Setelah sunyi sekian lama, semalam stadium kembali dipenuhi penyokong Harimau Malaya. Satu atmosfera yang lama dirindui. Paling kurang 70,000 penyokong berada di stadium dan jutaan menyaksikan perlawanan secara langsung di kaca TV. Kita menang dan layak ke separuh akhir dengan berbaki satu perlawanan.

Bersorak sorailah penyokong seluruhnya. Semuanya baik sehinggalah berlaku satu kejadian memukul yang entah akal manusia mana mampu terima. Sekurang-kurangnya dua penyokong Myanmar telah dibelasah. Dikhabarkan seorang darinya dah lembik nyawa-nyawa ikan dan dibawa ke hospital oleh seorang penyokong Malaysia.

20992582_1415797068457569_4192443826068748952_n
Sumber: Retro Bola Sepak

Manakala aku melihat sendiri dengan mata aku seorang lagi penyokong Myanmar yang berlumuran darah di kepala terbaring dibantu penyokong Malaysia. Dia keseorangan masa tu. Dibantu penyokong kita dalam 20-30 orang. Punyalah marah dan geram aku masa tu, emosi bercampur aduk. Sedih melihat manusia berperangai binatang.

Selepas beberapa jam dapat berita yang mereka ini dipukul oleh sekumpulan penyokong Malaysia yang entah apa tujuan tak pasti. Ada kata kerana nak merompak. Bayangkan 30 orang kejar empat orang dan dua orang dipukul tanpa belas? Allahu, kau ingat ni benda biasa-biasa ke?

Menurut kawan aku, salah seorang yang dibelasah teruk tu datang dengan seorang perempuan (mungkin isteri), depan mata dia isteri meraung-raung minta bantuan. Sedih tahu. Sebagai penyokong bola sepak aku terfikir sejenak, ini mungkin terjadi pada sesiapa. Tak aku, kau, atau mereka tidak kira masa tempat atau hari. Haruskah kita diamkan kekejaman ini berlaku dek kerana hanya sebiji bola?

21034606_1415797048457571_1461374397077702681_n
Sumber: Retro Bola Sepak

Ada seorang lagi kawan aku melihat dengan mata sendiri ada beberapa orang penyokong Malaysia yang saja-saja mencari pasal dengan penyokong Myanmar semasa perjalanan keluar dari stadium. Kenapa ada orang-orang macam ni yang dilahirkan ke muka bumi? Adakah tuhan sengaja menguji kita dengan manusia sebegini?

Logiknya takkan lah penyokong Myanmar ni tak mampu berfikir nak mengejek penyokong kita dulu. Masuk rumah orang ni, diorang pun tahu nak jaga diri.

“Ala brader, dekat Eropah sana diorang ada hooligan, biasalah tu”

Eh brader, kau nak ikut orang Eropah tu kenapa? Kau tu agama pun Islam, warna kulit pun coklat kadang-kadang hitam. Tak sama langsung. Negatif orang Eropah laju sahaja kau nak ikut. Positif orang Eropah habis kau bungkus-bungkus buang dalam jamban rumah kau.

Contoh perbuatan hooligan yang berlaku di Eropah

Orang Eropah tengok bola, duduk tempat masing-masing. Kau tak nak ikut pula. Sibuk bersidai sana-sini, duduk dekat tangga menyusahkan pergerakan orang lain. Hal ni kau ikut siapa? Orang Eropah tengok bola tak pula terkinja-kinja nak masuk padang lepas perlawanan, kau tak nak ikut pula? Jangan cakap hal sampah lagi, kulit kuaci kau tu. Asap rokok belum cerita lagi. Ikut Eropah jadah apa gitu?

“Padan muka, tulah buat lagi Rohingya” komen netizen prihatin dekat facebook.
“Kakakaka mampuslah kau” kata si kaki troll pula.

Ni aku nak tanya, apa beza mereka yang pukul penyokong Myanmar semalam dengan Junta? Takde tuan-tuan. Sama jahat, sama bangsat. Belasah orang lemah yang tak mampu melawan. Lagi bangsat di sini mungkin kerana negara ini bukan negara yang berteraskan kekejaman. Kalau berani lawan lah one by one. Jadi lelaki sebenar. Eh brader, perempuan pun bergaduh one by one sekarang tau. Masuk MMA bergaduh sakit-sakit dapat duit. Kau bergaduh semalam dapat apa? Bangga?

Come on aku nak puji siapa kalau tak tahu siapa yang memukul. Macam mana kau nak rasa berbangga sebab kami tak tahu kau siapa. Haaaa marilah mengaku. Kami netizen nak puji. Dapatlah kau berbangga serta bermegah diri.

Implikasi kejadian ni biasanya bukan kena pada mereka yang melakukannya. Tapi orang lain. Dimasa depan, ia akan menjadikan penyokong Malaysia yang ke luar negara rasa tidak selamat. Mereka yang buat hal ni duduk mengangkang je depan tv sambil update status facebook sama ada memaki atau memuji pasukan negara pada masa tu. Kalau tak cerita hal menyokong bola, rakyat Malaysia yang bercuti di Myanmar juga akan menerima kesan dan akibat segelintir penyokong kita yang otaknya letak di tapak kaki.

Ya benar yang melakukan semalam mungkin tak sampai 1% pun dari mereka yang berada di stadium. Tapi mereka inilah yang menjadi masalah kepada majoriti. Ibarat kanser, jika tidak dirawat diperingkat awal ia akan merebak dan membunuh seluruhnya. Jahat, sama jahat macam kanser cuma dalam kes ini akibatnya bukan ditanggung mereka. Tetapi orang lain.

Menjadi matlamat Sukan SEA untuk mengeratkan hubungan silaturrahim antara negara anggota. Malangnya lain pula yang berlaku dalam dua tiga hari ni. Apa susah sangat ke pergi stadium, tengok bola, sokong, sorak, menang atau kalah balik dan teruskan kehidupan seperti biasa. Yang sibuk anjingkan negara orang aku tak sentuh lagi ni.

20988140_1403559343074159_5059294830416383443_o
Sumber: FAMalaysiaOfficail

Sukan adalah ejen penyatuan, bukan perpecahan. Mungkin golongan samseng ni tak mampu menghayati mesej sebenar dalam sukan. Ya, orang-orang macam ni eloknya jangan tengok atau menyokong pasukan dalam apa-apa jenis sukan. Tinggal sahaja di hutan, bergaduh dengan beruang untuk berebut madu. Masa tu baru lah tahu siapa paling kuat. Nak suruh gaduh dengan harimau macam tak sama level pula.

Menjadi lumrah manusia yang hitam itu akan dilihat terlebih dahulu. Jangan nafikan. Macam tu juga dengan kejadian semalam. Tentu akan menjadi isu di media-media Myanmar. Tidak kurang oleh penyokong-penyokong Myanmar. Ia akan bersemarak untuk seketika.

Persoalannya sampai bila mentaliti ini akan berterusan? Sampai bila penyokong ‘setia’ nak merendahkan martabat dan mentaliti mereka sendiri? Hari-hari marah ahli politik memalukan negara kononnya, sekarang siapa pula nak disalahkan?

Tak malu ke brader?