Hati-hati adik-adik yang masuk semester baru. Anda adalah target. Duit PTPTN dan duit biasiswa adalah untuk anda belajar.

Kalau nak cari pendapatan, juallah produk yang untung daripada benda fizikal seperti tudung ke, kasut, nasi lemak ke, apa-apa sahaja.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Elakkan perniagaan yang kena cari orang. Memang nampak macam sah, tetapi tak ada satu pun kawan aku yang kaya hasil daripada cari orang ni.

Jangan percaya

Jangan percayalah kononnya kata nak tolong bangsa dan agama. Jangan percayalah kononnya ustaz, tetapi ada skim berniaga itu ini, bulan-bulan dapat pendapatan sekian-sekian.

Dari Lazor sampailah ke herba-herba ni. Semua sangkut tepi jalan. Konon nak pakai kereta Honda, akhirnya, Honda EX5 je rupanya (bukan nak hina honda EX5, tetapi ini contoh orang yang tak serupa bikin). Kononnya pendapatan ratusan ribu, tetapi tersontot nak bayar balik hutang rakan-rakan.

Yang lagi keji, upline kau akan suruh kau minta ahli keluarga kau buat pinjaman untuk kau masuk perniagaan. Itu upline SETAN tahap IBLIS! Merosakkan orang.

Sampaikan ada kes di UM ni, pelajar pinjam puluhan ribu ringgit daripada pensyarah dengan buat alasan mak ayah sakit. Tetapi duit tu sebenarnya buat labur MLM. Bila dah tak dapat bayar, jadi malu dan mula tak datang kelas. Pelajaran entah ke mana, hutang pun keliling pinggang.

Kereta mewah

Ya, ada kawan aku pakai kereta mewah hasil MLM. Memang untung dari MLM tu dia beli kereta mewah, tetapi dia masih duduk rumah sewa.

Macam lagu “Amboi – Altimet”. Dan ada sorang kawan aku tu, dia pakai kereta dari Jerman. Tak sampai setahun, dengar dari kawan kereta dia kena tarik. Sebab “bonus” pelaburan asyik sangkut.

Lagi menyedihkan, satu keluarga kawan aku ni masuk Medina Fund. Nak dapat duit balik pun tak dapat dah. Semua tersontot.

1 keluarga haru biru. Gaduh adik beradik dan gaduh dengan ibu bapa. Balik kampung muka masam-masam. Ada yang menyebabkan sedara mara kena blacklist sebab jadi penjamin. Dapat telefon dari bank tiap-tiap bulan sebab benda jadi penjamin kakak, abang, anak sedara, dan saudara mara yang lain.

Makanan tambahan

Ada yang masuk MLM makanan tambahan, sebab tak dapat jual barang, paksa adik beradik beli.

Tarikh luput dah dekat, tetapi barang masih berkotak-kotak. Masa tu, terpaksalah mereka cakap makanan tambahan ni ubat. Boleh itu, boleh ini.

Lagi best, kononnya makanan tambahan ni boleh ubat sakit kronik dan akhirnya menyebabkan kematian kerana mempengaruhi pesakit untuk tidak menjalani rawatan konvensional.

Masa ni sebenarnya kau boleh jual balik kepada syarikat tu dalam tempoh 6 bulan dengan harga setinggi 95% daripada harga asal.

Tetapi syarikat MLM kau tu takkan beritahu benda ni.

Ketahui hak anda! Syarikat jualan langsung mesti ada polisi beli balik! Rujuk SNTMLM di halaman ini.

MLM bijak

Ada syarikat MLM yang bijak. Sebab dia nak elak polisi beli balik ni, dia suruh kau buka syarikat.

Hasilnya, syarikat kau tu beli barang dari syarikat dia. Dan benda ni kau pergi tribunal pengguna pun tak dapat buat apa-apa dah.

Sebab ini antara syarikat dan syarikat, bukan pengguna dengan syarikat.

Piramid MLM dan syarikat

MLM ni banyak buruk dari baik. Ada yang kata, skim piramid MLM ni sama dengan piramid di syarikat.

Tak sama adik-adik. Tak sama.

Struktur pangkat di syarikat adalah berdasarkan kelas dan datang dengan tanggungjawab yang lebih. Lagi banyak orang bawahan, lagi banyak komitmen dan tenaga yang diperlukan.

Malah, syarat-syarat untuk menjadi kelas atas dalam syarikat memerlukan skil dan profesional yang tinggi. Bukan sekadar karisma dapat cari orang.

Sruktur piramid MLM ajar kau, lagi tinggi pangkat kau, lagi goyang kaki kau. Sedangkan kau perlu tahu, kau adalah parasit kepada downline. Kau sedut kepayahan downline kau dengan ambil komisen downline kau.

Kalau MLM kau tu, asyik cakap pasal jutawan dan produk pun samar-samar je. Itu tanda kau akan tersontot satu hari nanti.

Kalau dia kata, labur sekian-sekian, kau duduk diam goyang kaki dan duit masuk tiap-tiap bulan. Stop it, itu juga tanda kau akan tersontot satu hari nanti.

Selain itu, ianya adalah riba yang nyata.

Lain dari yang lain

Ya, akan ada orang nak justifikasikan yang MLM company dia tu lain dari yang lain.

Kita ni pandukan kepada barang dan komisen daripada cari orang ni sikit. Yang tu terpulanglah pada kau.

Kalau kau rasa cari orang lagi untung dari jual barang company tu. Kau hentikanlah masuk MLM tu. Tetapi jual barang lagi untung dari cari downline, terpulang pada kau untuk stay.

Ya, sekarang ni ada MLM patuh syariah. Itupun suka hati kau lah. Tetapi kalau untung cari orang lagi banyak dari jual barang, macam di atas, kau hentikanlah MLM tu. Kalau untung jual barang lagi tinggi dari cari orang, ikut kaulah nak teruskan atau tidak.

Tetapi kau perlu tahu benda-benda ini bila kau buat jualan langsung MLM (jual barang lagi untung dari cari downline). Ada ciri-ciri di bawah, kau hentikanlah niat nak masuk.

1. Yuran pendaftaran yang mahal.

Kalau sampai yuran beribu-ribu ni, kau jangan masuk. Sebab sah ini money game untuk ambil komisen daripada yuran pendaftaran.

2. Barang yang mahal dan tak masuk akal.

Contohnya esktrak buah-buahan. Ada yang jual 200 mg dengan harga RM80-120. Kalau kau semak semula di Aliexpress ke, eBay ke, Alibaba ke, sah-sah kau akan jumpa 1kg yang harga RM150-200.

Mudahnya, tiga kali ganda yang murah. Nak lagi murah, baik kau beli buah dia terus dari pasar. Berganda-ganda murah. Tak perlu makan ekstrak buah yang diawet.

3. Elakkan barang yang kononnya superfood dan ubat itu ubat ini.

Makanan tambahan ialah MAKANAN TAMBAHAN! Bahasa Inggeris dia SUPPLEMENT!

Supplement ni kau ambil sekiranya zat dari makanan harian tak mencukupi.

Contoh seperti ibu mengandung yang ambil zat besi, vitamin B2, dan Asid Folik. Atau ibu menyusu yang ambil vitamin dan zat untuk penghasilan Kalsium yang lebih. Bukannya kau dah cukup zat dan vitamin, kau makan lagi zat dan vitamin.

4. Jangan beli barangan produk sains palsu.

Senang je nak kenal benda ni. Kalau kononnya 1 ubat ni, boleh sembuh banyak penyakit, itu membohong.

Kalau di hospital pun, 1 penyakit ada beberapa ubat. Malah ubat pun berbeza dari fizikal seseorang.

Contoh ubat orang kulit hitam tak sama dengan orang Asia. Malah, ada beberapa jenis ubat yang berbeza untuk penyakit yang sama.

Seperti ubat untuk darah tinggi jenis A menyebabkan kamu asyik batuk, pasti ada ubat darah tinggi jenis B sebagai alternatif dan tak bagi efek yang sama. Mak saya antara orang yang dapat ubat alternatif untuk ubatan beliau.

Atau satu mesin ni, boleh ubat macam-macam penyakit. Itu awal-awal lagi dinasihatkan untuk lari. Ciri utamanya, sah-sah harga beribu-ribu dan kau terpaksa habiskan wang yang banyak untuk benda yang overclaim tu.

Kalau stemcell dalam kopi dan makan kolagen tu, sah-sah tak benar sekiranya mengatakan untuk memutihkan kulit.

5. It’s all about money.

Yang nilah ciri utama kau perlu lari. Dari awal perkenalan dengan MLM tu, asyik cakap pasal jutawan, kaya raya, bantu mak bapak, good vibes, dan berbagai-bagai lagi yang kononnya minda positif atau aura kaya-raya ni.

Jangan terpedaya dengan basuhan otak jenis tu. Kebanyakannya akan berakhir dengan produk dia adalah “akidah” dan syarikat dia adalah “agama”.

Kesimpulannya dari aku, kau adalah minion bagi upline kau untuk hasilkan duit. Dia goyang kaki dan pakai air liur, kau adalah mangsa kerahan duit dan tenaga untuk mengkayakan dia.

Don’t be a fool.

Dari aku, jauhi terus MLM atau perniagaan yang ada bau-bau MLM ni.

Sebab ramai yang tak ke mana. Bonus yang kononnya dapat tiap-tiap bulan tu, kebanyakannya daripada produk terlebih mahal atau komisen dari yuran downline.