Cahaya gemerlapan pintu gerbang selatan Dali Old Town kelihatan sangat memukau. Di hadapan pintu tersebut kelihatan ramai orang keluar dan masuk dari bandar lama. Pelancong dan orang tempatan bercampur gaul.

Ada yang sibuk berswafoto, ada yang rancak menarik pelanggan. Kelihatan sekumpulan wanita pula sedang melakukan senaman seperti gerakan Tai Chi diiringi alunan muzik. Begitulah Dali Old Town, sesak dengan lautan manusia sepanjang hari.

Pemandu kereta memberhentikan kami di hadapan gerbang kota lama selepas 30 minit perjalanan dari stesen keretapi Dali. Dengan bayaran ¥50 , kami keluar dari MPV yang selesa itu dan terus memikul backpack kami kembali. Rezeki kami malam itu apabila kami didatangi seorang wanita berhijab dengan pamplet hotel.

muslim-yunan-11

South Gate to Dali Old Town. Di hadapan pintu gerbang inilah kami bertemu dengan Salimah, adik kepada Ruqayah.

muslim-yunan-12

Ruqayah, seorang gadis Muslim yang kental. Beliau fasih berbahasa Inggeris atas minat dan usaha sendiri. Walaupun sukar untuk mempelajari Islam, atas daya usaha beliau, Islam menjadi pegangan hidup beliau.

muslim-yunan-1

muslim-yunan-13

“Assalamualaikum”, tegur saya memberikan salam.

Salam saya dijawab dan dengan senyuman, wanita tersebut menunjukkan gambar bilik yang beliau mahu tawarkan.

¥60 for 2 people” itu sahaja perkataan bahasa Inggeris yang kami faham daripada tutur kata gadis Muslim berketurunan Hui tersebut.

Tanpa berlengah lagi, kami berlima terus bersetuju mengikut wanita muslimah tersebut memandangkan kami buntu sedikit di Dali, dengan kedai makanan halal tidak kelihatan. Fikir kami, dengan terjumpanya muslimah tersebut, mungkin senang bagi kami mencari makanan halal. Perut pun sudah berkeroncong.

50 meter dari South Gate tempat kami diturunkan, kami tiba di hotel kepunyaan keluarga Islam tersebut. Wanita tadi yang bernama Salimah memperkenalkan kami kepada kakak beliau, Ruqayah, yang pandai berbahasa Inggeris.

Alhamdulillah, inilah nikmat yang tak boleh kami dustakan lagi. Manakan tidak, seminggu di Yunnan, sangat susah untuk berjumpa dengan orang yang tahu berbahasa Inggeris, apatah lagi bertemu dengan Muslim yang berbahasa Inggeris. Hari ini, kami dikurniakan dengan kedua-dua nikmat tersebut.

ONE CHILD POLICY

Selesai urusan check in hotel dengan bayaran seorang ¥30 (RM19) semalam, saya mengambil peluang berbicara dengan Ruqayah.

“Where are you from, Ruqayah?” soal saya memulakan bicara.

“I’m from Songpan, maybe you don’t know. It’s nearJiuzhaighou in Sichuan Province,” jawab beliau ramah.

“Oh of course I know. I have been there in 2013. There are two masjid in Songpan right?” jawapan saya menceriakan beliau kerana saya pernah singgah ke kampung halamannya yang sangat dirindui.

Ya, jikalau anda mengambil penerbangan ke Chengdu dari Kuala Lumpur untuk ke Jiuzhaighou National Park, singgahlah ke satu-satunya perkampungan Islam di sana iaitu Songpan.

Orangnya baik-baik, pemandangan gunung-ganang nan indah malah makanan halal ada di mana-mana. Anda juga akan berjumpa dengan orang etnik Tibet yang susuk tubuh mereka sangat besar dan kasar dengan pakaian tradisional membaluti tubuh mereka.

“Is one child policy also applied to Muslim family?” soalan saya menarik minat beliau.

Polisi Anak Satu ini diperkenalkan pada tahun 1979 oleh kerajaan Komunis China yang pada masa itu dipimpin oleh Deng Xiaoping bagi mengehadkan populasi rakyat China. Polisi ini pada awalnya terpakai kepada golongan bandar sahaja iaitu masyarakat Han.

Denda yang mahal, tekanan untuk menggugurkan kandungan serta paksaan untuk memandulkan wanita selepas kelahiran pertama merupakan antara langkah agresif kerajaan China untuk menjayakan One Child Policy ini.

Semakin lama, undang-undang mula terpakai kepada semua kumpulan di China.

“When I was in Jiuzhaighou, some of them have more than one child”, saya sekadar menjentik soalan bagi mengorek lagi kisah di sebalik pelaksanaan One Child Policy.

“If the government found this, they have to pay some money”

“How much?”

“I’m not sure but it’s very expensive. Maybe about ¥100,000. But the people don’t have that money”. Amaun tersebut kalau ditukar nilainya dalam ringgit ialah RM65,000.

“So, how ?”

“Just give them whatever we have in our house”.

Begitu rupanya kehidupan semasa polisi ini dilaksanakan. Ada yang membayar dengan perabot rumah, ada yang menjual kenderaan dan macam-macam lagi demi menyelamatkan zuriat.

Namun demikian, One Child Policy ini telah dilonggarkan pada tahun 2013. Polisi baru ini membenarkan ibu bapa yang merupakan anak tunggal dalam keluarga masing-masing untuk memiliki dua orang anak. Dengan kos sara hidup dan pendidikan yang tinggi, ramai rakyat China tidak mampu untuk memiliki dua orang anak.

muslim-yunan-1

Kalau anda boleh lihat pintu gerbang berwarna hijau di hujung sana, itulah gerbang ke Muslim’s Street di Dali. Jajaran kedai makan Islam boleh didapati di sini.

muslim-yunan-2

Salah satu kedai makan halal di Muslim’s Street, Dali. Harga makanan di sini lebih murah berbanding di tempat lain. Sepinggan nasi goreng berharga ¥8 bersamaan dengan RM5.

muslim-yunan-3

Kedai makan yang memasak dengan cara tradisional.

muslim-yunan-14

PENINDASAN MUSLIM DI XINJIANG

Saya sambung lagi perbualan bersama Ruqayah berkenaan dengan isu Muslim di Xinjiang.

“Muslims in Xianjiang are not allowed to learn Al Quran at the masjid, cannot wear Hijab and….” bicara Ruqayah menyentuh hati nuraniku.

Secara keseluruhannya, China mempunyai lebih kurang 56 etnik di mana orang Han merupakan kumpulan utama di China. Orang Islam di China pula majoritinya daripada kumpulan etnik Uyghur yang tinggal di wilayah autonomi Xinjiang Uyghur.

Xinjiang bersempadan dengan Russia, Mongolia, Kazakhstan, Tajikistan, Kyrgyzstan, Afghanistan, Pakistan dan India. Selain daripada Uyghur, kebanyakan orang Islam juga datang daripada kumpulan etnik Hui.

Menurut Ruqayah, disebabkan perselisihan di antara etnik Uyghur dengan orang Han (yang merupakan golongan pemerintah), Muslim di Xinjiang telah disekat untuk mengamalkan agama secara bebas. Sekatan ini bukan terhad kepada kumpulan etnik Uyghur sahaja, malah semua orang Islam yang tinggal di Xinjiang.

Orang Islam dibenarkan solat di dalam Masjid, namun tidak dibenarkan membaca Quran, mempelajari Quran di masjid dan segala aktiviti di Masjid (selain daripada solat) adalah tidak dibenarkan.

Orang perempuan pula tidak dibenarkan berhijab apabila di luar rumah. Puasa juga diharamkan. Aktiviti berbentuk agama yang lain seperti membaca Quran hanya dibenarkan di dalam rumah sahaja secara tertutup.

Sekatan tersebut bukan sahaja melibatkan amalan agama malah Muslim di Xinjiang tidak dibenarkan keluar dari China. Pasport mereka disekat. Hanya orang bukan Islam sahaja dibenarkan keluar. Ketegangan di sana sangat menyedihkan.

Apabila ditanya bagaimana beliau tahu mengenai situasi ini berlaku di Xinjiang memandangkan Xinjiang jauh daripada Dali,

“I have a friend in Xinjiang. She told me everything,” ujar Ruqayah.

 

MUSLIM DI DALI

Seperti yang saya ceritakan, Xinjiang merupakan wilayah yang paling ramai umat Islam di China yang terdiri daripada etnik Uyghur. Selain daripada Xinjiang, Yunnan adalah tempat terbaik bagi orang Islam di China mengamalkan ajaran mereka. Kebanyakan Muslim di sini adalah dari kumpulan etnik Hui.

Ruqayah sempat membawa kami ke sebuah jalan yang dikenali sebagai Muslim’s Street. Di sinilah jajaran kedai makan Halal terdapat di sepanjang jalan. Syurga makanan buat pelancong Islam.

Kami juga singgah ke sebuah masjid yang sangat besar di Dali ini. Di kawasan masjid tersebut terdapat bangunan asrama pelajar dan madarasah tempat anak-anak Islam China mempelajari Islam secara lebih dekat.

Kami diberi peluang berkomunikasi dengan guru agama dan para pelajar di situ. Perasaan gembira melihat bagaimana mereka dapat bebas mempelajari ajaran agama tanpa sekatan.

Semoga Islam terus subur di Tanah Besar China.

Azwadi Kamarudin
26 Oktober 2017
Yunnan, China

muslim-yunan-4

Pintu masuk utama ke Masjid Besar Dali.

muslim-yunan-5

Dari luar, kelihatan bangunan madrasab dan masjid di belakang sana.

muslim-yunan-6

Di belakang saya merupakan bangunan madrasah 3 tingkat, tempat anak-anak Islam Dali mempelajari agama Islam.

muslim-yunan-7

Bangunan asrama yang menempatkan para pelajar.

muslim-yunan-8

Bergambar di hadapan Masjid Dali.

muslim-yunan-9

Sempat berbual dengan para pelajar di madrasah tersebut. Ada beberapa pelajar yang pandai bercakap dalam bahasa Inggeris. Mereka di sini mempelajari asas-asas agama, ilmu Quran dan juga bahasa Arab.

muslim-yunan-16

Kad bisnes Ruqayah. Ada yang faham?