Pemandu Uber saya hari ini merupakan seorang lelaki yang bernama Pedro. Wajah beliau tampak letih dan suara beliau kelelahan. Saya bertanya khabar kepada beliau, sengaja ingin memulakan perbualan.

Beliau bercerita bahawa beliau telah bekerja (Uber) semenjak awal pagi lagi dan nasib ‘malang’ beliau kerana mendapat seorang pelanggan yang terpaksa dihantar jauh ke Lansing daripada Flint, lebih kurang sejam jaraknya.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Sekarang beliau perlu cari seorang pelanggan Uber untuk ke Flint pula supaya beliau boleh pulang ke rumah tanpa mengalami kerugian memandu jarak jauh tanpa pelanggan.

Saya bersimpati terhadap nasib beliau. Nampaknya seperti bekerja sepenuh masa sebagai pemandu Uber, memandangkan beliau sedang memandu pada hari minggu.

Perbualan diteruskan apabila beliau bertanya mengenai asal-usul saya. Saya menyebut tentang Malaysia dan ternyata Pedro belum pernah mendengar apa-apa tentang Malaysia. Saya bertanya, “anda pernah pergi ke luar negara?”

“Tidak.” Jawabnya ringkas.

Saya pelik, seorang lelaki yang berkulit sawo matang dan sedikit pelat bahasa Inggerisnya, tetapi tidak pernah ke mana-mana luar negara? Adakah beliau American?

“Saya hanya pernah pergi ke Honduras, El Savador, dan Mexico.”

Ternyata yang beliau maksudkan ialah tidak pernah keluar daripada benua Amerika. Saya teruskan bertanya,

“Adakah anda berasal daripada salah satu negara tersebut?”

“Tidak, saya berasal dari sini.” Beliau menjawab ringkas.

Pelik, saya kira English saya lebih pekat ‘American’ daripada Pedro tetapi beliau berasal daripada Amerika? Saya sangka orang berkulit sawo matang seperti Pedro berasal daripada Mexico atau mana-mana negara dari Amerika Selatan sahaja.

Beliau mula menceritakan tentang asal usul beliau daripada suku Aztec daripada Arizona. Rupanya beliau merupakan seorang ‘Native American‘!

Perbualan mula menjadi rancak kerana saya pun belum pernah berpeluang untuk bertemu dengan seorang Native American daripada suku Aztec.

Saya terus bertanya beliau mengenai isu Standing Rock sebagai pemula bicara. Saya berminat untuk tahu keterlibatan beliau dalam perjuangan ‘Native American‘ di Standing Rock yang sedang diratah oleh penjajah kapitalis.

Untuk pengetahuan anda, kebanyakan suku Native American daripada seluruh pelusuk Amerika kini berkumpul di Standing Rock sebagai protes terhadap operasi Dakota Access Pipeline. Anda boleh buat carian hashtag #DAPL atau #NoDAPL untuk maklumat lanjut.

Hebatnya protes ini, ia menyaksikan antara perkumpulan terbesar Native American mempertahankan sisa-sisa tanah kepunyaan mereka daripada diperkosa. Ada yang hadir menggunakan sampan dayung daripada jauh! Besar betul jiwa mereka ini terhadap tanah air mereka.

Kata Pedro, beliau setia mengikut arahan dan pendirian ketua (chief) Aztec mengenai isu DAPL ni. Saya terkejut, masih wujud lagi rupanya sistem sosial mereka pada abad yang ke-21 ini!

Saya bertanya kepada Pedro tentang keadaan semasa Native American di Amerika. Pedro mula menceritakan tentang bagaimana mereka disisihkan oleh bangsa kulit putih.

Malangnya, apabila Trump menguasai, retorik white supremism telah menimbulkan diskriminasi yang tinggi terhadap sesiapa sahaja yang tidak berkulit putih. Pedro salah seorang mangsanya.

Beliau menyebut bagaimana ‘whites‘ banyak ‘menghalau’ orang seperti beliau untuk pulang ke tempat ‘asal’ di Mexico. Malangnya golongan kulit putih ini tidak memahami hakikat bahawa beliau bukan seorang Mexican, bahkan tanah ini adalah tanah beliau yang dijajah!

No, YOU (kulit putih) go back to where you come from!” Kata beliau dengan penuh rasa marah.

Saya mengorek lagi realiti penindasan yang menyebabkan beliau sungguh marah akan bangsa kulit putih ini. Saya sebutkan pengajian saya dalam bidang dasar awam dan berminat untuk tahu lebih lanjut tentang ‘systemic discrimination‘ yang dialami oleh bangsa Aztec di AS.

Beliau menceritakan bahawa nasib mereka adalah nasib yang hanya perlu ‘ditelan’. Tidak ada siapa pun yang mahu mendengar mahupun ambil kisah akan nasib mereka.

Native American hari ini menerima bantuan percuma untuk ke universiti dan dikecualikan daripada cukai barangan (GST) di kawasan simpan. Di luar kawasan tersebut, mereka tidak mendapat pengecualian cukai.

Beliau menyebut tentang keadaan daif di kawasan-kawasan tersebut yang menyebabkan pengecualian cukai itu tidaklah berguna sangat di kawasan terpencil, sedangkan pembangunan pesat berlaku di kawasan lain.

Beliau juga menyebut mengenai duit yang diterima secara bulanan dalam USD800-1200 sebagai elaun sara hidup kepada mereka.

We dont want none of that.” Kata Pedro, tegas bahawa duit bukanlah insentif baginya.

Saya cuba memprovok supaya beliau menceritakan mengenai apa yang beliau mahukan daripada kerajaan sebenarnya. Mungkin beliau perlukan lebih tanah? Lebih wang? Lebih bantuan kesihatan?

Beliau tegas menyebut bahawa bangsa mereka tidak pernah meminta apa-apa daripada kerajaan. Bahkan bangsa penjajah kulit putih itulah yang memilih untuk memberi elaun bulanan kononnya sebagai ‘ganti’ bagi tanah yang dirampas sedangkan mereka tidak pernah meminta satu sen pun.

Saya menyebut mengenai susur galur Native American yang sebenarnya berkait rapat dengan migrasi orang Melayu dahulu kala ke benua Amerika dan beliau mengiakan sahaja.

Beliau menyebut bahawa mereka tidak memusuhi sesiapa, bahkan menyukai orang-orang luar daripada pelbagai bangsa, kecuali orang Sepanyol dan bangsa kulit putih secara umumnya. Sepanyol? Oh ya Christopher Columbus berasal daripada Sepanyol!

Jelas walaupun setelah beratus tahun dijajah dan telah berlalu banyak generasi, yang bangsa Aztec dan Native American inginkan bukanlah sebarang kepentingan material.

Bahkan kemerdekaan daripada penjajahan dan kedaulatan tanah air serta sistem sosial mereka daripada terus dirobek oleh penjajah yang pada hari ini sedang merosakkan khazanah alam yang mereka telah bermati-matian berjuang untuk lindungi.

Mereka tidak ingin hidup sekiranya identiti dan nilai-nilai hidup mereka terpaksa dikorbankan. Hakikat ini langsung tidak dapat difahami oleh mereka yang terpengaruh dengan gaya hidup material hari ini yang tidak ada ‘ruh’. Robot yang hidup tanpa identiti, tanpa nilai daripada sejarah bangsa mereka.

Pedro mengakhiri perbualan kami dengan menceritakan mengenai sebuah khazanah yang dilindungi oleh beliau sejak turun-temurun.

Saya menyatakan hasrat untuk melihat khazanah tersebut, dan beliau bersetuju untuk membuat pengecualian untuk saya walaupun khazanah tersebut hanya ditunjukkan kepada kaum kerabat mereka sahaja.

Insyaallah jika diberi peluang untuk pergi ke rumah Pedro dan keluarganya, saya akan nukilkan mengenai pertemuan tersebut pada masa yang akan datang.

Michigan, USA.
30 Disember 2016