Ada seorang kawan pernah berkata, keraguan hanya akan mati melalui pertanyaan. 

Mentega Terbang, karya Khairi Anwar saya tonton pada hari Sabtu minggu lalu. Waktu Lembah Klang diduga dengan banjir kilat, saya dan seorang teman sempat berjumpa dengan Aisyah (Syuma Salihin). Watak penting dalam Mentega Terbang yang berumur belasan tahun dan masih bersekolah. Pada umur begitu dia diduga dengan ibunya (Nik Waheeda) yang sakit merana akibat kanser dan bila-bila masa sahaja boleh dijemput dengan kematian. Manakala Abahnya (Firdaus Karim) yang liberal dan bersikap terbuka dengan apa sahaja persoalan. Kesannya, Aisyah mula ragu pada sekeliling dan persoalan besar yang bermain di fikiran anak muda ini adalah mengenai kehidupan selepas mati.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Adakah wujud hidup selepas mati? Jika wujud, bagaimanakah bentuknya? Adakah kehidupan selepas mati bergantung pada baik buruk kita di dunia? Bagaimana rupanya syurga dan apakah rasanya neraka? Atau adakah wujud satu agama yang benar dan bagaimana seseorang tahu itu adalah kepercayaan yang betul?

Bagi menjawab keraguannya, dia mula mengembara ke satu agama ke agama yang lain. Dari Kristian ke Judaism, lalu dia berangkat ke Hindu. Dalam perjalanan, Aisyah berjumpa Uncle Kasim (Khairunazwan Rodzy), Suresh (Arjun Thanaraju), Auntie Esther (Shyamala Kandapper) dan Milo. Mereka dan seekor anjing ini turut membantu Aisyah dalam membina pandangannya tentang bagaimana manusia beragama bekerja. 

Aisyah dipotretkan sebagai anak muda yang penuh dengan tanda soal di atas kepala. Dia mahu tahu, kemana ibunya akan pergi selepas mati. Adakah akan bangkit seperti jasad di dunia atau menjadi rama-rama yang bebas terbang ke mana sahaja.

Aisyah dalam Mentega Terbang yang ditulis oleh Khairi, Arjun Thanaraju, Visshnu Varman, and Ti Teng-Hui adalah cerminan bahawa itulah orang muda. Mereka akan bertanya, lalu bertanya lagi dan tidak akan puas pada satu pertanyaan. Walaupun jawapannya kadang-kadang sudah terang lagi bersuluh. Rasa tidak puas selalu ada. Ini adalah fasa di mana otak anak muda sedang berkembang, kata Profesor Sarah-Jayne Blakemore dalam salah satu siri TedTalk. 

Beberapa tahun lalu, sewaktu melawat teman bernama Ayays di Jogjakarta. Dia pernah cakap, jadi dewasa penat. Kadang-kadang ada soalan yang mahu ditanya, tetapi takut dipandang bodoh. Melihat Aisyah dan mengenang Ayays, membuka mata bahawa menjadi muda dan belasan tahun adalah nikmat yang paling padat. 

Disebabkan itu, apabila salah satu babak di hujung cerita, di mana Abah memberi peluang kepada Aisyah keluar dari kepompong dan meneroka dunia luar. Ia memberi makna yang kuat bahawa anak muda seharusnya aktif. Tidak boleh duduk setempat, perlu keluar dan mengembara. Perlu bertanya banyak soalan. Perlu mencari setiap jawapan. Kerana keraguan tidak akan terjawab hanya pada satu tempat dan tidak akan dapat dilihat pada satu pandangan. 

Cerita kecil Aisyah tentang ibunya yang merana akibat kanser dan menunggu masa untuk dijemput tuhan dimainkan dengan ringan dan tidak terlalu berat. Persoalan besar yang bermain di atas kepala Aisyah pula dipertontonkan dengan pengembaraan beliau dalam membaca dan melihat orang-orang disekeliling. Di babak-babak akhir pula, pengarah memilih untuk menutupnya dengan hormat dan meminta penonton untuk mencari sendiri jawapan yang dilontarkan oleh Aisyah. Kata teman yang ikut menonton, Mentega Terbang buat dia rasa dekat dengan diri dia sendiri.

https://www.instagram.com/p/CXVWdmbpNan/

Bagaimanapun, ada sedikit rasa tidak puas apabila menonton Mentega Terbang. Terdapat beberapa babak yang terasa lama dan dialog-dialog yang mungkin boleh dikurangkan. Sebagai contoh, babak di mana Aisyah melakukan carian di Google mengenai penyakit ibunya selepas itu penonton diberitahu pula mengenai perkara sama menerusi dialog di antara Aisyah dan Suresh. Selain itu, laras bahasa yang digunakan juga terasa seolah-olah menonton teater. Ini mungkin terjadi disebabkan pengaruh pengarah yang mempunyai pengalaman yang luas dalam teater. Namun untuk cubaan pertama, ia adalah hasil yang baik dan boleh diperkemaskan lagi.

Mentega Terbang karya Khairi Anwar adalah wayang kecil dengan persoalan yang besar. Bukan berkisar tentang cerita kehidupan selepas mati sahaja. Tetapi ia juga berkisar tentang tugas anak muda untuk mengembara ke setiap keraguan yang tercetus oleh rasa ingin tahu. Tidak pasti bila lagi Mentega Terbang akan ditayangkan. Tetapi jika pihak produksi membuka tayangan khas di masa hadapan, jangan lepaskan peluang untuk tonton Mentega Terbang.

Tidak puas hati dengan respon yang pelbagai, ini ‘review’ penuh filem Wira. Untuk bacaan lanjut, klik pautan di bawah.

Tidak Puas Hati Dengan Respon Yang Pelbagai, Ini ‘Review’ Penuh Filem Wira

PASKAL: The Movie Jadi Filem Melayu Dengan Rating Tertinggi Di IMDb

Ketua Suruhanjaya Penyiaran Indonesia Dakwa Upin & Ipin Adalah ‘Alat’ Propaganda Dari Malaysia