Industri startup bukanlah satu perkara yang asing lagi di Malaysia. Menurut tracxn.com, terdapat kira-kira 3,700 buah startup yang sedang aktif di negara kita pada tahun 2021.

Setiap startup mempunyai satu gol utama yang sama – Mahu bergelar ‘unicorn’ – yang bermaksud syarikat startup tersebut mempunyai nilai lebih dari $1 bilion (RM4.2 bilion).

Baru-baru ini nama Carsome menjadi bualan orang ramai sehingga mendapat liputan Bloomberg, di mana syarikat tersebut akan menjadi startup berstatus ‘unicorn’ pertama Malaysia melalui satu perjanjian pertukaran saham.

Seorang pengguna Twitter @AmerAhmat94 telah berkongsi bebenang ciapan bagaimana startup tempatan yang beroperasi di Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura ini berjaya membawa syarikat yang baru berusia 6 tahun ke peringkat ‘Unicorn’.

Carsome Group menyediakan satu platform online yang memudahkan serta menjimatkan masa di mana pengguna dapat menjual kereta dalam masa satu jam dan pembeli boleh menerima kereta di hadapan pintu rumah dengan tiga butang klik sahaja.

Pada pertengahan Julai baru ini, Carsome Group telah membuat kenyataan rasmi mengenai persetujuan untuk membeli saham iCar Asia sebanyak 19.9% dari Catcha Group.

Carsome Group dan Catcha Group juga telah membuat cadangan bersama kepada pengarah bebas iCar Asia untuk memperoleh baki 80.1% pegangan iCar dari pemegang sahamnya yang dianggarkan bernilai lebih dari $200 juta (~RM845 juta).

Catcha Group merupakan sebuah kumpulan digital internet terkemuka di Asia Tenggara yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam membina dan melabur pelbagai syarikat teknologi jenis ‘disruptive’.

Dengan memegang konsep ‘Usahawan untuk Usahawan’, Catcha Group telah berjaya membawa beberapa startup tempatan yang berpotensi serta berdaya saing ke peringkat global.

iProperty Group, REV Asia dan iflix merupakan antara beberapa nama yang pernah diusahakan oleh Catcha Group dan ketiga-tiga syarikat tersebut telah dijual dengan nilai lebih ratusan juta ringgit.

Perjanjian pertukaran saham di antara Carsome Group dan Catcha Group melalui iCar Asia akan melonjakkan nilai syarikat eCommerce automotif Malaysia ini menjadi lebih USD1 bilion (RM4.2 bilion).

Dalam satu kenyataan rasmi pengasas Carsome Group, Eric Cheng menyatakan perasaan sangat gembira atas penggabungan ini menjadi sebuah kumpulan yang membangunkan ‘ekosistem automotif digital’ terbesar di Asia Tenggara.

Pengasas Catcha Group, Patrick Groove pula menyatakan beliau dan Eric Cheng mempunyai misi dan visi yang sama sejak awal lagi, mahu memudahkan orang ramai membeli dan menjual kereta dengan menggabungkan dua buah syarikat yang saling melengkapi antara satu sama lain.

Kita dapat lihat penggabungan sistem penyenaraian kereta baru dan lama oleh iCar Asia dengan sistem jual beli kereta terpakai online oleh Carsome Group bakal menjadi sebuah platform ‘Amazon untuk automotif‘ terkemuka di rantau Asia Tenggara.

Menurut laporan Bloomberg, Patrick Groove menyatakan proses perjanjian pertukaran saham ini mungkin memakan masa 2-4 bulan bergantung kepada kelulusan pemegang saham.

Tahniah diucapkan dan semoga kejayaan ‘Unicorn’ pertama ini dapat membangkitkan semangat buat startup-startup tempatan yang lain untuk turut sama tersenarai sebagai ‘unicorn’ Malaysia pada masa akan datang.

Malaysia menyokong industri startup tempatan dengan menawarkan program berstruktur untuk membantu mengembangkan potensi bisnes. Klik pautan di bawah untuk baca lebih lanjut.

Endeavor Malaysia Lancar ScaleUp Endeavor Kedua Untuk Bantu ‘Startup’ Berpotensi Tinggi

HealthMetrics Dan Lapasar Lepasi Pemilihan, Bakal Terima Sokongan Endeavor Malaysia