Ramai yang sudah sedia maklum perkhidmatan Uber di Asia Tenggara akan diambil alih oleh Grab dan ramai juga yang berseloroh mereka kini tiada option lain untuk perkhidmatan e-hailing untuk digunakan di Malaysia terutamanya.

Namun jangan gentar kerana sudah ada perkhidmatan e-hailing baharu yang boleh dijadikan alternatif kepada Grab selepas ini. MyCar baharu sahaja dilancarkan 1 Februari lalu dan menurut pengasas MyCar, Mohd Noah berkata aplikasi ini memberi ruang kepada pemandu serta pengguna Uber dan Grab yang mungkin terkesan daripada gabungan ini.

“Bulan lalu, kami ada lebih kurang 2,000 pemandu yang sudah mendaftar bersama kami. Tetapi sejak berita gabungan Grab dan Uber, permohonan untuk menjadi pemandu untuk MyCar juga melonjak naik dan kami sudah mempunyai pemandu sehingga 10,000 ketika ini. Dan setiap hari kami menerima permohonan untuk pemandu baharu,” kata Mohd Noah.

“Pendaftaran pemandu e-hailing juga mengikut peraturan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan agensi terbabit demi keselamatan pengguna. Jika pemandu pernah bersama Grab atau Uber sebelum ini, permohonan mereka akan lebih mudah untuk diluluskan,” tambah Mohd Noah.

Setakat ini, MyCar sudah mempunyai 58,000 pengguna yang berdaftar dengan aplikasi ini dan sejak beberapa minggu yang lalu, mereka sudah menerima lebih 5,000 tempahan daripada pengguna untuk perkhidmatan MyCar setiap hari.

MyCar menawarkan lima jenis kenderaan mengikut pilihan pengguna iaitu ekonomi, premium, MPV kompak, MPV premium dan teksi dengan kerjasama syarikat teksi lain. Tambang MyCar pula bermula pada harga RM5 dan untuk promosi, tambang perjalanan untuk ke KLIA hanya RM55 sehala; lebih murah daripada perkhidmatan e-hailing sedia ada.

Untuk anda yang biasa menggunakan khidmat e-hailing, ada boleh muat turun aplikasi ini di Play Store dan App Store.

BACAAN SETERUSNYA

© 2018 Vocket Media Sdn Bhd (1173405-W). Dibuat dengan cinta di Damansara ❤