Tidak dapat dinafikan aktiviti percutian di kawasan pantai sering mendapat tempat di hati masyarakat kita, namun destinasi yang terkenal sebagai tarikan pelancong ini juga sering dilihat menjadi mangsa kepada budaya vandalisme.

Jika sebelum ini kami telah berkongsi mengenai tarikan pelancong di Pantai Pengkalan Balak, Alor Gajah yang dijadikan meja untuk berkelah, kali ini perkara tersebut terjadi pula di Kuantan apabila laluan ke Teluk Tongkang sering diceroboh geng basikal.

Menerusi perkongsian Majlis Perbandaran Kuantan di laman Facebook, pihak tersebut telah memuat naik beberapa gambar menunjukkan terdapat beberapa penunggang basikal telah menggunakan laluan tersebut dengan menghiraukan papan tanda larangan yang diletakkan di kawasan tersebut.

Tidak cukup dengan itu, gambar yang dimuat naik turut memaparkan penghadang bagi laluan tersebut telah tercabut oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Terpampang papan tanda tidak dibenarkan laluan oleh basikal, diletakkan pula penghadang, namun dipatahkan dan di lalui juga oleh penunggang basikal.

“Bila laluan rosak, merbahayakan pengunjung yang lain. Beginilah berulang-ulang masalah laluan ke Teluk Tongkang ini bertahun-tahun,” menerusi perkongsian yang dimuat naik.

Walaupun rata-rata netizen yang memberi komen tidak setuju akan tindakan yang dibuat oleh pengunjung, sebahagian daripada mereka turut memberi beberapa cadangan bagi mengelakkan perkara berikut terjadi sekali lagi pada masa akan datang.

“Majlis Perbandaran Kuantan , saya cadangkan untuk Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) meletakkan pekerja berpakaian awam di sekitar taman awam di Kuantan.

“Saman sesiapa yang buang sampah merata, merokok merata, termasuklah melanggar amaran seperti ini. Melaka pernah buat macam ni dan memang berkesan,” komen seorang netizen di ruangan komen.

“Denda 1000, baru ada akal. Bukti dah ada, saman je lah, barulah yang lain takut hendak buat benda yang sama,” luah netizen.

Diharap dengan perkongsian ini, ia dapat menjadi sebuah ikhtibar kepada pengunjung lain untuk tidak mencemarkan serta sentiasa memelihara mana-mana tarikan pelancong dengan baik.

Baca perkongsian kami yang terdahulu mengenai arca penyu di Melaka yang dijadikan sebagai meja berkelah pada pautan di bawah.

Belum Seminggu Dirasmikan, Pengunjung Jadikan Arca Penyu Di Melaka Sebagai Meja Piknik

Netizen Luah Kekecewaan Selepas Melihat Gambar Bersama Basikal Di Atas Pokok Ini

Risau Jadi Trend Panjat ‘Roundabout Elmina’, Netizen Berang Dengan Sikap Geng Basikal

Sumber