Baru-baru ini tular di media sosial apabila sebuah video berdurasi 11 saat yang dimuat naik oleh Bernama TV menunjukkan barisan panjang pekerja asing yang ditahan di salah sebuah tapak pembinaan oleh Jabatan Imigrisen kerana masuk ke negara Malaysia tanpa laluan yang sah.

“Jabatan Imigresen Malaysia menahan sejumlah pendatang tanpa izin yang bekerja di tapak binaan kondominium terletak di Jalan Persiaran Pertahanan, Kampung Wirajaya, Setapak,” kata ciapan yang dimuat naik oleh Bernama TV di laman Twitter milik mereka.

Namun berita penangkapan ini jelas tidak disenangi segelintir rakyat Malaysia apabila mereka menyatakan bahawa ini jelas melanggar hak pekerja asing terbabit yang hadir ke negara ini untuk mencari rezeki tetapi telah digunakan secara kejam oleh majikan yang mengambil mereka.

Sebahagian daripada rakyat Malaysia di Twitter berspekulasi bahawa ini adalah sebahagian daripada taktik kotor majikan atau bos-bos besar untuk lari daripada membayar upah pekerja asing terbabit setelah projek siap dibina. Manakala sebahagian pula mempersoal kenapa tiada penangkapan dilakukan ke atas jerung-jerung besar yang menggunakan khidmat pekerja asing terbabit.

Salah seorang netizen di laman Twitter dengan perasaan marah menyatakan bahawa, “Taktik mereka ini ulanglah sampai abang jamil mampus. Deme penat kerja kome senang-senang lapor, habis madu sepah dibuang. Aniaya orang, harap hidup mereka tak aman.”

Manakala seorang lagi netizen menyuarakan rasa kesian terhadap pekerja asing yang digunakan tersebut, “Kesian. Dipergunakan begitu. Dibayar rendah, risiko tinggi, merantau jauh dan kebanyakannya bekerja demi keluarga. Apabila ditangkap, muka mereka sahaja yang ditunjuk, sepatutnya muka-muka majikan mereka yang dipampang besar untuk semua.”

‘Taktik ini bukan baharu’ – aktivis

Dianggap sebagai ‘moden slavery’, bagi para aktivis, taktik majikan menggunakan Jabatan Imigresen untuk melepaskan diri daripada membayar gaji pekerja asing bukanlah sesuatu yang baru. Tambah mereka lagi, cara ini sudah lama dilakukan bagi mengurangkan kos perniagaan.

Abdul Aziz Ismail, salah seorang anggota Majlis Anti Pemerdagangan Manusia Selangor memberitahu Free Malaysia Today bahawa cara ini sudah diguna pakai sejak tahun 1990-an lagi dan dia secara peribadi telah terlibat dengan beberapa kes yang sama pada pertengahan tahun 2000-an.

rohingya_settlement_sentul_2404_(5)
Malay Mail

Dia menambah bahawa kes ini banyak berlaku di sektor pembinaan dan perladangan. Dengan syarikat kebanyakannya akan mengulang taktik ini dengan menggantikan kuota mereka. Setelah sekumpulan pekerja asing yang masuk tanpa izin ditangkap, majikan akan menghubungi ejen pekerja untuk menggantikan mereka yang telah ditangkap.

Dia turut menyatakan bahawa kes-kes ini berlaku disebabkan wujud rasuah di antara mereka yang terlibat dalam pemberian pas kerja dan ejen pekerja.

Manakala Glorene Das, pengarah eksekutif kumpulan hak Tenaganita menyatakan kepada Free Malaysia Today bahawa mereka telah menangani sejumlah kes serupa di mana kebanyakannya melibatkan sektor pembinaan. Pekerja asing ini akan ditangkap dan dihantar pulang seperti penjenayah serta tidak pernah dibayar.

3687672
Bangkok Post

Baginya, kejadian ini berlaku disebabkan pekerja asing ini mudah percaya dengan janj-janji yang telah diberikan oleh majikan. Mereka dijanjikan dengan gaji yang lumayan setelah projek berjaya diselesaikan dan dibayar dengan jumlah yang kecil pada peringkat awal untuk memuaskan hati pekerja asing terbabit.

Dari segi penyelesaian, Das melihat bahawa perlunya rombakan secara besar-besaran dalam sistem pengambilan pekerja asing. Selain itu, dia juga menuntut agar hukuman yang setimpal perlu dijatuhkan kepada majikan, pelabur dan agensi pekerjaan kerana melakukan hal yang tidak bermoral ini.

Untuk rekod, Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin memberitahu wartawan bahawa kementeriannya sedang meneliti tuduhan tersebut, dengan beberapa perniagaan dituduh melaporkan pekerja mereka kepada pihak berkuasa untuk mengelak daripada dibayar gaji.

Dokumentari ini papar realiti sebenar pekerja warga asing di syarikat Top Glove Malaysia. Klik pautan di bawah untuk membaca.

Dokumentari Ini Papar Realiti Sebenar Pekerja Warga Asing Di Syarikat Top Glove Malaysia

Bagaikan ‘Tin Sardin’, Pekerja Asing Ini Dihimpit Dalam Sebuah Kontena Yang Berbau Hancing

Kuala Lumpur Diiktiraf Bandar Ke-6 Terbaik Di Dunia Untuk Pekerja Asing