Walaupun fungsi RFID itu untuk melancarkan aliran trafik di plaza tol, namun oleh kerana terdapat kekurangan dalam pelaksanaannya telah menyebabkan pengguna rasa kurang senang dengan teknologi itu.

Pada pagi tadi Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi telah bertemu dengan wakil-wakil dari Touch n’ Go, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan PLUS bagi mendapatkan maklumat jelas mengenai isu RFID.

Baca Juga:

“Berdasarkan rungutan yang banyak diterima, rata-rata pengguna transaksi ini mengeluh mengenai kekurangan laluan transaksi RFID yang menyebabkan kesesakan teruk di plaza tol.

“Isu keselamatan juga turut dibangkitkan di mana pengguna jalan raya mempersoalkan kedudukan laluan RFID di plaza tol yang berubah-ubah yang telah menyebabkan kemalangan,” petik kenyataan rasminya di Facebook.

Hasil pertemuan pagi tadi, Menteri Kerja Raya mengarahkan tindakan diambil secepat mungkin yang menjurus kepada penyelesaian masalah di samping memastikan keselamatan semua pihak terjamin.

Tambah beliau lagi, pihak PLUS Expressway Berhad sudah bersetuju untuk menambah lorong RFID demi keselesaan pengguna. Buat permulaan, sebanyak 12 lorong akan ditambah selewat-lewatnya pertengahan April ini.

“Perincian lokasi lorong yang akan ditambah dan lain-lain perkara berkaitan akan turut diumumkan hari ini,” kata Datuk Seri Alexander.

*Ikuti Facebook dan Instagram VOCKET CAR CLUB untuk ketahui perkembangan dan isu semasa automotif dari dalam dan luar negara.