Hanya sekitar 174KM dari Kuala Lumpur, Ipoh menjadi destinasi pilihan ‘day trip’ warga kota. Selain jaraknya yang dekat dan juga terkenal dengan pelbagai makanan enak, sebenarnya banyak tempat boleh disinggah ke Ipoh, Perak.

Follow VOCKET di Telegram untuk isu isu viral terkini

Bukanlah menaiki bas atau memandu kereta ke Ipoh tetapi kali ini saya memilih untuk menaiki ETS agar dapat merasai sendiri keselesaan yang ditawarkan oleh ETS.

Perjalanan ke KTM Ipoh dari KL Sentral mengambil masa 2 jam perjalanan dan disepanjang perjalanan dapat melihat keindahan pemandangan dari jendela. Bagi saya, ETS ini cukup selesa dan fasiliti yang disediakan berbaloi dengan harga dibayar iaitu RM76 untuk perjalanan dua hala.

HYPE
4 Sebab Anda Wajib Tonton Filem Pendek ‘3 Sekawan’ Pada Hari Malaysia Ini
Baca lagi →

Disebabkan perjalanan pada awal pagi, maka saya bersarapan ketika perjalanan dengan membeli makanan di kafe dalam gerabak ETS. Jujur saya katakan, makanan yang dijual sedap tetapi harganya sedikit mahal daripada kedai biasa.

Perjalanan kali ini bukanlah untuk ‘food hunting’ tetapi lebih kepada untuk berjalan-jalan sekitar Ipoh. Anda tidak perlu menyewa kereta kerana bagi saya harga Grab di Ipoh agak murah untuk ke sesuatu destinasi walaupun ‘peak hour’.

Adakah anda sudah bersedia untuk tahu tempat-tempat menarik di sekitar Ipoh yang boleh anda singgah? Jom saya kongsikan supaya anda boleh masukkan dalam ‘bucket list’.

1. Qing Xin Ling Leisure & Cultural Village

Qing Xin Ling Leisure & Cultural Village ini terletak di Tamai Saikat dan akan membuatkan anda seperti berada di era 60-70 an kerana terdapat banyak barangan antik turut diperagakan di sekitar taman tersebut.

Anda juga bersiar-siar sambil berjalan kaki atau menaiki basikal yang disediakan untuk menikmati keindahan alam di sini. Malah, kawasan tersebut cukup indah kerana dikelilingi dengan bukit, gua dan juga tasik besar.

Harga tiket masuk hanyalah RM12 dan tempat ini dibuka setiap hari kecuali Ahad dan cuti umum. Pastikan anda pergi ke Qing Xin Ling Leisure & Cultural Village pada waktu pagi kerana cuaca yang panas akan membuatkan anda kurang selesa untuk meneruskan perjalanan.

2. Tasik Cermin

Tasik Cermin di Gunung Rapat ini merupakan sebuah tasik terpencil yang dikelilingi secara menyeluruh oleh bukit-bukit batu kapur. Menariknya, anda akan terpukau dengan keindahan di  Tasik Cermin ini kerana ianya seolah-olah anda sedang melihat sebuah cermin yang besar dengan pantulan bukit batu kapur di atas permukaan air.

Sebelum anda dapat melihat keindahan Tasik Cermin ini, anda perlu melalui sebuah terowong dengan berjalan kaki sejauh 30 hingga 40 meter. Sebelum terlupa, selain perlu membayar untuk parkir sebanyak RM5, kini perlu juga membayar untuk tiket masuk sebanyak RM2.

Bukan itu sahaja, terdapat aktiviti lain yang ditawarkan di sini seperti ‘bot cruise’ yang menyusuri tasik untuk melihat keindahan Tasik Cermin dengan lebih dekat. Anda boleh ketahui lebih lanjut tentang pembaharuan di Tasik Cermin dengan klik link ini.

3. Gua Kek Look Tong

Selepas singgah ke Tasik Cermin, anda perlu ke Gua Kek Look Tong. Selain tempatnya yang berdekatan, ia juga merupakan antara destinasi popular dalam kalangan pelancong walaupun ia merupakan tempat suci kaum Buddha.

Untuk pengetahuan anda, ia merupakan sebuah gua dan didalamnya terdapat tokong Buddha dan anda akan dapat melihat struktur stalagtit atau stalagmit di dalam gua yang mengagumkan serta dianggarkan sudah berusia ribuan tahun.

Bukan itu sahaja, di luar gua terdapat pula Taman Zen yang cukup cantik dimana sesuai untuk anda beriadah. Tidak hanya itu, anda juga boleh menaiki bot itik untuk mengelilingi tasik di sekitar situ.

4. Taman Rekreasi Gunung Lang

Hanya terletak kira-kira 6 km dari Bandaraya Ipoh, taman rekreasi ini merupakan satu tempat menarik di Ipoh yang sesuai untuk mereka yang sukakan aktiviti santai-santai di kawasan alam semulajadi.

Bagi anda yang mahu bersantai-santai melihat keindahan batu kapur dan alam sekitar bolehlah singgah ke sini. Tiada bayaran dikenakan untuk masuk tetapi anda perlu membayar jika mahu menaiki bot untuk ke seberang tasik yang menempatkan sebuah taman rekreasi mini.

Akan tetapi, jika anda pergi pada hari minggu maka anda perlu bersesak sedikit kerana destinasi ini agak terkenal dalam kalangan pelancong dan juga penduduk tempatan untuk bersantai-santai.

5. Concubine Lane

Pastikan anda tidak terlepas untuk ke Concubine Lane. Disinilah lubuk ‘syurga makanan’ dan juga membeli-belah yang cukup terkenal dalam kalangan pelancong tempatan.

Banyak makanan menarik yang boleh dicuba seperti kuih titisan hujan, roti pelangi, rendang dan banyak lagi. Buat anda yang minat Harry Potter bolehlah singgah ke kafe Platform 9 1/2 untuk menikmati minuman terkenal mereka, butterbrew dan bergambar di sekitar kafe. Memang seronok!

Berdekatan Concubine Lane juga terdapat Birch Memorial Clock Tower dimana menara ini terletak di tengah-tengah dataran lapang yang dikelilingi oleh bangunan-bangunan yang banyak dipengaruhi oleh seni bina Inggeris lama.

Apa yang mencuri tumpuan, di 4 panel sekeliling menara ini juga, anda boleh melihat lukisan 44 figura yang mewakili tokoh-tokoh ketamadunan seluruh dunia.

Sebenarnya banyak destinasi yang boleh disinggah di Ipoh tetapi ini hanyalah cadangan destinasi yang sempat saya pergi dalam masa satu hari. Tunggu apa lagi? Jom ke Ipoh hujung minggu ini!

Tahukah anda bahawa Ipoh pernah terpilih sebagai antara bandar menarik di Asia? Klik pautan di bawah untuk ketahui lanjut.

Mungkin Inilah 10 Sebab Kenapa Ipoh Dipilih Sebagai Antara Bandar Menarik Di Asia

7 Sebab Kenapa Ipoh Adalah Destinasi Percutian Paling Hipster Di Malaysia