Mutasi baharu COVID-19 di United Kingdom telah memaksa beberapa negara menyekat pelawat dari UK, sementara Perancis sudah mengeluarkan larangan kemasukan trak dari UK selama 48 jam ke negara mereka, lapor ABC.

Setiausaha Kesihatan Britain, Matt Hancock mengatakan, varian baharu itu dilaporkan berada “di luar kawalan” dan sedang tersebar di London dan timur laut England.

Pakar masih belum dapat membuktikan lagi adakah ia lebih merbahaya daripada biasa. Namun mereka yakin vaksin yang sedia ada akan memberi kesan kepada mutasi baharu ini.

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson akan mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa darurat Kerajaan Inggeris bagi membincangkan krisis kekurangan makanan jika sekatan perjalanan ini terus dilakukan.

Untuk rekod, sebahagian besar logistik di UK datang dari Perancis dan ada sedikit kebimbangan jika sekatan ini terus dijalankan, melainkan jika pemandu trak mengambil ujian COVID-19 semasa tiba dari UK.

Tesco di Britain melaporkan bahawa krisis kekurangan makanan akan terjadi jika trak penghantar buah-buahan dan sayur-sayuran tidak dibenarkan untuk melintasi sempadan.

Selain Perancis,  Al Jazeera turut melaporkan bahawa Sepanyol juga akan menyekat kedatangan pelawat dari UK, kecuali warganegara Sepanyol dan penduduk tetap negara terbabit.

Ini terjadi selepas Sepanyol merekodkan satu kes varian baru COVID-19 di negara terbabit. Situasi ini meninggalkan Sepanyol dengan tidak banyak pilihan selain daripada menutup pintu sempadan dan meningkatkan tahap keselamatan mereka.

Selain itu, Turki, Jerman, Itali, Austria, Belgium, Ireland dan Kanada – telah melarang semua penerbangan dari UK dan dijangka lebih banyak negara akan turut berbuat demikian.

Penolong Setiausaha Kesihatan Amerika Syarikat Brett Giroir mengatakan bahawa Amerika Syarikat sedang dalam pertimbangan untuk melarang pelawat dari UK.

“Saya rasa mungkin. Kita hanya perlu meletakkan semuanya di atas meja, mengadakan perbincangan ilmiah dengan sifat terbuka dan mencari cadangan yang terbaik,” katanya.

United Kingdom baru-baru ini melaporkan bahawa terdapat varian baharu wabak coronavirus yang difahamkan mampu untuk menyebar COVID-19 dengan pantas.

Pegawai kesihatan UK pertama kali mengenal pasti varian baharu wabak ini pada pertengahan September, kata Maria Van Kerkhove, ketua teknikal COVID-19 untuk Organisasi Kesihatan Dunia, lapor NBC News.

Bagi Simon Clarke, profesor mikrobiologi selular di University of Reading di UK, ini adalah perkara yang biasa terjadi. Namun apa yang dikhuatirkan adalah varian baharu wabak ini difahamkan boleh menyebar dengan lebih cepat.

Terdahulu, mutasi baharu COVID-19 dilaporkan mudah berjangkit. Klik pautan di bawah untuk membaca.

Mutasi Baharu COVID-19 Dilaporkan Mudah Berjangkit, Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu

Anda Mungkin Suka