Seorang ustaz 50 tahun datang klinik untuk temujanji darah tinggi dan kencing manis. Disorong atas kerusi roda. Muda lagi.

Saya tanya kenapa ni ustaz, kena stroke ke? Ustaz angguk dan senyum.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Saya tanya kenapa sampai boleh kena stroke? Darah tinggi tak terkawal ke ustaz? Katanya dulu dia tak mahu percaya dengan perubatan moden, ubat yang doktor bagi dia tak makan dan dia telan Jus Al-XXXX hari-hari sampai gula naik mencanak, tekanan darah naik mendadak.

Sekarang dia menyesal dan sedih sebab dah banyak lupa surah-surah yang dia dah hafal.

Polis 55 tahun

Seorang polis umur 55 tahun, datang untuk pemeriksaan kencing manis dan darah tinggi juga.

Alhamdulillah bacaan gula dan tekanan darah semua dah elok dan terkawal cuma bacaan creatinine sedikit tinggi. Maksudnya buah pinggang ada rosak sedikit.

Katanya, dia ada amalkan minum supplemen YYYY dulu. Kata dia, masa dia amalkan minum jus yang kononnya berkhasiat itu dulu bacaan gula memang akan naik banyak. Jadi, dia berhenti selepas dinasihatkan oleh doktor.

Selepas berhenti dan patuh dengan ubat yang dibekalkan, bacaan kembali normal cuma buah pinggang yang rosak sukar dipulihkan. Nasib tak sampai ke tahap perlu cuci buah pinggang.

Kisah Orang Asli

Seorang lelaki orang asli umur 43 tahun, datang ke klinik dengan kerusi roda. Muka ceria tapi nampak sendu di sudut mata dia.

Saya tanya, “Kenapa nampak sedih, bacaan semua cantik cuma creatinine dah 450. Tingginya!”

Saya tanya encik ada jalani hemodialisis (cuci buah pinggang) ke? Dia angguk dengan muka sayu. Saya belek buku kesihatan. Saya cakap eh dari dulu bacaan gula dan tekanan darah cantik sangat, macam mana sampai boleh ke dialisis.

Kata dia, dulu dia minum XYZ dua hari sekali sebab dalam iklan nampak macam bagus.

Kenalan 25 tahun

Ada seorang kenalan umur 25, perempuan, dah kena buat peritoneal dialisis (cuci darah melalui abdomen).

Saya pelik sebab terlalu muda. Katanyam memang salah dia sebab dulu-dulu ada makan ubat kurus akibat terpedaya dengan iklan di majalah dan TV. Sekarang dia terpaksa redha akibat pilihan yang salah dahulu.

Bayangkan di usia semuda itu perlu cuci darah seminggu tiga kali dengan anak yang kecil lagi perlu dijaga.

Polis 62 tahun

Seorang polis umur 62 tahun. Duit habis berpuluh ribu.

Beli “air alkali”, mesin pemanas dan urut badan konon boleh pulihkan segala penyakit kronik.

Semuanya akibat terpedaya dengan iklan dan mulut-mulut manis penjual serta segala testimoni yang ditokok tambah segala rencah dan rasa. Akibatnya buah pinggang rosak teruk.

Bila diberi nasihat oleh doktor secara berkali-kali dengan nada yang betul dan pemahaman yang baik, Alhamdulillah dia ikut dan semuanya terkawal kecuali buah pinggang tersayang.

Jangan menipu

Ini baru lima contoh yang paling saya ingat.

Tapi ada terlalu banyak kes yang sama di klinik. Anda boleh bertanya kepada doktor dan pakar di bahagian nefrologi atau buah pinggang, terdapat banyak kes, penyebab kegagalan buah pinggang adalah disebabkan oleh jus-jus merapu atau supplemen merapu yang entah apa isi kandungan di dalamnya.

Boleh untuk kita jual supplemen tapi janganlah sampai perlu menipu masyarakat hanya untuk kita kaya dan hidup mewah.

Kasihan orang-orang kampung, makcik pakcik tua yang mudah percaya, anak muda yang gila nak putih dan lawa. Mereka hanya percaya bulat-bulat dengan iklan dan testimoni.

Janganlah kata dengan hanya minum jus ini, tak perlu makan ubat doktor, doktor semua agen Yahudi, saya guna ayat Al-Quran semasa proses pembikinan jus, yada yada yada. Jangan.

Kasihan masyarakat

Lagi lagi ada juga radio dan TV yang masih membenarkan penjual produk ini menghasut masyarakat. Sedih.

Entah-entah yang menjual produk tersebut pun tak menggunakan produk mereka sendiri.

Entah macam mana proses pembuatan semua jus tersebut. Terdapat supplemen dan ubat dan krim cantik ini diambil dari negara asing, menggunakan steroid atau bahan terlarang, kemudian diletakkan di dalam bekas yang hanya dibeli di kilang biasa sahaja.

Sebab itu rasa jus-jus ini sama sahaja. Cuba anda pergi rasa. Manis sahaja.

Krim pun wangi sebab ditambah pewangi untuk hilangkan bau merkuri yang kuat.

Konon ada juga kopi untuk lawa lalu jadilah kopi kolagen. Hurm kolagen kalau dicampur dengan kafein memang musnahlah kolagen tersebut. Macam-macam helah penjual.

Artis jadi duta

Ada yang membayar artis dan ustaz untuk menjadi duta. Lagilah masyarakat mudah terpedaya.

Yang terbaru, ada alat sembur untuk pulihkan buah pinggang dan pankreas. Sembur-sembur terus sihat. Hurm sembur terus ke organ ke sampai boleh sihat tu?

Teringin saya tanya, apalah mechanism of action semua ubat ubat/ jus/ krim ini ya? Kalau boleh terangkan, saya sanggup duduk semeja seharian untuk dengar.

Sebab bila ditanya, testimoni mesti cakap kawan jiran saya, sepupu belah adik saya, entah siapa-siapalah. Eh ingatkan diri sendiri yang cuba.

Berniaga dengan ikhlas

Setiap satu tindakan kita dicatat.

Nasihat yang kita beri, kalau salah tapi orang ikut dan sebar-sebarkan, kita yang tanggung dosa sebab kita yang mulakan.

Awak menjual, awak dapat duit, pembeli merana dan perlu menanggung akibat sampai ke sudah. Fikir dahulu sebelum berkata dan menjual.

Fikir akan masa depan pembeli.

Ingat, niat tak pernah menghalalkan cara.

Jangan jual agama.

Dan bertanyalah pada yang pakar.

Nyawa itu amanah.

Artikel asal diterbitkan di Medical Mythbusters Malaysia.