Jabatan Penjara telah menolak permintaan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menghadiri prosiding Parlimen. Alasan yang diberikan oleh Jabatan Penjara menolak permohonan Najib adalah atas sebab ‘keselamatan’, kata peguamnya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Menurut laporan The Edge, Najib yang telah didapati bersalah menyeleweng dana SRC International dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun sebenarnya telah menulis tiga permintaan kepada pihak Jabatan Penjara. Permintaan pertama ialah agar Najib menghadiri prosiding Parlimen, yang kedua ialah supaya pembantu politiknya boleh melawatnya, dan yang ketiga ialah supaya beliau dibenarkan melawat kawasan Pekan untuk berkhidmat kepada pengundinya.

Baca Juga:

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Jabatan Penjara hanya menjawab permohonan Najib mahu ke parlimen dan menyatakan bahawa isu keselamatan menjadi sebab utama permohonan beliau mahu ke parlimen ditolak. Bagi Shafee, alasan itu tidak munasabah dan tidak rasional. Kalau Najib Razak masih dibenarkan hadir ke mahkamah untuk perbicaaran jenayah maka beliau harus dibenarkan pergi ke Parlimen, kata Shafee.

Shafee menambah bahawa beliau telah menulis surat kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada hari yang sama, meminta menteri itu meneliti perkara tersebut. Dan sehingga jam 12 tenghari ini, jika tiada apa-apa maklum balas, pasukan peguam bekas perdana menteri itu akan memfailkan tindakan undang-undang untuk membolehkan Najib ke parlimen, lapor MalaysiaKini.

“Alasan keselamatan bukan alasan yang baik. Kami akan memfailkan semakan kehakiman selewat-lewatnya petang esok. Ini bermakna kami perlu mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Tinggi terlebih dahulu untuk memfailkan semakan itu,” katanya.

Shafee juga menegaskan bahawa Najib membuat permohonan untuk pembantu politiknya dibenarkan melawat beliau di penjara supaya keluhan penduduk Pekan dapat didengari, dan Najib boleh memberi arahan tertentu kepada pembantu politik beliau.