December 21, 2016 10:41 AM

Kami berempat berbalah sesama sendiri. Konflik.

“Mahu terbit atau tidak? Aahh.. sudah!” getus hati saya.

Penulisan yang bertajuk ‘Peninggalan Arwah’ di laman web IIUM Confessions, hasil nukilan ‘Mus’, memang lain, unik.

Sebuah kisah mengenai Mus yang pulang beraya di kampung dalam sebuah rumah agam peninggalan ayah moyangnya dan adventure beliau mengupas satu demi satu rahsia keluarga.

Bulu roma meremang, tertunggu-tunggu, turun naik perasaan, bercampur baur, gelodak jiwa yang sungguh berbeza. Hati ini bagai tersiat-siat akibat ketidak tahuan dan sikap Tok yang suka mendiamkan diri.

“Kenapa? Bagaimana? Mengapa?” soalan-soalan silih berganti, hanya menambah semangat untuk membaca ayat seterusnya.

Kami keempat-empat editor setuju ianya satu karya hebat, sesuai dengan statusnya yang viral.

Akan tetapi karya ini mempunyai masalahnya tersendiri. Kesahihannya diragui.

“Saya takut jadi macam kes Kak Hassanah,” kata Azam. Jujur.

Walaupun penulis berkali-kali menyatakan ianya adalah satu kisah benar, terdapat semacam perasaan bahawa ianya adalah rekaan.

Tetapi dalam hati tetap berbelah bagi, memberi kemungkinan bahawa penulis berkata benar.

Apa-apa pun, cerita yang sedang trending ini memang seronok dibaca. Saya tidak berminat untuk bercerita dengan terperinci, cuma cukuplah berkongsi bagaimana perasaan cukup terseksa dalam gembira membacanya.

Saya akan kurangkan spoiler, tetapi ini 3 sebab besar mengapa saya sukakannya:

1. Berbeza

Seperti saya katakan sebelum ini, ianya satu gaya cerita yang berbeza.

Kisah Mus hanya berlegar di sekitar banglo lama milik Moyang (ayah moyang) tetapi rahsia yang tersimpan di dalamnya cukup untuk meresahkan beliau berhari-hari lamanya.

Cerita beliau disampaikan dalam bentuk monolog, dalam bahasa yang ringkas, membuatkan cerita yang berat ini menjadi ringan dan mudah dibaca.

Huruf demi huruf, ayat demi ayat, bab demi bab ditekuni penuh perhatian demi menghayati misteri yang belum terungkai ini.

2. Simbolisme

Kisah ini berjaya memberi perasaan bangga tanpa ianya ‘trying too hard’.

“Anak Bapak harus berdiri tanpa British di sisi,” satu tulisan tercatat di belakang foto lama dari era 1920’an.

Hati saya bagai dipanah petir kerana ini adalah satu penunjuk bagaimana merdekanya jiwa bangsa kita satu masa dahulu.

Berani, tetapi licik dalam masa yang sama.

Betapa kaya-raya, harta melimpah ruah keluarga Mus pada masa dahulu tetapi disorok, adalah sebagai simbol bagaimana kita, warga muda harus komited menyelongkar khazanah bangsa yang telah dibisukan.

Simbolik-simbolik di dalam penulisan ini juga berjaya menonjolkan sifat kerajinan dan ketinggian teknologi Melayu pada zaman dahulu kala.

3. Penguasaan ilmu

Kisah itu ditutup dengan twist yang tidak disangka-sangka. Ianya berkaitan ilmu, teknologi, dan usaha tanpa henti.

“Kenapa orang Malaysia, termasuk orang Melayu apabila ‘dicampak’ ke luar negara bercambah menjadi bunga?” soal hati ketika melihat kejayaan beberapa individu.

Ehsan Rasidin Amri berusia 6 tahun diterima masuk akademi bola sepak Manchester City, Wan Hazmer, ketua pereka bentuk game Final Fantasy XV, dan Boboiboy bertapak di 47 buah negara adalah di antara bukti kita mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa lain di dunia ini.

Sekali lagi, ianya berkaitan ilmu dan usaha tanpa henti.

Ini bukanlah perkara baru.

China semakin maju. India semakin naik. Warga Malaysia, walaupun dengan 1001 pancaroba, tetap berusaha sehabis baik untuk terus ke hadapan.

Mengingatkan saya kepada zaman pelayaran merentas negara semasa pemerintahan Melaka dahulu.

Deja vu, kita mencipta sejarah baru, tetapi tanpa sedar sedikit sebanyak mengikut acuan masa lalu.

Baca kisah Mus ‘Peninggalan Arwah’di sini.