Tahun lalu, nama Syukor Khamis atau Kampung Boy dari Terengganu menjadi sebutan masyarakat dalam dan luar negara dek kerana kemesraannya bermain bersama kerbau yang dijaganya di Terengganu.

Telatah beliau bersama sekawan kerbau itu mula mencuri perhatian selepas gambarnya yang diambil jurugambar profesional itu pada 2019 mula tersenarai dan memenangi beberapa anugerah di peringkat antarabangsa.

Susulan daripada populariti yang diraih selepas mendapat pengikitirafan tersebut, kisah hidup Syukur bersama kerbaunya menjadi ikutan ramai di media sosial.

Bagaimanapun, pada pagi tadi perkongsian terbaru daripada Kampung Boy itu membuatkan netizen tergamam apabila beliau berkongsikan khabar duka kematian sekawan 25 ekor kerbau yang dijaganya.

Dalam hantaran yang dibuat di Facebook itu, Syukur menjangkakan kematian haiwan jagaannnya itu berpunca daripada wabak yang melanda haiwan ketika ini.

“Dugaan besar buat kami sekeluarga, mungkin sekarang musim wabak.

“Kami sekeluarga mengharapkan doa dari semua agar musibah ini segera berakhir,” tulis akaun Facebook Syukor Khamis-Kampong Boy

Perkongsian daripada Syukor itu mula tular di media sosial sejak pagi ini dan mula menerima ucapan takziah daripada netizen atas kejadian tersebut.

Antara yang terawal memberikan respon mengenai perkara itu adalah bekas mufti dan menteri agama ketika ini Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri yang menyampaikan ucapan takziah melalui satu hantaran di Facebook.

Orang ramai yang meninggalkan komen di hantaran yang dibuat di kedua-dua akaun tersebut juga menzahirkan rasa sedih terhadap tragedi tersebut dan meninggalkan kata-kata semangat buat anak muda dari Terengganu itu.

“Moga Allah beri kekuatan buat adik Syukor dan keluarga, semoga dipermudah segala urusan, Amin.

“Insya Allah ada rezeki lain untuk adik Syukur sekeluarga yang telah Allah aturkan,” tulis netizen di perkongsian tersebut.

Baca perkongsian kami mengenai gambar Syukor sebelum ini yang pernah memenangi anugerah di pautan di bawah. 

Gambar ‘Mowgli Malaysia’ Ini Berjaya Peroleh Anugerah Imej Terbaik Asia 2018

‘Mowgli Malaysia’ Jadi Bintang Utama Untuk Telemovie Budok Kuba