ESCAPE Penang merupakan antara destinasi yang menjadi pilihan ramai orang untuk bersuka ria bersama keluarga dan juga rakan-rakan. ESCAPE Penang ini terletak di Teluk Bahang dan juga berdekatan dengan beberapa tempat menarik seperti Batu Feringgi, Tropical Spice Garden, Taman Rimba Teluk Bahang, dan banyak lagi.

Bagi anda yang gemarkan aktiviti fizikal mencabar, anda wajib untuk singgah ke ESCAPE Penang sekali seumur hidup anda. Mesti anda tertanya-tanya apa yang best sangat ESCAPE Penang ini sampai ramai orang mahu pergi, betul?

Saya telah berkesempatan untuk ke ESCAPE Penang dan merasai sendiri keseronokan yang ada di ESCAPE Penang. Berkonsepkan suasana kampung yang dikelilingi dengan alam semulajadi, maka saya akan kongsikan apa yang perlu anda tahu sebelum menempah tiket ke ESCAPE Penang ini. Jom kita mulakan!

1. Beli tiket secara dalam talian

Pastikan anda membeli tiket masuk secara dalam talian di sini dan jika mahu harga yang lebih murah boleh dapatkan sahaja di Klook. Beli awal dan rancang perjalanan anda sebaiknya serta anda dinasihatkan untuk datang awal pagi untuk melengkapkan kesemua cabaran yang ada.

Malah, anda dinasihatkan untuk ke ESCAPE Penang bukan pada hari Sabtu kerana kebiasaanya ramai orang dan anda perlu tunggu sedikit lama untuk menaiki sesuatu permainan itu. ESCAPE Penang ini dibuka setiap hari kecuali Isnin dari jam 10 pagi hingga 6 petang sahaja.

2. Boleh sewa pakaian renang, kasut, loker dan tuala

Jika anda tidak mempunyai pakaian dan peralatan yang bersesuai seperti pakaian renang dan kasut, anda boleh sewa sahaja di ESCAPE Penang kerana harga sewa tidaklah mahal hanya serendah RM9 sahaja. Sangat berbaloi dan menyenangkan!

Harga barangan yang boleh disewa

3. Permainan dapat pengiktirafan Rekod Dunia Guinness

ESCAPE Penang telah bawa nama Malaysia ke mata dunia apabila dua permainannya iaitu gelongsor air dan ‘zip coaster’ telah mendapat pengiktirafan Rekod Dunia Guinness.

Ketika ini, Pepsi Challenges masih lagi dijalankan dimana anda akan menentang masa dengan menuruni gelongsor air terpanjang dunia dan berpeluang memenangi tiket masuk percuma ke ESCAPE Penang. Team saya berjaya menang cabaran tersebut dengan catatan masa 3 minit 12 saat.

4. Nak bermula dari mana?

Sebenarnya ia ikut keadaan, jika ramai orang maka anda boleh mulakan aktiviti air dahulu barulah ke cabaran ‘Monkey Business’. Sebaiknya, pada awal pagi anda habiskan cabaran ‘Monkey Business’ kerana ia memerlukan kekuatan fizikal.

Gelongsor air dan zip coaster terpanjang dunia serta tubby racer adalah aktiviti yang perlu anda lakukan sebelum tengahari. Sebelum anda ke aktiviti ini, anda perlu menaiki chairlift dan mengambil masa untuk ke atas bukit. Kemudian, anda boleh memilih untuk melakukan cabaran lain yang anda mahukan kerana ia berdekatan antara satu sama lain.

5. Permainan yang anda wajib cuba

Banyak permainan yang ditawarkan di ESCAPE Penang iaitu lebih daripada 12 permainan. Mesti anda tidak mahu terlepas permainan mencabar di sini kerana jika anda terlepas, anda kena datang lagi untuk repeat.

Sudah semestinya gelongsor air dan zip coaster terpanjang dunia ini anda wajib cuba! Selain menghadiahkan pemandangan hebat sepanjang perjalanan, anda akan berasa teruja kerana ia cukup menyeronokkan.

Mega drop, super looper dan banana flip adalah antara permainan air yang wajib anda cuba kerana akan meransang ‘adrenaline rush’ anda. Atan’s leap dan juga slingshot pun anda kena cuba untuk cabar keberanian anda.

6. Makanan

Untuk pengetahuan anda, makanan luar tidak dibenarkan untuk dibawa masuk ke dalam ESCAPE Penang. Akan tetapi, ada makanan yang dijual di dalam taman tema ini dan paling menarik ada A&W.

Sebelum terlupa, ESCAPE Penang mengamalkan sistem cashless dimana pengunjung perlu tambah nilai dengan kad yang dibekalkan. Pastikan anda bawa sedikit wang tunai untuk tambah nilai dan jika ada baki dalam kad anda, refund boleh dilakukan ketika pulang.

Jika anda belum pernah berkesempatan ke ESCAPE Penang, anda perlu terjah sekali seumur hidup. Jujur saya katakan, permainan yang ditawarkan cukup mencabar dan menyeronokkan, serta akan membuatkan saya kembali sekali lagi.

Sementara itu, kami kongsikan beberapa artikel berkaitan ESCAPE Penang pada pautan di bawah ini. 

Selepas Gelongsor Air, ESCAPE Penang Lancarkan ‘Zip Coaster’ Terpanjang Di Dunia

Berlumba Jadi Yang Terpantas, Cabaran Pepsi ESCAPE Dilancarkan Di Gelongsor Terpanjang Dunia

Destinasi ‘Syurga Makanan’ Pelancong, Ini Lokasi Tempat Makan Menarik Di Pulau Pinang Wajib Anda Kunjungi