Ciapan seorang ahli geologi Belanda yang meramalkan bahawa akan berlakunya satu gempa bumi besar di Turki dan Syria, tiga hari sebelum bencana kini menjadi tular di media sosial dengan orang ramai mula bercakap soal kesahihan ramalan tersebut, lapor Zee News.

Dalam ciapan tersebut, pakar geologi dan penyelidik gempa bumi Frank Hoogerbeets meramalkan bahawa akan berlaku satu gempa bumi besar. Dia kemudiannya meletakkan butiran lanjut mengenai gempa tersebut, termasuk berapakah magnitud gempa bumi dan negara mana yang akan terjejas.

Baca Juga:

Beliau memberikan amaran tersebut pada hari Jumaat, 3 hari sebelum kejadian dengan ciapan, “cepat atau lambat akan ada gempa bumi ~M 7.5 di rantau ini (Turki Selatan-Tengah, Jordan, Syria, Lubnan),” katanya di laman Twitter peribadinya.

Bagaimanapun, sebahagian daripada pengguna maya menganggap bahawa ciapan beliau itu berbentuk gurauan dan ada sebahagian yang menganggap beliau sebagai ‘scammer.’

Tetapi, ciapan itu telah menjadi kenyataan 3 hari selepas itu dengan gempa bumi besar melanda bumi Turki dan Syria dengan magnitud 7.8. Manakala Jordan, Lubnan, Mesir dan Iraq mengumumkan bahawa negara itu terjejas oleh gegaran susulan akibat gempa bumi itu.

Dalam ciapan terbaharunya sehari selepas gempa bumi tersebut, pakar geologi Belanda itu menyatakan rasa sedih dan simpati terhadap mangsa yang terjejas, “Hati saya bersama semua orang yang terjejas oleh gempa bumi besar di tengah Turki.”

Hoogerbeets menambah dengan menjelaskan, “Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, kejadian ini akan berlaku lambat laun di rantau ini, serupa dengan tahun 115 dan 526. Gempa bumi ini sentiasa didahului oleh geometri planet yang kritikal, seperti yang berlaku pada 4 dan 5 Februari.”

Beliau turut memberi amaran mengenai gempa susulan, “Berhati-hati untuk aktiviti seismik tambahan di tengah Turki dan kawasan sekitar. Gegaran susulan biasanya berterusan untuk seketika selepas gempa bumi besar.”

Untuk rekod, mayat mereka yang terkorban dalam gempa bumi di selatan Turki pada hari Isnin telah ditinggalkan di jalan sementara usaha mencari dan menyelamat diteruskan oleh pasukan penyelamat.

Dilaporkan lebih 7,000 orang kini dilaporkan terkorban di Turki dan utara Syria, yang turut musnah akibat gempa itu, manakala Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberi amaran bahawa beribu-ribu kanak-kanak mungkin antara yang mati.

Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan pula telah mengumumkan situasi darurat selama tiga bulan di 10 wilayah yang paling teruk terjejas akibat gempa bumi.

Beliau berkata langkah itu akan membolehkan pasukan penyelamat dan bantuan kewangan disalurkan secepat mungkin ke kawasan yang terjejas.

Kini lebih 70 negara telah menghantarkan bantuan ke Turki, tetapi terdapat kemarahan yang semakin membuak di beberapa tempat, di mana mereka gusar dengan bantuan yang sampai tidak cukup pantas.