Syarikat pengimport telur, J&E Advance Tech Sdn Bhd menuntut ganti rugi fitnah sebanyak RM20 juta daripada bekas Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kerana mendakwa pihaknya diberikan kontrak untuk mengimport telur dari India melalui rundingan terus.

Memetik laporan Berita Harian, dalam surat tuntutan bertarikh 3 April 2023 yang dihantar firma guaman Han & Zi, syarikat berkenaan turut menuntut bekas Menteri Ekonomi itu supaya menarik balik kenyataan selain memohon maaf serta berjanji tidak mengulangi perbuatan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Peguam syarikat itu berkata, dakwaan Mohamed Azmin dalam ucapannya adalah tidak benar dan berniat jahat dengan memutarbelitkan fakta.

Ia termasuk ucapan Mohamed Azmin itu didakwa memberi gambaran bahawa kerajaan korup dan tidak amanah serta anak guamnya tidak berprinsip serta menipu.

“Sekiranya kami tidak menerimai jawapan yang memuaskan dalam tempoh tujuh hari dari penerimaan surat ini, arahan kami adalah memulakan prosiding undang-undang terhadap anda,” katanya.

Tuntutan itu merujuk dakwaan Mohamed Azmin terhadap ahli perniagaan, Deepak Jaikishan yang dikatakan ada kaitan dengan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Memetik dakwaan Mohamed Azmin ketika berucap di Markas PAS dekat Taman Melewar, Gombak pada bulan lalu, beliau mendakwa kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memberikan kontrak import telur dari India, secara terus kepada sebuah syarikat milik peniaga permaidani.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) itu mendakwa pemberian kontrak secara terus itu ternyata bercanggah dengan janji Kerajaan Perpaduan yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dakwanya lagi, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, turut membawa ahli perniagaan terbabit dalam lawatannya ke India sebelum ini.

Pada 28 Februari lalu, Mohamad menjelaskan hanya sebuah syarikat diberikan kebenaran mengimport telur dari India dan langkah itu diambil bagi menangani isu kekurangan bekalan telur dalam pasaran tempatan.

Bagaimanapun, Mohamad ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Putrajaya daripada Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr Radzi Jidin dalam Dewan Rakyat, mengakui syarikat import telur dari India itu tidak melalui proses tender terbuka kerana ia adalah ‘special case‘.

Sumber