah, jawablah dengan soalan. Soalan-soalan yang betul akan membuatkan mereka berhenti bercakap dan memikirkan tentang jawapannya.

Jika anda mempunyai satu-satu idea yang baik, tanyakan kepada mereka untuk dianalisa dan dikritik. Berhati-hati dengan kritikan mereka supaya tidak membunuh idea anda itu. Ambil kritikan yang membina sahaja.

Contoh figura yang memiliki karakter ini ialah Ziana Zain, Roslan Aziz, Nicolas Cage dan Ustaz Azhar Idrus.


Temparemant 4: Fizikal

Nama lain bagi temperament ini ialah Dominance.

Ini adalah personaliti yang mantap. Keputusan mereka adalah tegas dan sukar diganggu gugat. Pendirian mereka teguh dan tetap.

Mereka adalah pemimpin yang baik dan berkarisma. Pandangan mereka tajam kerana mereka teliti dan terperinci apabila memahami sesuatu isu.

Karakter mereka ekstrim dan mudah untuk dikenali. Jika mereka kata bahawa mereka berani, bermakna mereka memang benar-benar berani. Jika mereka takut, bermakna mereka benar-benar takut.

Saya masih ingat sewaktu menghadiri program motivasi dalam aktiviti night walk. Saya lihat seorang pelatih wanita (temperament fizikal). Ketika aktiviti masuk ke hutan, keadaan ketakutannya masyaAllah, wajah pucat, sambil berjalan berpegangan erat rakan pelatih.

Ketakutan ini bukan dibuat-buat tetapi memang benar. Dalam masa yang sama, ada pelatih yang mempunyai temperament yang sama kelihatan sangat berani. Sambil masuk ke hutan tengah malam, boleh buat gurauan cerita hantu di bawah satu pokok besar. Saya pula yang cuak. Huhuu..

Gaya pemikiran mereka ialah logikal dan analitikal namun lebih kepada action dan result oriented. Mereka hanya akan buat keputusan berdasarkan info yang lengkap.

Mereka tidak suka berspekulasi bahkan mereka bukanlah spekulator yang bagus. Namun begitu sekiranya mereka berbakat dalam spekulasi, andaian mereka sering tepat.

Mulut mereka ‘masin’. Andaian mereka tidak kosong tapi berdasarkan fakta yang telah diperolehi.

Dalam kes kreativiti, mereka paling rendah tahap kreativiti. Dalam kebanyakan kes, mereka hanya melaksanakan aktiviti yang sudah sedia ada sahaja. Mereka bukan initiator yang baik seperti temperament rohani tetapi mereka adalah pelaksana dan finisher yang baik.

Mereka sangat fokus; jika melakukan sesuatu perkara, mereka akan lakukan sehingga selesai.

Jika lelaki, orangnya segak dan kemas bergaya. Jika wanita, orangnya anggun dan pesona.

Bentuk fisiologi mereka adalah yang paling sempurna. Baik rangka atau saiz dan susunan otot, semuanya seimbang. Wajahnya taklah bulat sangat, tidak bersegi sangat; sedang-sedang saja – just nice.

Oleh kerana tenaga mereka yang kuat dan endurance yang tinggi, mereka mampu bekerja dalam jangkamasa yang lama. Mereka boleh tahan jika kurang tidur. Mereka memang tahan lasak dan mampu buat kerja berat.

Daya tahan tubuh mereka sangat baik; mereka sukar sakit. Tetapi sekali mereka sakit, keadaannya teruk dan agak sukar sembuh.

Sekali mereka bahasakan orang, bahasanya kasar walaupun taklah menusuk kalbu; tapi terasa juga pedihnya.

Organ paling kritikal bagi mereka ialah tulang, urat, saraf dan otot. Jika mereka sakit jantung, degupan jantung berhenti serta-merta seperti cramp.

Jika tuan puan ingin berjual beli dengan mereka, jangan lupa sediakan soalan yang lengkap. Mereka susah nak percaya pada orang, tetapi sekali mereka dah mula percaya, akan sampai bila-bila.

Untuk menghadapi orang yang dominance, kita juga perlu berwatak dominance. Ini dinamakan teknik mirroring (yang ini cerita lain kali).

Figura terkenal mempunyai temperament fizikal ialah Tun Dr Mahathir Mohammad, Datin Seri Tiara Jacquelina Abdullah, George W Bush, Sultan Muhammad Al Fateh dan Rosyam Nor.

Semoga anda mendapat manfaat daripada penulisan ini.

BACA: Sikap Lelaki Ini Telah Melancarkan ‘Chain-Reaction’ Yang Panjang Dan Wajar Dicontohi

BACA Lagi: Perkara Penting Usahawan Melayu Perlu Ambil Berat Ketika Berhutang

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram