Sejak dari kecil saya suka melihat peta. Sewaktu sekolah rendah, saya suka melukis peta Malaysia dan mula melihat peta dunia. Masuk sahaja sekolah menengah, saya sudah menghafal negara-negara di dunia.

Antara permainan kegemaran saya dengan kawan-kawan ialah bermain sebut negara berdasarkan huruf. Letak tangan di lantai dan kira jari menggunakan huruf. Contoh kalau kiraan terakhir ialah huruf J, jadi semua orang perlu menyebut nama negara bermula daripada huruf J. Japan, Jamaica, Jordan, Jerman.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Matapelajaran kegemaran ketika sekolah rendah selepas Matematik, pastinya Kajian Tempatan. Saya mula menghafal tarikh-tarikh penting dalam sejarah.

Kalau sejarah Malaysia, bermula dari kedatangan Parameswara, penjajahan Portugis, Belanda, British dan Jepun, seterusnya hinggalah Tanah Melayu mencapai kemerdekan. Masuk sekolah menengah, pelajaran lebih terperinci dengan matapelajaran Sejarah dan Geografi.

Tidak cukup setakat itu, saya mula membeli buku-buku berkaitan Geografi dan Sejarah. Di rumah saya terdapat perpustakaan mini. Sebelum sekolah menengah, boleh dikatakan semua buku merupakan pembelian dan simpanan ayah saya.

impian-mengembara-1

impian-mengembara-2

Ketika sekolah menengah, saya mula mengisi buku-buku baru di perpustakaan tersebut. Sekarang, buku saya lebih banyak berbanding buku kepunyaan ayah saya. Malah sebahagiannya tidak lagi muat kerana ruang sudah penuh.

Antara buku paling banyak saya simpan ialah buku berkenaan pengembaraan di luar negara. Judul-judul seperti Lonely Planet, Fodor, Culture Shock semuanya saya mula beli sejak sekolah menengah.

Bayangkan sewaktu tingkatan 1, saya mula berkhayal untuk terbang jauh. Bak kata orang, berangan itu percuma. Ditambah dengan siri buku ‘501 Interesting Places To Go Before You Die’, saya semakin tinggi berkhayal.

Sewaktu sekolah rendah dan menengah, saya berkesempatan pergi ke beberapa buah negara bersama keluarga. Antaranya Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Australia.

Ketika di kolej pula, Alhamdulillah saya diberikan rezeki untuk menunaikan umrah serta ziarah ke Yaman bersama keluarga.

Selepas tamat kolej selama setahun setengah, saya melanjutkan pelajaran di Mesir. Bermula detik ini saya merasakan dunia semakin dekat untuk saya tawan.

Namun selesai tahun pertama pengajian, saya hanya duduk di Mesir. Saya kira ini masih fasa berkhayal dan bermimpi dengan buku-buku yang telah saya beli.

Pada suatu hari, saya tidak sengaja membelek harga tiket kapal terbang ke Eropah. Ditakdirkan Allah, saya temui tiket murah ke Milan, Itali dari Mesir.

Secara spontan saya memang sudah fikir untuk beli. Tetapi ada perkara yang menghantui fikiran saya. Hendak pergi dengan siapa? Sejujurnya saya tidak berani lagi untuk mengembara solo disebabkan ini baru kali pertama saya berhasrat untuk mengembara bukan bersama keluarga.

Hendak dijadikan cerita, 2 sahabat saya bersetuju untuk ikut bersama. Lantas kami terus membeli tiket untuk mengelakkan harga tiket semakin mahal. Selepas membeli tiket, saya beritahu ibu bapa saya. Mereka tidak menentang.

Disebabkan ibu bapa saya dahulu rajin berjalan, mungkin mereka faham apatah lagi melihat kecenderungan saya untuk melihat dunia. Mereka siap menanggung perjalanan saya kali ini.

Baca: 20 Seni Bergelandangan Di Lapangan Terbang Sewaktu Anda Sedang Travel

impian-mengembara-3
Panorama museum di Istanbul.

impian-mengembara-5

impian-mengembara-4
Tinggalan perang dunia ke-2 di Saipan, Kepulauan Mariana Utara.

impian-mengembara-7

impian-mengembara-6

Pengembaraan pertama kali ini saya berkelana selama 16 hari di 5 buah negara. Itali, Belgium, Belanda, England dan Perancis. Kami cuba meminimakan perbelanjaan sehingga ada sekali kami hanya berjalan kaki dari lapangan terbang.

Pengalaman berjalan kaki hampir 15km dengan menggalas hampir 20kg backpack di Milan pastinya tidak akan dilupakan. Di England pula kami hanya menumpang di rumah kawan dan kebanyakan waktu, mereka menjamu kami makan. Alhamdulillah.

4 bulan kemudian ketika musim sejuk pula, saya menyertai misi menghantar bantuan kepada pelarian Syria di Jordan. Sewaktu ini saya mula mempelajari dunia sukarelawan.

Usai program, saya membuat keputusan drastik untuk terbang terus ke London. Maka bermulalah pengembaraan solo pertama saya menawan semua negara dalam United Kingdom.

Sebelum pulang ke Mesir, saya singgah beberapa hari di bumi Istanbul. Semuanya disebabkan kegilaan saya pada waktu itu untuk mendalami sejarah Empayar Uthmaniyah.

Sejak itu, setiap kali cuti musim sejuk dan panas, saya ambil peluang untuk mengembara. Walaupun ibu bapa saya tidak memberikan wang untuk mengembara, saya mengambil inisiatif sendiri untuk mendapatkan duit dan juga menyimpan duit belanja.

70 buah negara telah saya jejaki setakat ini. Bermacam-macam ilmu saya pelajari terutamanya ilmu sejarah dan geografi. Atau lebih tepat lagi, ilmu sejarah dan geografi itu yang membawa saya mengembara.

Walaupun saya terpaksa mengorbankan banyak masa, tenaga dan wang, bagi saya itu semua merupakan pelaburan bernilai buat diri sendiri. Hari ini saya memperoleh ilmu yang lebih luas. Ilmu yang tiada dalam buku.

Kalau dulu saya belajar tentang kegemilangan Kerajaan Islam Sepanyol, hari ini saya melihat sendiri al-hambra yang menjadi simbol kegemilangan Empayar Abbasiyah di Granada, Sepanyol.

Kalau dulu saya hanya baca tentang perang dunia kedua, hari ini saya sendiri telah sampai ke Bandar Berlin dan Warsaw yang merupakan antara bandar yang terjejas teruk ketika peperangan tersebut.

Malah saya sendiri telah melihat kesan-kesan peninggalan perang di tengah-tengah lautan Pasifik seperti di Guam dan Saipan yang menjadi arena pertempuran antara armada tentera Amerika dan Jepun.

Tidak lupa peristiwa Holoucost di bumi Jerman dan Poland. Saya melawat muzium di sana. Malah saya sempat mengikuti ‘Jewish Walking Tour’ di bandar Warsaw yang kebanyakannya disertai oleh orang Yahudi sendiri dari seluruh pelusuk dunia.

impian-mengembara-8

impian-mengembara-9

impian-mengembara-10

impian-mengembara-11

impian-mengembara-12

impian-mengembara-13

Schongau Am Konigsee antara tarikan terpenting di daerah Berchtesgaden. Selain itu terdapat satu lagi tasik di sebelah sana yang bernama Obersee. Namun electrical boat ke sana tutup pada musim sejuk. Ni hanyalah satu dari jutaan lukisan Ilahi yang menakjubkan. Subhanallah!

Banyak lagi yang telah saya pelajari. Antaranya, sejarah Parsi di bumi Iran, sejarah Yunani di bumi Greece. Sejarah Rom di bumi Itali sehinggalah ke Jordan.

Sejarah Empayar Uthmaniyyah di Turki dan Rantau Balkan. Sejarah Soviet Union di negara-negara bekas Soviet seperti di Asia Tengah, Kaukasus juga rantau Balkan. Sejarah Dinasti Josoen di bumi Korea. Sejarah Mughal di India dan Pakistan. Tidak lupa sejarah Hindu-Buddha di Indo-Cina dan Nusantara.

Selain itu, kisah ‘genocide’ di Bosnia antara yang menarik minat saya sejak dari sekolah. Sejak kecil saya telah diperdengarkan tentang peperangan di Bosnia.

Alhamdulillah baru-baru ini saya berkesempatan melawat Bosnia. Saya sempat mendengarkan sendiri kisah-kisah tragik daripada sahabat baru Bosnia saya sendiri. Ketika pembantaian oleh tentera Serbia, mereka masih kanak-kanak.

Luka lama masih tersimpan. Di sana, saya sempat membeli beberapa buah buku sebagai bahan untuk kajian yang lebih mendalam.

Malah isu semasa seperti konflik antara Armenia dan Azerbaijan yang berkait dengan wilayah Nagorno-Karabakh juga dapat saya pelajari. Suatu kisah yang tidak mungkin difahami tanpa melihat latar sejarah.

Alhamdulillah saya sempat menziarah kedua-dua muzium yang berkaitan. Satu di Baku, Azerbaijan dan satu lagi di Yerevan, Armenia. Kedua-duanya membawa naratif yang berbeza. Kemudian, konflik India-Pakistan juga antara yang dapat saya lumat setelah tibanya di sana. Tidak lupa juga wilayah Kashmir yang sedang bergelut menuntut kemerdekaan.

Kalau dalam subjek Geografi dulu saya belajar tentang 4 musim, Alhamdulillah saya telah merasai sendiri kesemuanya. Musim luruh di Manchester, musim sejuk di Glasgow, musim bunga di Keukenhof, Lisse dan musim panas di Dubai.

Kalau dalam subjek Geografi dulu saya belajar tentang 7 benua, Alhamdulillah saya telah sampai ke lima daripada 7 benua yang ada. Cuma Amerika Selatan dan Antartika yang masih belum diberikan rezeki.

Kalau dalam subjek Geografi dulu saya belajar tentang iklim dunia yang berbeza-beza, Alhamdulillah saya dapat merasai sendiri sebahagian daripadanya.

Bermula dari kering kontang padang pasir di Timur Tengah, hinggalah pergunungan tinggi yang dingin bersalju di banjaran Alps.

Malah fenomena alam seperti aurora borealis yang terjadi hasil daripada aktiviti solar telah saya saksikan sendiri. Ketika itu juga kawasan di lingkaran Arctic menerima malam yang panjang. Malah akan sebulan tanpa cahaya matahari. Ketika saya di Tromso, Norway, saya sempat merasa 1 jam 30 minit sahaja siang.

impian-mengembara-17

Beku di Stockholm. Dengan suhu yang bermula awal pagi dengan -3 hinggalah -6 (malam ni sampai -8/-9). Suhu yang dingin ditemani dengan non stop light snow membuatkan jari-jemari kebas beku.

impian-mengembara-16

Kat dunia ni tak susah untuk kita ucap Subhanallah! Mission completed. This time I go with my friends. One day I want to bring my parents. And also my future wife.

impian-mengembara-14

impian-mengembara-15

Kenangan 4 tahun lepas di Sana’a, Yaman. Alhamdulillah saya sempat menziarahi bumi yang diberkati ini. Di sinilah bumi lahirnya para Nabi dan ulama’2 wali Allah.

Hari ini bumi ini sekali lagi dilanda fitnah dan musibah. Marilah kita sama-sama doakan agar Allah mengembalikan keamanan kepada bumi ini. Sekurang-kurangnya apabila Allah persoalkan kita di akhirat kelak, apakah yang telah kamu sumbangkan terhadap saudara2mu di Yaman?, Kita mampu menjawab dengan doa yang kita titipkan.

.اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا فِي بِلاَدِ اْليَمَنِ

Amin.

Bagi saya, dunia inilah tempat kita belajar. Jadi mengembara melihat alam dan manusia itu juga suatu proses pembelajaran yang baik. Bukan berapa banyak negara itu yang menjadi kepuasan, sebaliknya berapa banyak pengajaran dan hikmah yang kita dapat itu yang menjadi kayu ukur.

Selain belajar menimba pengalaman, saya juga dapat merealisasikan impian yang saya pasang sejak kecil untuk mengembara satu dunia. Setiap anak muda mempunyai impian masing-masing dan inilah salah satu daripada impian saya.

Buat anda di luar sana, biar apa pun impian anda, kejarlah ia jika ia mampu buat anda menjadi seseorang yang lebih bersemangat, berpandangan jauh, berjiwa besar dan sentiasa rasa ingin maju.

Sebagai seorang pelajar perubatan yang masih belajar di universiti, saya terasa cabarannya antara tanggungjawab untuk cemerlang dalam pelajaran dan juga memenuhi impian yang saya pasang.

Namun itu bukanlah alasan bagi saya untuk memadamkan impian saya. Biar kita sukses dalam setiap apa yang kita lakukan. Amin.

Baca lagi: 3 Tahun Hidup Sebagai Nomad, Ini 22 Aplikasi Travel Yang Membantu Perjalanan Saya