Beberapa minggu kebelakangan ini hangat diperkatakan dalam kalangan masyarakat mengenai ura-ura penutupan beberapa cawangan kedai buku terkenal MPH di seluruh negara. Malah pihak kami juga melaporkan perkara itu sebelum ini yang menjadi tanda tanya dalam kalangan netizen.

Bagi mengelakkan perkara tersebut terus menjadi  persoalan dalam kalangan orang ramai, pihak MPH Group Sdn Bhd pada semalam tampil menjelaskan perkara tersebut, seperti dilaporkan di portal SAYS.

Laporan tersebut menyebut peralihan kepada sistem “e-dagang dan ekosistem digital” menjadi salah satu sebab penutupan beberapa cawangan seperti yang tular sebelum ini.

“Kami mahu berhubung dengan pelanggan melalui beberapa touchpoints (titik sentuh perniagaan), sama ada dalam talian mahupun luar talian dengan menggunakan kesemua saluran,” kata ketua pegawai eksekutif Donald Kee.

Untuk memastikan perkara itu dapat direalisasikan, pihaknya perlu menggunakan  kesemua sumber yang ada dan mengamalkan pendekatan baru seperti menggabungkan kesemua cawangan yang tidak menunjukkan prestasi perniagaan yang baik.

Keputusan untuk beralih kepada platform e-dagang itu juga difahamkan kerana peningkatan jualan secara mendadak di laman MPHOnline.com ketika situasi perintah kawalan pergerakan ketika ini.

Susulan perkembangan positif trend pembelian dalam kalangan pelanggan ketika ini juga menurut mereka menyaksikan sistem jualan atas talian mereka sedang ditambah baik dan bakal dilancarkan kembali pada suku keempat tahun ini.

Perkenal vending machine buku

Selain peralihan kepada sistem atas talian, pihak MPH juga dalam kenyataan mengumumkan mereka merancang untuk membangunkan sistem vending machine sebagai salah satu tarikan terbaru mereka.

Mesin tersebut yang bakal diletak di beberapa kawasan strategik seperti stesen kereta api, universiti dan hospital akan membolehkan pelanggan mengambil (pick-up) buku yang telah dipesan mereka di dalam talian.

Jadi kepada anda yang tertanya-tanya dengan khabar angin yang mengatakan kedai buku tersebut bakal menutup operasi mereka di beberapa cawangan, kini anda tidak lagi perlu risau dengan perkara tersebut.

Pengecilan itu bukanlah bermakna kita tidak akan dapat lagi membaca buku-buku daripada kedai buku yang penuh nostalgik ini tetapi merupakan strategi perniagaab bagi memastikan kita akan dapat terus membeli tetapi dengan cara yang lebih mudah dan ditambah baik.

Baca mengenai perkongsian netizen sebelum ini yang menimbulkan tanda tanya dengan status penutupan beberapa cawangan kedai buku terkenal itu sebelum ini di pautan di bawah. 

Tular Senarai Cawangan MPH Bakal Ditutup, Ini Apa Yang Kami Ketahui Setakat Ini

15 Tahun Beroperasi, Akhirnya MPH 1 Utama Bakal Ditutup

Ini Senarai Kedai Buku Yang Buka Secara ‘Online’ Sepanjang Tempoh PKP

Sumber