Masih segar di ingatan saya di tahun lepas apabila Ahmad Wazir Aiman, pelajar perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia menghubungi saya di Facebook.

Dengan nada teruja (ye, saya boleh rasakan keterujaan beliau meskipun kami berhubung melalui private message), beliau berkongsi projek amal yang bakal dilaksanakan dalam masa beberapa hari lagi di ketika itu.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca: Lihat Rakan Hidup Susah Sewaktu Kecil Buat Wazir Memandu 2800KM Untuk Sampaikan Bantuan

Tawaran ke Jepun

Wazir pada ketika itu juga agak kesuntukan masa kerana mengejar antara mahu beramal dan bakal di hantar ke Jepun 10 hari sebelum raya menjelang bagi memenuhi tawaran posting elektif selama sebulan di Niigata, Jepun.

“Saya dihantar ke Jepun untuk tujuan posting elektif setelah mendapat surat tawaran untuk kajian pandemik influenza A dan B di Niigata University Hospital, Jepun. Nama program tersebut adalah Genetic Laboratory Surveillance of Influenza A and B virus in Japan.”

Yang lebih menarik, Wazir merupakan satu-satunya pelajar yang terpilih menyertai program ini pada tahun lepas. Di samping itu, Wazir juga merupakan pelajar pra-siswazah pertama dari UKM yang terlibat dalam kajian ini.

“Pada tahun-tahun sebelum ini,  yang dihantar untuk bantu kajian ini adalah pelajar post-grad tetapi rezeki saya pada tahun lepas, supervisor saya di Jabatan Kesihatan Masyarakat memilih saya untuk pergi dan terlibat dalam kajian ini selama sebulan.”

Ujar Wazir lagi, beliau banyak belajar tentang behaviour influenza virus di negara 4 musim ini, meneliti perkembangan virulent strains, program vaksinasi dan perlindungan wabak tersebut yang dijalankan untuk rakyat Jepun.

Beliau juga dapat melihat secara dekat polisi kesihatan yang diamalkan di Jepun terhadap wabak influenza yang sering menyerang negara tersebut berbanding Malaysia.

Namun alhamdulillah, projek amal ‘Ramadan Voyage of Hope’ 2016 berjaya dilaksanakan oleh Wazir sebelum beliau berangkat ke Jepun.

Antara aktiviti harian Wazir sewaktu di Jepun.

Beraya di perantauan buat pertama kali tanpa keluarga.

Kejayaan Projek Amal ‘Ramadan Voyage of Hope’ 2016

Saya akui semangat anak muda ini memang luar biasa. Beliau memandu secara solo sejauh 2800km mengelilingi Semenanjung Malaysia, menjelajah setiap negeri semata-mata untuk menyerahkan sendiri bantuan berupa makanan dan duit raya kepada golongan asnaf, ibu tunggal dan keluarga miskin yang telah dikenalpasti pada tahun lepas.

Lebih manis apabila usaha beliau ini turut mendapat perhatian pihak akhbar dan stesen TV sehingga disiarkan di beberapa akhbar tempatan dan di dalam rancangan Misi Ihsan Episod 12 di Capital TV (siaran di bawah Hypp TV).

Selain daripada itu, Wazir juga telah dipilih sebagai salah seorang daripada 4 anak muda Malaysia yang menerima anugerah The Incitement Top 10 Volunteer Award kerana kerja-kerja sukarelawan yang telah mereka dilakukan.

Anugerah oleh Incitement.com ini  telah yang menyenaraikan 10 anak muda yang dilihat bakal mengubah dan mengangkat kerja-kerja kemasyarakatan di seluruh dunia. Turut berada dalam senarai ini adalah para sukarelawan muda dari Pakistan, Indonesia, Bostwana, India, dan beberapa negara lagi. Artikel penuh boleh dibaca di sini.

Perasaan selepas berjaya melaksanakan ‘Ramadan Voyage of Hope’ 2016

Pernah melihat kesusahan hidup rakan sekelas sewaktu kecil sebenarnya banyak mempengaruhi usaha yang dilakukan oleh pemuda ini sehingga beliau berazam untuk melakukan sesuatu bagi membantu golongan yang memerlukan ini.

“Perasaan yang menguasai diri sepanjang perjalanan solo 5 hari tersebut bercampur aduk antara teruja dan gembira apabila dapat membantu, di samping rasa malu dan bersyukur apabila mengenang semula nasib diri dan keluarga yang lebih ‘mewah’ secara relatif berbanding mereka yang dibantu.”

Malahan menurut Wazir, beliau turut menitiskan air mata apabila melihat penerima bantuan menangis terharu dan gembira sewaktu menerima kunjungan beliau.

Bagi Wazir, sukar bagi beliau menggambarkan perasaan terharu dan puas yang bertandang serentak di hati beliau pada ketika itu kerana dapat membantu dan meringankan beban beberapa keluarga yang terpilih.

“Mereka terharu apabila ada orang datang dari jauh mencari mereka semata-mata untuk memberi bantuan dan itu merupakan antara saat-saat yang penuh emosi!” – Wazir.

Wazir bersama asnaf yang beliau kunjungi sewaktu projek Voyage of Hope 2016.
Projek Voyage of Hope tahun 2016 turut mendapat perhatian pihak Capital TV.
Keratan akhbar tentang kejayaan Wazir menjayakan Voyage of Hope pada tahun 2016.
Wazir sewaktu hadir bagi menerima anugerah The Incitement Top 10 Volunteer Award yang menyenaraikan 10 individu yang dilihat bakal mengubah dan mengangkat kerja-kerja kemasyarakatan.

Kenangan manis yang dilalui sepanjang projek tahun lepas

Perasaan teruja menyelubungi diri saya pada ketika itu kerana dapat bertemu dan melihat sendiri keluarga yang menerima bantuan. Saya juga rasa terharu dan gembira apabila dapat menyerahkan sendiri bantuan kepada mereka.

Contohnya, ibu saya yang juga seorang guru besar memberikan alamat dan maklumat rumah pelajar yang berasal daripada keluarga yang hidup dalam serba kekurangan.

Apabila selesai dibantu, beberapa hari kemudian ibu saya menceritakan betapa sayunya hati di saat anak-anak murid tersebut hadir ke sekolah untuk mengucapkan terima kasih kerana bantuan dan makanan sedap yang mereka terima untuk berbuka.

Bagi kita mungkin air kotak berperisa, air kordial itu merupakan perkara biasa namun untuk mereka ianya adalah sejenis once in a while luxury.

Ada juga keluarga yang merupakan bekas gelandangan menangis terharu kerana tidak sangka ada orang yang tahu tentang keadaan keluarganya, apatah lagi berjalan jauh semata-mata untuk sampaikan bantuan.

Di saat itu, saya rasa sangat gembira kerana berjaya membuat keluarga ini ‘rasa dan sedar’ bahawa ada yang prihatin tentang mereka.

Wazir bersama asnaf yang beliau kunjungi sewaktu projek Voyage of Hope 2016.

‘Ramadan Voyage of Hope Sabah’ 2017

Bertitik tolak dari kejayaan projek amal tahun lepas, Wazir mengambil keputusan untuk meneruskan projek yang sama di tahun ini, tetapi berbeza lokasi.

“Selain daripada saranan untuk membawa jelajah ini ke Borneo, kejayaan dan sokongan yang diterima pada tahun lepas turut menjadi pemangkin kepada cetusan jelajah tahun ini.” – Wazir.

Projek jelajah selama 4 hari ini akan bermula pada 16 hingga 20 Jun 2017. Antara daerah yang bakal dikunjungi oleh Wazir adalah keluarga asnaf di Kolombong, Kudat, Ranau dan Kundasang.

Kenapa di Sabah?

Wazir memilih untuk membawa misi kali ini ke Negeri di Bawah Bayu susulan maklum balas yang diterima daripada mereka yang mengikuti dan menyokong jelajah ini pada tahun lepas.

“Mereka sarankan dan juga berharap agar jelajah ini dapat dilaksanakan di Sabah. Ini disebabkan kehidupan penduduk Sabah terutama di kawasan luar bandar yang serba kekurangan dan lebih memerlukan. Bilangan mereka yang berada di bawah paras kemiskinan juga lebih tinggi di negeri ini.”

Proses kenalpasti golongan asnaf dan mereka yang memerlukan bantuan

Proses pemilihan golongan asnaf dan mereka yang memerlukan bagi tahun ini dilakukan melalui wakil daerah yang telah dipilih. Mereka ini lebih arif tentang data dan maklumat kemiskinan keluarga yang perlu dibantu.

“Antara wakil daerah yang mengenalpasti keluarga ini adalah imam masjid yang mempunyai dokumentasi dan maklumat tentang keluarga asnaf, individu atau keluarga yang layak terima zakat ataupun mereka yang miskin namun tidak cukup syarat untuk terima zakat.”

Selain daripada itu, guru kebajikan sekolah juga dijadikan rujukan dan dilantik oleh Wazir menjadi wakil daerah kerana mereka mempunyai maklumat tentang pelajar-pelajar yang berasal daripada keluarga miskin dan memerlukan bantuan di rumah.

Malahan menurut Wazir, dari pengalaman beliau pada tahun lepas, guru sekolah merupakan kumpulan yang banyak membantu dan mengenalpasti murid pandai yang berasal daripada keluarga miskin. Lebih menarik, ada antara murid tersebut pernah menjadi gelandangan.

Wazir bersama asnaf yang beliau kunjungi sewaktu projek Voyage of Hope 2016.
Wazir bersama asnaf yang beliau kunjungi sewaktu projek Voyage of Hope 2016.

Target kutipan bagi ‘Ramadan Voyage of Hope Sabah’ 2017

Tahun ini, kami sasarkan kutipan total sekitar RM 9 ribu (7 ribu kurang daripada hasil kutipan jelajah tahun lepas) untuk membantu membekalkan barang dan makanan dapur seperti beras, minyak masak, garam dan gula dan banyak lagi.

Selain daripada bantuan tersebut, seperti biasa, bantuan kewangan juga akan disalurkan untuk meringankan beban perbelanjaan keluarga ini.

Dan lebih unik untuk jelajah ini, kami akan bekalkan set ‘hygiene’ terdiri daripada berus gigi, ubat gigi sabun mandi dan alat kebersihan diri yang lain. InsyaAllah, sekitar 45-50 Keluarga akan dibantu melalui jelajah kali ini.

Harapan untuk projek kali ini

Harapannya kali ini, 45 – 50 keluarga yang telah dikenal pasti ini dapat dibantu dan diringankan beban mereka dalam mengharungi Ramadan di samping persediaan menyambut Syawal.

Pesanan kepada pembaca Vocket

“Kepada para pembaca, mungkin ramai yang pernah menjejak kaki ke Sabah, mungkin ramai juga yang belum sempat.

Walaubagaimanapun, jauh di sana ada ramai keluarga yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, mencatu wang perbelanjaan, mengikat perut mahupun terpaksa membanting tulang di usia yang lanjut demi menjalani hidup seharian.

Jangan biarkan tangisan dan kesusahan mereka tidak didengari, saya ajak para pembaca derma seikhlas mana yang mampu.

Kepada mereka yang berasa ingin membuat amal baik, tiada bulan yang lebih baik untuk anda menderma dan membantu orang lain berbanding bulan mulia, bulan Ramadan, di mana amal itu digandakan berkali-kali.

Ayuh kita tunjukan kepada mereka, walau jauh, kita peduli tentang kebajikan mereka dan pendidikan anak-anak mereka.” – Wazir.

Wazir Aiman, 5 dari kiri bersama rakan sekelas beliau di HUKM.
Wazir sewaktu dianugerahkan sebagai pembahas terbaik keseluruhan pertandingan UKM MeDebate 2017.
Wazir masih gigih hadir meneruskan posting di hospital dan enggan mengambil cuti selepas pembedahan kedua di pergelangan kaki beliau.

Demikian harapan dan misi besar seorang anak muda yang ingin menunaikan impian membantu insan lain sejak kecil.  Mungkin ada di antara anda yang terfikir kenapa projek ini hanya dijalankan setahun sekali?

Kawan-kawan, anak muda ini masih belajar. Wazir bukan hanya terikat dengan komitmen dan tanggungjawab sebagai pelajar di tahun 4 kursus perubatan, tetapi juga perlu bertugas sebagai wakil pelajar di Fakulti Perubatan, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), menggerakkan persatuan dan NGO yang didokong oleh beliau di samping aktif bersukan dan kegiatan ko-kurikulum di kampus.

Namun segala kekangan dan tanggungjawab ini tidak menghalang Wazir daripada melaksanakan sendiri misi kebajikan yang pernah beliau impikan sejak kecil.

Itulah sebabnya kenapa secara peribadi saya menyokong usaha beliau ini. Apatah lagi, di bulan yang mulia ini pahala bersedekah itu berlipat ganda besarnya berbanding di bulan-bulan yang lain. Terasa amat rugi jika peluang sebegini tidak direbut.

Bagi anda yang ingin menyumbang tak kira berapa pun jumlahnya hatta RM1, sumbangan boleh dibuat ke akaun Bank Islam 14247010061331 atas nama Deen Dosage.

Untuk pertanyaan lanjut boleh hubungi Wazir di Facebook Page Deen Dosage (sebelum ini dikenali sebagai Dakwah Dosage).

Baca kisah Wazir yang telah kami siarkan pada tahun lepas:  Lihat Bagaimana Lihat Rakan Hidup Susah Sewaktu Kecil Dorong Wazir Menggerakkan Ramadan Voyage of Hope