Mohammed Tuaiman adalah orang ketiga daripada keluarganya dibunuh oleh drone, atau beliau gelar 'death machine', beberapa bulan selepas diwawancara oleh The Guardian.

Remaja lelaki Yaman berusia 13 tahun ini terbunuh selepas diserang oleh sebuah drone CIA. Beberapa bulan sebelum itu, Tuaiman pernah menceritakan ketakutannya terhadap drone kepada majalah The Guardian. Ini kerana, drone pernah membunuh ayah dan abangnya.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →
tuaiman
Tuaiman ketika diwawancara oleh The Guardian.

"Saya nampak drone terbang setiap hari dan saya takutkannya," kata Mohammed Tuaiman di Kampung al-Zur di daerah Marib, ketika ditanya oleh wartawan The Guardian.

"Banyak kanak-kanak di kawasan ini terjaga daripada tidur kerana mimpi ngeri akibat drone dan ada yang mula mendapat penyakit mental. Mereka menjadikan wilayah kami seperti neraka, dan kami selalu berada dalam ketakutan, tidak kira siang atau malam, dan kadang-kala ia muncul dalam tidur kami."

Ketakutan Tuaiman telah menghantui kebanyakan masa muda beliau. Pada tahun 2011, drone tempur telah menyerang ayah dan abangnya ketika mereka sedang menggembala unta.

Drone yang membunuh Tuaiman menyerang mereka pada 26 Januari di Hareeb, kira-kira sejam daripada rumahnya.

Drone itu menyerang kereta yang membawa Tuaiman dan abang iparnya, Abdullah Khalid al-Zindani, dan seorang lagi kawan mereka.

ayah-tuaiman
Ayah Tuaiman, Saleh yang terbunuh ketika sedang menggembala unta. The Guardian

"Saya lihat badan-badan mereka hangus terbakar, seperti arang," kata salah seorang abang Tuaiman bernama Maqded. "Kami tidak dapat berbuat apa-apa. Kami tidak dapat mengalihkan badannya, lalu kami menanam mereka di sana, berhampiran kereta."

Beberapa orang pegawai Amerika Syarikat yang tidak mahu dikenali berkata, serangan itu telah dilakukan oleh CIA dan telah membunuh '3 orang lelaki yang dipercayai merupakan pengganas al-Qaeda'.

Wilayah Marib menyaksikan pertembungan di antara pemberontak Syiah Houthi yang telah menggulingkan presiden negara itu dengan puak-puak tempatan yang menolak penguasaan mereka di wilayah itu. Seperti keluarga-keluarga lain di al-Zur dan wilayah Marib, keluarga Tuaiman terlibat dalam penolakan terhadap pemberontak Houthi.

Dalam program rahsia CIA yang dijalankan di kawasan terpencil Yaman, amat mudah bagi mereka terkeliru siapa yang diserang oleh drone. Kerjasama dengan al-Qaeda dan puak-puak anti-kerajaan saling silih berganti mengikut siapa menyerang siapa.

Maqdad berkata keluarganya telah dituduh secara salah. Beliau menafikan penglibatan Tuaiman dengan mana-mana kumpulan, tidak kira al-Qaeda mahu pun anti-Houthi. "Beliau bukannya ahli al-Qaeda. Beliau cuma seorang kanak-kanak."

Maqdad berkata lagi, "Selepas kematian ayah kami, al-Qaeda datang melawat kami dan menawarkan bantuan. Tetapi kami tidak menyertai mereka. Al-Qaeda mungkin mendakwa Tuaiman adalah bersama mereka, tetapi kami akan berbuat apa sahaja – pergi ke mahkamah, atau apa-apa sahaja – untuk membuktikan beliau tidak pernah menyertai mereka."

Apabila The Guardian menemubual Tuaiman September tahun lepas, beliau melahirkan kemarahan terhadap kerajaan Amerika Syarikat kerana membunuh ayahnya. "Mereka memberitahu kami drone ini datang dari beberapa pengkalan bertempat di Arab Saudi dan juga dari beberapa pengkalan di lautan Yaman. Amerika menghantarnya untuk membunuh pengganas, tetapi mereka selalu menyerang orang yang tidak bersalah. Kami pun tidak tahu mengapa mereka membunuh kami."

"Di mata mereka, kami tidak layak untuk hidup di atas muka bumi ini seperti orang lain, dan kami tidak mempunyai perasaan atau emosi atau menangis atau sakit sama seperti manusia-manusia lain di seluruh dunia."

Ayah Tuaiman, Saleh Tuaiman, terbunuh di dalam serangan drone pada tahun 2011. Serangan itu juga mengakibatkan abang Tuaiman, Jalil, terbunuh. Saleh Tuaiman meninggalkan 3 orang isteri dan 27 orang anak.

The Guardian telah meminta ulasan CIA dan Pentagon sama ada Tuaiman telah disahkan sebagai militan al-Qaeda. Kedua-dua badan kerajaan ini enggan mengulas lanjut.

"Orang-orang tua memberitahu kami, membunuh tanpa membezakan di antara pengganas dan orang awam adalah perbuatan jenayah. Dan mereka (CIA) terus membunuh mereka yang disyaki tanpa ragu-ragu."

Bagi Maqdad, kematian Tuaiman hanya menyemarakkan lagi semangat beliau untuk terus mencari keadilan buat keluarganya.

"Kami hidup dalam ketidak adilan dan kami mahu Amerika Syarikat mengiktiraf jenayah-jenayah yang telah dilakukan terhadap ayah serta adik-beradik saya. Mereka tidak bersalah, kami lemah dan miskin, dan kami tidak ada kaitan denga perkara (keganasan) ini."

"Jangan salahkan kami jikalau kami bersimpati dengan al-Qaeda. Mereka adalah satu-satunya kumpulan yang menunjukkan rupa mereka kepada kami, kerajaan kami tidak menghiraukan kami, Amerika Syarikat tidak menghiraukan malah tidak memberi pampasan kepada kami. Dan kami akan berjuang di mahkamah untuk membuktikan perkara yang berlaku ini adalah salah."

BACA: Keindahan Syria Satu Ketika Dulu Sebelum Perang

TONTON: Ukraine ‘CrowdFunding’ Drone Perang

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram

Sumber