Jika dilihat secara kasar, masyarakat kita selalunya didedahkan dengan pemahaman ahli muzik adalah mereka yang kurang berpelajaran, atau tidak berpendidikan tinggi.

Namun hakikatnya ramai yang tidak tahu bahawa bidang muzik itu sendiri adalah satu bidang yang luas dan merangkumi banyak perkara.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Kali ini saya ingin perkenalkan anda dengan seorang gadis kecil molek yang baru saja kembali ke Malaysia selepas menuntut di UK selama setahun di peringkat Master dalam bidang muzik. Ikuti temubual saya bersama beliau di bawah.

kerjaya-pemuzik-professional-2

Vocket: Hi Alwani. Boleh kenalkan diri dan berikan sedikit info latar belakang.

Alwani: Nama saya Amanina Alwani Binti Badaruddin, berusia 25 tahun. Pendidikan SERATAS (2004-2008), Bachelor in Music Composition UiTM Shah Alam (2009-2013), dan MSc Music for Screen (2015-2016). Masih single.

Vocket: Sejak bila minat muzik dan apakah yang mendorong Wani untuk serius mendalami bidang ini.

Alwani: Saya diperkenalkan muzik sejak seawal usia 4 tahun. Kedua ibu bapa saya adalah pemuzik. Ibu saya kini adalah seorang guru muzik di Sekolah Menengah Rapat Setia Baru Ipoh.

Manakala ayah saya pula baru sahaja meninggalkan alam pekerjaan. Beliau adalah seorang pemain violin di Kementerian Belia dan Sukan di Brunei Darussalam.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai pemain violin di RTM dan seorang pensyarah muzik di Uitm Shah Alam. Sedikit sebanyak, melihat karier kedua ibu bapa saya menyebabkan saya lebih  berminat untuk serius berkecimpung dalam bidang ini.

Ketika di sekolah menengah, saya telah menyertai pelbagai pertandingan dan salah satunya adalah pertandingan ‘Wind Orchestra’ di antara sekolah-sekolah berasrama penuh yang diadakan setiap pada setiap tahun.

Melalui latihan dan rutin yang agak padat, saya dapat lihat minat saya yang mendalam terhadap bidang muzik apabila saya sanggup meluangkan masa lebih di bahagian muzik berbanding subjek-subjek di sekolah.

kerjaya-pemuzik-professional-4

Vocket: Wani baru saja menghabiskan pengajian di peringkat master dalam bidang muzik. Boleh terangkan dengan lebih lanjut? Berapa lama kursus ini dan nama universiti.

Alwani: Kursus yang saya ambil adalah MSc Composition for Screen (program setahun) di University of Edinburgh, Scotland.

Kursus ini fokusnya lebih kepada penghasilan muzik untuk media massa. Di sini saya belajar untuk membuat dan menggubah lagu untuk film soundtrack, background music, music for animation, games, radio, advertisement dan sebagainya.

Vocket: Setakat ini, apakah pengalaman atau pengajaran yang diperolehi dari sudut yang lain, selain dari pendidikan muzik itu sendiri?

Alwani: Terlalu banyak jika nak di kupas satu-persatu. Tetapi pada saya, dalam mendalami muzik, seseorang perlu ikhlas dalam muziknya agar maksudnya kesampaian.

Begitu juga dalam perkara lain (kehidupan). Sebagai manusia kita seharusnya ikhlas dalam menjalani kehidupan dan bukan berpura-pura hanya untuk kepentingan diri sendiri.

Selain itu, ‘komunikasi’ juga adalah satu faktor yang amat penting. Saya lihat komunikasi dalam bidang muzik terbahagi kepada beberapa sudut.

Pertama, komunikasi secara lisan. Sebagai pemuzik, kami harus bekerjasama dalam pelbagai aspek untuk mencapai muzik yang bersatu.

Selain itu, untuk mendapatkan networking dan kenalan di dalam industri, adalah lumrah bagi kami untuk meluaskan peluang empayar karier kami dengan mengenali lebih ramai orang untuk medapatkan peluang dalam industri.

Kedua adalah komunikasi menggunakan bahasa tubuh dan naluri. Sesebuah lagu mempunyai jiwanya tersendiri. Adalah penting bagi seorang pemuzik untuk memahami maksud dan perasaan lagu.

Instrumen, gubahan, atau suara (nyanyian) adalah sebagai medium yang digunakan untuk mengekspresikan lagu.

Kadang kala, apabila berlakunya sesuatu perkara yang tak diingini (terutama sewaktu konsert), seperti berlaku kesilapan sama ada ketara atau tidak; kami harus peka dan flexible/spontaneous untuk mengubah atau menyesuaikan diri dengan masalah.

Dengan menggunakan bahasa tubuh, eye-contact dan kreativiti kami, masing-masing akan memberikan isyarat untuk membaiki keadaan.

kerjaya-pemuzik-professional-9
Lagu-lagu saya yang kini dimainkan di radio: “Sinar Pelangi” nyanyian Danial Chuer (Juara Idola Kecil) dan “Impianku” nyanyian Haleeda Mazlin

Vocket: Setakat ini dah pernah sertai mana-mana pertandingan atau menyertai mana-mana persembahan di peringkat antarabangsa?

Alwani: Alhamdulillah setakat ini saya telahpun dijemput untuk mengikuti beberapa persembahan.

Diantaranya adalah menjadi pengarah muzik bagi eventColours of Malaysia’ yang telah dianjurkan oleh persatuan EMSA (Edinburgh Malaysian Student Association).

Dengan kekuatan seramai hampir 50 orang yang terdiri daripada kalangan pelajar di sini, kami telah mengetengahkan lagu-lagu berunsurkan tradisional seperti Dikir Barat.

Selain itu, saya juga telah membuat persembahan bermain alat sitar di beberapa lokasi tumpuan di sekitar Edinburgh. Antaranya, Jazz Bar Edinburgh dan Wee Red Bar dibawah kelab ‘sitar project’.

Tambahan pula, saya juga telah berkolaborasi bersama rakan komposer antarabangsa seperti dari Mesir, Scotland dan Slovenia.

Antara kolaborasi ini melibatkan hasil kerja untuk penghasilan filem, filem pendek, iklan, teater dan animasi. Saya juga telah berkerjasama dengan dengan pengarah-pelajar animasi National Bulgaria University (NBU) dan Edinburgh College of Art (ECA) bagi projek ’10x10x16′ yang telah dianjurkan oleh pihak University of Edinburgh.

Vocket: Apakah masa depan yang Wani lihat dalam bidang yang diceburi setakat ini?

Alwani: Secara amnya, terdapat banyak cabang peluang di dalam bidang muzik yang masih belum habis diterokai. Di dalam bidang ini khususnya dengan meningkatnya pengeluaran filem dan penggunaan media yang semakin aktif, permintaan juga dilihat semakin meningkat.

Sudah tentu, kami sebagai komposer diperlukan untuk mencipta latar belakang muzik (underscoring / background music) bagi sesebuah filem.

Oleh itu bagi saya terdapat peluang yang luas jika hendak dieksplore didalam bidang muzik perfileman itu sendiri.

Bukan itu sahaja, bidang pembuatan lagu bukan sahaja tertumpu pada genre ‘OST (Original Soundtrack)’, ‘Underscoring’ untuk filem-filem. Akan tetapi, skop lagu-lagu untuk ‘Gamings’, ‘Musical Theater’, iklan-iklan di TV dan Radio dan sebagainya.

kerjaya-pemuzik-professional-6

Vocket: Boleh kongsikan pengalaman manis sepanjang terlibat dalam kursus ini.

Alwani: Sesungguhnya pengalaman selama setahun ini telah memberi pelbagai pengajaran dan memori manis, bukan sahaja dari segi intipati kursus itu sendiri, tetapi pengenalan saya bersama rakan-rakan sekelas yang datang dari pelbagai latar belakang dan negara!

Tidak semua di kalangan kami adalah lepasan ijazah dari bidang muzik. Walaupun mengambil Master dalam jurusan muzik, beberapa rakan saya adalah lepasan graduan bidang Engineering, Business Managemnet, Accounting dan Teater.

Walaupun begitu, setidaknya kami harus ada asas bermain alat muzik dan mahir menggunakan software dan teknologi untuk mencipta lagu sebelum memasuki diterima memasuki kursus ini.

Supaya tiada kekeliruan yang berlaku disini, saya akan terangkan bagaimana kami dipilih masuk ke Universiti ini; dan ini akan menerangkan mengapa sesetengah pelajar dari bidang bukan muzik terpilih untuk mengambil jurusan ini.

Kemasukan kami dinilai melalui 5 buah lagu (mp3 atau audiovisual) yang terdiri dari pelbagai genre dan style.

Mempunyai rakan-rakan (seramai 14 orang ahli) yang datangnya dari pelbagai negara dan latar belakang membuatkan kami mempelajari dan berkongsi pelbagai jenis muzuk dari negara masing-masing.

Itu lah yang membuatkan saya sangat seronok belajar dalam kursus ini. Antaranya, muzik-muzik yang berunsurkan Ethnic / Traditional (China, India, Japan, Arab, Egypt, French, Mexico, Slovakia, English Folk Music, dan lain-lain).

Tidak kurang juga, lagu-lagu seperti Electronic, Contemporary, Classical, dan sebagainya dapat dipelajari di sini. Selain itu, intipati kursus ini juga menarik. Ia memberikan saya pelbagai peluang untuk membuka minda saya untuk mendalami dan mengharagai perfileman muzik.

Antaranya adalah aktiviti menjadi konduktor orchestra bagi lagu ciptaan sendiri (kelas orchestration), aktiviti menonton wayang bersama pensyarah dan rakan-rakan sekelas di Film House, Edinburgh, kolaberasi menghasilkan ‘short film’ bersama pelajar-pelajar daripada universiti kami dan antarabangsa.

kerjaya-pemuzik-professional-7

Vocket: Ada pengalaman kurang menyeronokkan pernah dilalui sepanjang serius belajar muzik ni?

Alwani: Saya lebih suka memanggil hal ini sebagai cabaran, dari menyatakan bahawa ianya adalah pengalaman yang kurang menyeronokkan.

Kerana di penghujungnya saya mempelajari pelbagai benda menarik dan mendapat hasil yang memuaskan. Untuk mempelajari muzik bukanlah sesuatu yang mudah. Kami perlu berlatih berjam-jam sehari untuk mempersembahkan sesuatu yang baik.

Sebagai contoh, saya pernah bermain piano sehingga pergelangan tangan tercedera dan perlu dirawat sebelum boleh bermain seperti sedia kala.

Selain itu, proses menghasilkan lagu bukan sesuatu yang mudah. Setelah selesai mencipta muzik, kami harus memlaui proses ‘recording’, ‘mixing’ dan ‘mastering’ yang menyebabkan kami harus meluangkan masa sehingga berhari-hari, minggu, mahupun bulan untuk mendapatkan kualiti yang dikehendaki.

Mungkin untuk kita mendengar lagu selama 4 minit itu adalah mudah, tapi proses menghasilkannya mampu mengambil masa 2 minggu ke 2 bulan untuk menyiapkannya (bergantung pada tahap kesukaran lagu).

Sudah tentunya laluan untuk mempelajari apa-apa bidang bukanlah mudah, lebih-lebih lagi diperingkat Master, begitu juga dengan muzik. Agak mengecewakan apabila ada yang menganggap, mengambil jurusan muzik itu sesuatu yang mudah dan hanya untuk mendapatkan populariti.

Tidak dinafikan bahawa pengaruh media massa menyebabkan karier muzik ini dilihat sebagai sesuatu yang senang dan ‘fun’. Rata-rata, apabila menanyakan tentang bidang yang saya ceburi (muzik) pasti akan membalas:

“Oohhh nak jadi penyanyi macam Siti ke?”
“Waaahhh, mesti senangkan belajar muzik?”
“Apa je yang korang belajar dalam bidang muzik?”
“Budak muzik pun kena baca buku ke untuk pandai?”
“Eh, muzik ni bukan haram ke?”
“Ada ke peluang perkerjaan dalam muzik?”
“Banyak ke gajinya?” dan sebagainya.

Agak terkilan apabila kebanyakan respons yang saya dapat banyaknya masih berunsurkan pandangan skeptikal yang agak negatif dan kurang memberansangkan.

Tidak salah, jika seseorang individu itu tidak tahu apa yang kami buat sebagai pemuzik, tapi untuk menghukum dan generalize kami seperti kami tiada masa depan adalah yang paling membuat hati ini terkesan.

Vocket: Apakah jenis peluang pekerjaan yang dapat diperolehi daripada bidang ini?

Alwani: Jika dilihat dalam bidang kursus yang saya ambil ini (film music), antara peluang pekerjaan yang biasa adalah: Music Composer, Music Editor, Orchestrator, Copyist, Music Conductor dan Music Arranger.

Seperti yang telah dimaklumkan, skop kami bukan sahaja untuk mencipta lagu bagi filem sahaja, namun lagu-lagu untuk ‘games’, ‘jingles’(Radio), ‘advertisements’, ‘pop music’, teater, dan lain-lain lagi. Secara asasnya adalah kerja di belakang tabir.

Vocket: Boleh Wani berikan sedikit pesanan buat pembaca yang meminati muzik?

Alwani: Meminati muzik tak semestinya anda harus menjadi professional dalam bidang ini. Saya tahu, ramai yang meminati bermain alat muzik dan tidak ketinggalan yang suka mendengar lagu setiap hari.

Bagi saya, saya tanamkan bahawa “Muzik itu adalah eksperesi diri”. Jika anda di luar sana, berminat bermain muzik, jangan segan dan jangan takut untuk mencuba.

Ada yang segan, takutkan salah, malu dan sebagainya. Bagi saya, muzik bukan sahaja untuk populariti tetapi untuk dan menghiburkan diri dan orang-orang sekeliling kita.

Bahkan bermain muzik untuk kepuasan diri, walaupun hanya seorang diri sudah cukup untuk membuat kita rasa gembira dan tingkatkan keyakinan diri sendiri, bak kata orang “to feel good about yourself”.

Bagi yang gemar menyanyi, jangan segan dan silu untuk cuba menyanyi di karaoke bersama rakan-rakan yang bermain alat muzik, atau bernyanyi di bilik air, haha!

Kadang kala, kita tak sedar potensi yang ada pada diri sendiri, cuma kita hanya perlu gilapkannya. Terdapat banyak juga penyanyi dan pemuzik di dalam industri kita yang sebenarnya, tidak mempunyai pendidikan formal dalam bidang muzik dan hanya berbekalkan bakat anugerah Tuhan.

Walaupun begitu, mereka masih berjaya mencipta nama dan menjadi among the best.

Bagi yang sudah ada niat untuk menjadi pemuzik, saya mengalu-alukan kehadiran anda untuk mewarnai industri muzik tanah air. Jadilah diri anda sendiri, jangan cuba meniru gaya-gaya yang telah ada di dalam pasaran kita.

Ya, mungkin teknik dan cara mereka sangat hebat, tak salah untuk meniru dan menghafal segala gaya dan skill mereka (bagus untuk membina teknikal). Tapi ingat, di dalam bidang seni, identiti diri adalah yang paling penting!

 

Vocket: Ada info lain yang ingin Wani di kongsikan?

Alwani: Saya berasal dari Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah Taiping (SERATAS), ramai yang menyangka ‘budak sains’ tak akan venture into music field.

But here I am, saya mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran dalam bidang muzik secara serius kerana minat saya yang mendalam dalam bidang ini.

Pendedahan di awal usia meyebabkan saya ada basic music knowledge. Namun, bakat itu dapat diasah dengan mendalam apabila saya mengikuti pelbagai aktivit kokurikulum di SERATAS.

Saya juga merupakan konduktor Wind Orchestra (SERATAS ROYAL RHAPSODY) pada tahun 2008 dan memenangi tempat ke-3 di dalam SBP Wind Orchestra 2008.

Pesanan saya buat pembaca, kehidupan ini adalah pilihan kita sendiri, kita yang membentuk dan mencorakkannya. Berikanlah kehidupanmu kualiti dan value yang anda hargai.

Nikmatilah kehidupan ini, kerana terlalu banyak juga kesedihan dan kepayahan hidup yang harus ditempuhi. Buatlah apa yang rasa seronok (pekerjaan) dan apabila anda puas dan gembira, itu lah erti kejayaan sebenar.

Bagi saya, kejayaan bukan hanya diukur pada ‘jawatan’ yang disandang, ‘gaji’ yang diperolehi, ‘status dan pangkat’ yang dijawat. Namun, kalau keseronokan dan kepuasan bekerja itu tiada, kurang maknanya juga.

Bagi sesiapa yang mungkin ada rasa menyesal dengan bidang yang mereka ceburi sekarang, walau apapun, carilah ketenangan dan keseronokan dalam bidang yang diceburi.

Cuba cari jalan untuk membuatkan hari-hari bekerja anda lebih menarik. Cari hobi untuk de-stress, atau jika anda cukup berani (last solution dan jika anda tekad), belajarlah benda yang anda suka, jadi yang terbaik, dan bekerjalah did alam bidang yang anda pilih itu. Kepuasannya, hanya anda seorang sahaja tahu.

kerjaya-pemuzik-professional-10

Terima kasih Wani atas kesudian berkongsi tentang peluang dan kerjaya di bidang ini. Semoga ia menjadi pembuka mata dan inspirasi buat mereka yang turut berminat untuk menceburi bidang ini. Di kesempatan ini juga saya dan seluruh warga Vocket mengucapkan selamat maju jaya buat Wani.

Anda boleh ikuti perkembangan Wani di Facebook Page Alwani Badaruddin dan di YouTube channel Amanina Alwani.

Baca lagi: Benarkah Graduan Seni Tiada Masa Depan? Ini Bukti Daripada Saya