Baru-baru ini tular dakwaan bahawa jika minum susu secara berlebihan boleh menyebabkan mata menjadi rabun. Kenyataan ini dibuat oleh seorang ahli agama yang sebelum ini pernah tular dengan kenyataan bahawa seorang lelaki itu dayus jika membenarkan doktor lelaki menjadi bidan kepada isteri.

Kedua mereka yang dipercayai suami isteri ini memetik kitab Ibnu Qayyim al-Jawziyya, di mana ia menyebutkan dalam bab berlebih-lebihan minum susu boleh menyebabkan mata rabun. Kenyataan itu bagaimanapun tidak dipersetujui oleh netizen. Bahkan, ramai warganet yang mempertikaikan ustaz tersebut yang juga mengenakan cermin mata rabun itu.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Terbaharu, seorang pakar perubatan dan juga pemengaruh media sosial Twitter, Khairul Hafidz tampil menjawab dakwaan tersebut. Dalam ciapan yang dibuat sejak semalam, Khairul menjelaskan bahawa beliau tidak jumpa mana-mana kajian ilmiah yang menyatakan bahawa terdapat bukti jika seseorang itu minum susu secara berlebihan matanya akan menjadi rabun.

“Mengenai isu minum susu berlebihan penyebab rabun. Oleh kerana individu tersebut mengatakan bahawa dalam perubatan ada mengatakan minum susu berlebihan penyebab rabun, jadi saya membuat carian literature. Kesimpulan saya, saya tak jumpa literature yang nyatakan sedemikian,” katanya dalam ciapan yang dimuat naik di laman Twitter peribadinya.

Khairul juga memetik kajian seperti Osama & Daoud yang membuat kesimpulan bahawa tiada kaitan antara minum air susu dengan penyakit katarak. Manakala kajian sistematik dan analisis meta oleh Bharwani pula menyatakan bahawa pengambilan susu “membantu untuk isu retinopathy of prematurity,” dan dalam satu tulisan panjang oleh Gopinath, beliau menyatakan bahawa pengambilan produk tenusu yang rendah meningkatkan risiko terjadinya ‘age-related macular degeneration’.

“Setakat carian saya, saya tak jumpa lagi mana-mana literature perubatan yang ada kaitan terus (direct cause) minum susu (tidak kira sedikit atau berlebihan) penyebab rabun. Saya minta individu tersebut untuk kongsi artikel perubatan mana yang dia baca yang mengatakan demikian.

“Individu itu juga memetik hadith mengenai isu ini. Untuk hal ini, saya serahkan kepada yang pakar. Mohon pencerahan daripada asatizah untuk menerangkan isu ini.

“Pendek kata, tak usahlah mengelirukan orang ramai dengan fakta perubatan yang tidak betul/tidak tepat, malah mengatakan ada fakta perubatan yang menyokong hujah. Jika ada fakta tersebut, mohon sebut mana sumbernya,” katanya.

Ciapan yang dimuat naik itu mendapat perhatian netizen. Kebanyakan mereka bersetuju dengan beliau dan sebahagian pula mendesak agar pengamal agama tersebut tampil dengan bukti ilmiah bahawa wujud penyakit tersebut.