Kemunculan monumen logam misteri (monolit) di kawasan terpencil di padang pasir Utah, Amerika Syarikat telah mencetuskan pelbagai spekulasi. Bagaimanapun, kemunculan monolit di Utah itu bukanlah yang terakhir. Kejadian yang sama juga turut direkodkan di Romania dan California.

Situasi misteri ini telah membuatkan orang ramai mula berteka teki. Pelbagai soalan mula timbul, dan kebanyakan dari mereka bertanya bagaimana ia boleh berada di sana? Siapakah yang bertanggungjawab meletakkan monolit itu di sana?

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Tidak lama sebelum persoalan ini dijawab, monolit tersebut dilaporkan hilang dan tidak pasti di ambil orang atau memang dibawa lari oleh ‘alien’.

Di Utah

Monolit logam itu dijumpai pada 18 November. Selepas membuat kemunculan misteri, monumen itu pula dilaporkan hilang secara tiba-tiba selepas sembilan hari ia ditemui.

Saksi kejadian, Ross Bernards, seorang jurugambar dari Colorado, AS, melaporkan bahawa terdapat empat individu yang mengambil monolit setinggi 2.8 meter di Utah, AS.

Dia berkata kepada New York Times bahawa dia memandu selama enam jam untuk melihat sendiri struktur aneh yang mencetuskan spekulasi di seluruh dunia.

Dia sempat mengambil beberapa keping gambar sebelum monolit itu dijatuhkan ke tanah dan ditarik masuk ke bahagian belakang kereta oleh empat orang lelaki.

Di Romania

Apabila monolit di Utah hilang, monumen logam misteri kedua muncul di Romania. Monolit kedua dijumpai di bandar Piatra Neamt, Romania.

Ia ditemui berdiri di dataran tinggi Bâtca Doamnei, berhampiran tapak arkeologi yang menghadap ke bandar. Ia adalah salah sebuah tapak arkeologi yang terkenal dengan Kubu Petrodava Dacian. Kubu ini dibina oleh orang Daci kuno antara tahun 82 SM dan 106 Masihi.

Malangnya, monolit di Romania mempunyai nasib yang sama dengan monumen di AS. Monolit di Romania dilaporkan hilang secara misteri sejurus ia ditemui.

Di California

Selepas monumen di Romania hilang, monolit yang sama pula muncul sekali lagi di AS. Kali ini monumen itu muncul di puncak Gunung Pine, Atascadero City, California.

Atascadero melaporkan bahawa monumen logam itu dibuat daripada keluli tahan karat, setinggi 3 meter dan lebar 400 sentimeter dengan anggaran berat 90 kilogram. Tidak seperti monolit di Utah dan Romania, yang tertanam di dalam tanah, monolit di California pula dikimpal di setiap sudut.

Tidak lama kemudian, monumen itu juga dilaporkan musnah dan dihancurkan oleh sekumpulan pemuda sayap kanan. Dalam satu video, kelihatan sekumpulan tiga lelaki dilihat menjatuhkan monolit itu sambil melaungkan “America First” dan “Christ is King.”

Salah seorang dari mereka memakai ikatan di kepala dengan slogan “Make America Great Again”. Dia turut menyebut bahawa monolit itu dibina oleh golongan “gay” dan menggantinya dengan monolit kayu salib.

Pengakuan artis

Kemunculan monolit telah menyebabkan banyak persoalan timbul. Ia juga tidak lari dari pelbagai teori konspirasi yang menyatakan bahawa ia adalah milik makhluk asing. Manakala sebahagian pula berkata bahawa ini adalah taktik pemasaran.

Tidak lama selepas misteri kemunculan dan kehilangan monolit di Utah, Romania dan California. Sebuah komuniti kecil seniman tampil mengaku bertanggungjawab membina monolit terbabit. Mereka bahkan menawarkan untuk membina monolit tersebut dengan harga $ 45,000, lapor The New York Post.

https://www.instagram.com/p/CIZbqyPFFUC/

Mereka yang dikenali sebagai The Most Famous Artist menyiarkan gambar monolit di akaun Instagram mereka pada Jumaat lalu. Mereka dilaporkan bersedia untuk mengambil tempahan pembinaan monolit dengan penghantaran akan mengambil masa sekitar 4 hingga 6 minggu.

Mereka juga memuat naik sekeping gambar sebuah monolit yang muncul di Taman Nasional Joshua Tree. The Most Famous Artist juga memuat naik sekeping gambar seorang lelaki bertopeng sedang menyiapkan sebuah monolit.

Ketika seorang pengikut laman Instagram mereka bertanya, “Adakah itu [milik] anda?,” The Most Famous Artist berulang kali menjawab: “jika anda maksud itu kami, jadi ya.”

Dalam temu bual bersama Mashable, pengasas The Famous Artis, Matty Mo menyatakan bahawa komuniti mereka memang terkenal dengan aksi-aksi seperti ini, “Saya dapat janjikan bahawa akan ada lebih banyak [monolit] seperti ini dalam beberapa hari dan minggu akan datang.”

Terdahulu, tugu ‘alien’ muncul secara misteri di tengah gurun. Klik pautan di bawah untuk membaca.

Tugu ‘Alien’ Muncul Secara Misteri Di Tengah Gurun