Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengambil maklum penggunaan ganja untuk tujuan perubatan di negara ini. Memetik laporan Code Blue, akta sedia ada yang mengawal ganja dan produk sampingannya di Malaysia tidak melarang penggunaan ganja untuk tujuan perubatan. Produk yang mengandungi ganja yang digunakan untuk tujuan perubatan boleh diimport dan digunakan di Malaysia jika produk tersebut mematuhi keperluan undang-undang.

“Justeru, sekiranya terdapat pihak yang mempunyai bukti saintifik yang mencukupi untuk menggunakan ganja (rami) untuk sebarang tujuan perubatan dengan mengambil kira aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan, maka permohonan untuk mendaftar produk ganja untuk tujuan perubatan boleh dikemukakan kepada DCA (Pihak Berkuasa Kawalan Dadah) untuk dinilai dan didaftarkan di bawah Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 untuk dipasarkan di Malaysia,” kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam jawapan bertulis parlimen kepada Syed Saddiq.

Sebelum ini, melalui laporan Awani, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Abdul Rahman telah menyarankan kepada kerajaan Malaysia mengenai penggunaan ganja bagi tujuan perubatan sebagai salah satu ubat alternatif yang boleh ditawarkan kepada pesakit. Beliau berkata data dan sains perlu dilihat bagi menilai kebaikan industri tersebut, jika dibandingkan dengan industri rokok dan arak.

“Saya harap kerajaan boleh membincangkan perkara ini dan lihat data dan sains. Adakan satu jawatankuasa khas yang diwakili oleh banyak kementerian seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk pastikan agar ia dapat dikawal selia, dan Kementerian Kesihatan (KKM) memastikan data dan sains adalah jelas,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat.

Menurut undang-undang yang ditetapkan, produk yang mengandungi ganja hendaklah berdaftar dengan DCA seperti yang ditetapkan oleh Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 di bawah Akta Jualan Dadah. Manakala bagi pengimportan dan perdagangan produk juga diwajibkan untuk mempunyai lesen dan permit import di bawah peraturan dan akta yang telah ditetapkan.

Ganja juga dikawal di bawah Konvensyen Tunggal mengenai Dadah Narkotik 1961 dan disenaraikan di bawah Jadual I Konvensyen yang menghadkan hanya kepada tujuan perubatan dan saintifik yang melibatkan pengeluaran, pengilangan, eksport, import, pengedaran, perdagangan, penggunaan dan pemilikan. Konvensyen ini tidak terpakai untuk penanaman tumbuhan ganja secara eksklusif untuk tujuan perindustrian atau hortikultur.

PBB keluarkan ganja daripada senarai dadah merbahaya, kini dianggap sebagai tanaman ubat. Untuk bacaan lanjut, klik pautan di bawah.

PBB Keluarkan Ganja Daripada Senarai Dadah Merbahaya, Kini Dianggap Sebagai Tanaman Ubat

Thailand Mahu Jadi Negara Asia Pertama Halalkan Ganja

Thailand Keluarkan Ganja Daripada Senarai Narkotik, Mahu Kegunaannya Diperluas

Anda Mungkin Suka