Ada apa dengan Ipoh? Bila tengok ramai sangat share di media sosial tentang penyenaraian Ipoh di kedudukan ke 6 antara 10 bandar menarik di Asia, aku orang Ipoh sendiri pun terkesima sekejap.

Baca: ‘Lonely Planet’ Senaraikan Ipoh Antara 10 Bandar Wajib Dilawati Di Asia

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Apa yang istimewa sangat di Ipoh ni? Aku sendiri pun lebih galakkan kalau kawan-kawan ke utara semenanjung ni lebih elok lajakkan kaki ke Penang atau terus ke Langkawi sebab di sana lebih menarik rasanya.

Ipoh ni dari aku sekolah lagi kami panggil ‘bandar mati’. Masuk je pukul 9 malam dah krikkk krikkk bunyi cengkerik, lengang je rasanya.

Tapi itulah mungkin sebab aku hari-hari tinggal di sini, jadi tak rasa sangat apa yang menariknya. Baiklah aku cuba cari dan senaraikan apa yang ada di Ipoh ni.

1. Banyak tinggalan zaman kolonial.

lokasi-menarik-dilawati-di-ipoh-1

Perak negeri pertama menerima residen British dan yang pertama menerima pemodenan. Di kawasan pekan lama di lembah Sungai Kinta tu memang bangunan kedainya seragam je 2 tingkat semua.

Produksi filem Hong Kong suka buat penggambaran di situ.

2. Bandar bijih timah terbesar dunia.

lokasi-menarik-dilawati-di-ipoh-2

Dulu masa harga bijih timah tinggi memang ramai orang kaya di Ipoh ni, ramai yang beli kereta Mercedes sampai aku ingat lagi ada lambang Mercedes besar atas bukit menghala ke Simpang Pulai dipacak syarikat Mercedes penghargaan kepada bandar Ipoh.

3. Padang polo dan Taman DR.

lokasi-menarik-dilawati-di-ipoh-3

Ini 2 kawasan rekreasi paling popular. Padang polo di Jalan Tambun tu sampai orang luar pun tahu jadi tempat lepak golongan satu alam, 2 alam dan alam lain hehe.

Taman DR sebelah Hospital Permaisuri Bainun tempat keluarga beriadah hujung minggu, petang dan malam ada perlawanan bolasepak Liga Ipoh di situ.

Ada sebuah taman Jepun, mungkin ramai tak tahu Ipoh ni bandar berkembar dengan satu bandar di Jepun, Fukuoka kalau tak silap.

4. Kafe dan makanan unik.

lokasi-menarik-dilawati-di-ipoh-4

Aku tak tahu kenapa dipanggil hipster sebab dah banyak kafe konsep dan makanan sama, balik-balik makanan western jadi konsep hipster tu dah tipis.

Cuma setiap kafe tata riasnya memang unik. Makanan-makanan kat Ipoh pun macam mi kicap, mi kari mat jasak, sate endut, laksa telur sarang, nasi ganja memang tak boleh jumpa di tempat lain.

5. Gua batu kapur.

lokasi-menarik-dilawati-di-ipoh-5

Dulu bila bawa sepupu dari Johor berjalan di sini memang dia suka tengok bukit-bukit batu kapur yang banyak di bandar ni. Semua cantik-cantik.

Yang dah jadi tasik rekreasi macam Gunung Lang atau yang dah diubahsuai jadi tokong macam Perak Tong, Kek Lok Tong, Sam Poh Tong dan banyak lagi Tong yang ada.

6. Perkampungan Melayu terbesar Malaysia, pekan India dan Cina.

lokasi-menarik-dilawati-di-ipoh-6

Mungkin ramai tak tahu Gugusan Manjoi tu kawasan kampung Melayu yang sangat besar sampai orang Ipoh sendiri pun boleh sesat dalam tu.

Kawasan Jalan Lahat pula ada banyak kedai barangan keperluan bangsa India yang akan sesak menjelang Deepavali.

Dan di seluruh Ipoh memang majoritinya didiami bangsa Cina. Sebab tu kalau ada perayaan berganda Raya Aidilfitri dan Tahun Baru Cina sambutannya sangat meriah disini berbanding tempat lain.

7. Bandar baru Meru.

lokasi-menarik-dilawati-di-ipoh-7

Rasanya ini kawasan yang paling pesat membangun di Ipoh. Selain terminal bas utama Aman Jaya di sini, ada banyak butik pakaian, Mydin dan taman tema baru MAPS yang akan dibuka hujung tahun 2016.

Di sini juga ada kawasan air terjun dan hutan rekreasi Ledang Saiong yang baru dikomersilkan.

8. Skateboard dan gig.

lokasi-menarik-dilawati-di-ipoh-8

2 benda ni tak pernah mati di Ipoh. Dataran stesen keretapi tu tempat main skate paling legend. Joe Ipoh antara pelopor skate scene terhebat sampai nama fb aku pun terinspirasi dari nama dia.

Gig banyak diadakan di studio-studio dan dewan-dewan di sini. Banyak band-band terkenal berasal dari Ipoh seperti May dan SYJ.

PORT di Tigerlane juga ada banyak anjurkan acara seni untuk disertai remaja-remaja Ipoh.

9. Bandar retro.

lokasi-menarik-dilawati-di-ipoh-9

Tak klasik tak Ipoh lah Yob. Daripada bangunan ke kenderaan macam Combi dan Vespa hinggalah ke barang antik bersepah di Ipoh ni.

Kalau datang hari Ahad jangan lupa ke Memories Lane atau Lokin, macam-macam benda ada jual di sana dari syiling lama, pemain piring hitam sampailah ke buku-buku sebelum merdeka.

10. Sesuai untuk backpacker.

lokasi-menarik-dilawati-di-ipoh-10

Kalau ikutkan kawasan-kawasan menarik di Ipoh ni terutama Pekan Lama tu boleh dijejaki hanya dengan berjalan kaki sahaja.

Dari Stesen Bas Medan Kidd atau KTM ke Tugu JWW Birch singgah sarapan roti telur goyang di Medan Selera Dato Sagor. Kalau hari Ahad menyongket sebentar di Loken lepas berjalan dari Masjid India dan Riverfront.

Tengah hari boleh makan Nasi Ganja sebelum singgah layan ais kepal pula di kawasan berhampiran Plan B.

Wah banyak juga benda yang ada di Ipoh ni! Hehe mungkin betul. Kadang-kadang bila kita pinjam mata orang luar, baru nampak apa yang menarik di tempat sendiri.

Ok lah kepada sesiapa yang nak datang ke Ipoh nanti. Selamat datang ke Ipoh. Ipoh mari tak sombong bro.

Baca lagi: 7 Sebab Kenapa Ipoh Adalah Destinasi Percutian Paling Hipster Di Malaysia