Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbangkan untuk melantik Setiausaha Agung DAP Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan dalam Kerajaan Perpaduan.

Menerusi laporan, Presiden kesatuan itu Abdul Razak Md Hassan memberikan sokongan terhadap Anthony Loke berdasarkan rekod prestasi beliau yang pernah memegang jawatan itu sebelum ini dari Mei 2018 hingga Februari 2020.

Baca Juga:

“Pihak kesatuan turut percaya, sekiranya pelantikan Menteri Pengangkutan ini dibuat kepada YB (Yang Berhormat) Anthony Loke, maka pengangkutan awam, khususnya akan menerima limpah kebaikan yang terutamanya membantu bagi peningkatan taraf pengangkutan awam yang lebih efisien,” katanya.

Permintaan kesatuan tersebut telah mendapat perhatian orang ramai dan rata-rata netizen turut bersetuju disebabkan prestasinya yang cemerlang ketika menyandang jawatan tersebut dahulu.

Bukan itu sahaja, para netizen turut berkongsi cara bekerja Anthony Loke ketika menjadi Menteri Pengangkutan dan mengatakan beliau sentiasa membuat lawatan mengejut serta datang awal ke apa-apa acara yang perlu dihadiri.

Malah, Anthony Loke juga tidak pernah ‘ponteng’ kehadiran di parlimen dan sentiasa pantas untuk menyelesaikan isu-isu yang timbul terutama sekali berkaitan dengan pengangkutan.