Di kala Aidilfitri bakal menjelma, terasa rindu diri ini ingin bertemu sanak saudara. Dengan pelbagai iklan Raya tahun ini yang menyayat hati akhirnya berjaya memancing diri ini untuk pulang ke kampung halaman. Tetapi, bukan segala yang kita rancang berjaya, bukan?

Ini cerita dugaan Raya aku. Kisahnya bermula apabila di hari-hari terakhir Ramadan, aku bertekad untuk pulang ke kampung halaman di Malaysia dari bumi Mesir ini. Setelah berjauhan dengan keluarga berbulan lamanya, aku merasakan inilah masanya untuk balik ke rumah!

Dipendekkan cerita, dengan baki wang yang ada di akaun bank, tanpa fikir dua tiga kali aku terus book tiket flight 2 hari sebelum raya. Kononnya nak buat surprise kat keluarha bila aku cerita kat diorang semua tahun ni tak dapat peluang beraya dengan mereka. Aku tambah cerita lagi cakap dah beli tiket flight jadualnya hari raya ketiga macam tu. Nama pun surprise kan, ajet-ajet prank gitu.

Hari berlalu hari, semakin dekat hari jadual penerbangan, semakin teruja rasa diri ni. “Dorang pasti terkejut buat surprise balik ni, kalah iklan tahun Raya tahun ni. Hahaha”, bisik hati aku.

Dan harinya sudah tiba, flight aku hari ini pada malam hari. Dah semangat kemas bag, beli barang yang dipesan, aku ingin menghabiskan sisa masa aku di sini dengan iftar buat kali terakhirnya.

Dalam fikiran dah tak kisah sangat makan apa di waktu berbuka, yang penting balik rumah mak yang masak, kita bedal semua! Jam telah menunjukkan 6.45pm, maka berbukalah aku dengan gelojohnya dek kerana tak sabar nak pulang ke Malaysia. Selesai sahaja berbuka, aku terus cek dokumen jadual flight aku.

Tiba-tiba…..

“YA ALLAH! FLIGHT JAM 8.40 MALAM, KENAPA AKU TERSILAP PANDANG INGAT FLIGHT JAM 10.40MALAM”, sambil melihat jam dinding yang telah masuk jam 7 malam. Gundah gulana rasa, perasaan gelisah hanya Tuhan yang tahu.

Tanpa lengahkan masa, aku call Uber, kemudian terus gerak selepas 5 minit tunggu. Dalam kereta aku push drebar, Arab cakap “Bisur’ah! (CEPAT!)”. Perasaan bercampur baur dengan harapan semoga ada rezeki aku balik kampung halaman tahun ini. Tepat jam 7.25 malam, sampai sudah aku di airport. Macam haram laju Arab tu bawak, sumpah banyak kali aku mengucap.

Sejurus sampai aku terus lari selaju aku mampu melintasi segala rintangan yang menganggu haluan aku. Nasi sudah menjadi bubur, kaunter sudah tutup. Aku banyak kali merayu dan mintak gila-gila sekalipun, diorang secara konsisten putuskan harapan aku dengan cakap “You already miss your flight, sir“.

Berbaki lagi satu jam nak terbang, aku masih gagal memujuk agar diberi peluang untuk aku pulang. Hatiku remuk, kecewa yang tidak berkesudahan. Tapi aku tidak menyerah kalah, aku terus bergegas ke kaunter tiket untuk tukar flight.

Selepas disemak, penjaga kaunter kata boleh ganti flight seterusnya 4 jam lagi. Tetapi bila ditanya kena tambah berapa, jumlahnya sangat mahal, melampaui harga tiket pergi balik yang aku beli. Selepas fikir panjang secara rasional, aku ambil keputusan  untuk tangguh flight aku ke awal Julai sebab denda tukar flight harga mampu milik.

Harapan untuk pulang beraya ke kampung halaman hancur berkecai begitu sahaja. Plan asal nak kasi surprise kat mak ayah, akhirnya kita yang kena surprise. Nak sedih pun malang sudah tidak berguba. Angkara kecuaian tengok waktu flight, semuanya musnah. Jadi, aku terus pulang ke rumah teratak di Mesir dengan membawa hati yang lara.

Dalam perjalanan pulang, aku sempat tengok video iklan raya Dugaan Hari Raya Aida. Alangkah indahnya ada orang sudi tumpangkan ke kampung halaman macam Aida dapat. Iyala, setakat ni mana ada orang kasi tumpang flight ye dak? Secara rasminya aku tidak pulang beraya di rumah tahun ini.

Di dalam kepiluaan ini, saya ingin mengucapkan selamat hari Raya maaf zahir dan batin kepada semua. Yang balik kampung tu hati-hati memandu. Gunalah masa yang sebaiknya untuk diluangkan bersama keluaga. Ketahuilah bahawa ada orang nak pulang beraya tapi tak ada rezeki. Allah maha mengetahui.

Minta maaf salah silap sepanjang perkenalan. Bergembiralah meraikan kemenangan di Hari Aidilfitri ini. Taqabballuhu Minna wa minkum. Moga amalan kita diterima.

Salam perantauan dari aku di Bumi Mesir ini. Ini pengalaman pertama aku raya di luar negara. Semoga semuanya baik-baik saja.

“Selamat hari raya semua”

Dari insan yang tertinggal flight,
ABDUL WAFI SHAIK