Bila baca kawan-kawan menulis tentang berlari, saya rasa ingin turut sama berkongsi pengalaman. Saya mula berlari pada tahun 2014. Berat saya hampir 110kg pada masa tersebut.

Sebelum itu saya amat benci berlari. Tapi akhirnya saya jumpa cara bagaimana untuk bagi rasa seronok bila berlari.

Kebanyakan panduan untuk mula berlari ditulis oleh mereka yang aktif. Majoriti daripada mereka memang merupakan seorang yang tidak mempunyai masalah berat badan yang serius.

Jujur saya akui yang saya tak mampu untuk ikut panduan yang diberi. Ia buat saya cepat penat, bosan dan mengalami kecederaan.

Jadi, saya nak kongsi apa yang saya buat. Ini tak bermaksud cara saya ini betul. Ia cuma cara yang buat saya seronok untuk terus berlari. Tapi kalau ada yang salah, mohon untuk tegur.

1. “Kau tengok budak gemuk tu lari. Aku merangkak pun lagi laju”.

Tak ada manusia yang akan cakap macam ini bila nampak kita berlari. Langkah pertama adalah berhenti fikir apa orang akan kata. Lari untuk diri sendiri bukan untuk orang lain. Dan tak ada orang pun yang ambil pusing bila kita berlari.

2. Beli kasut yang sesuai iaitu kasut larian (running shoes).

Bukan kasut sukan, futsal atau sebagainya. Kasut larian yang baik agak mahal tapi ia satu pelaburan yang berbaloi. Ada banyak jenis kasut mengikut jenis kaki.

Tapi dari pengalaman saya sendiri, saya selesa pakai kasut yang sebenarnya bukan khas untuk kaki ‘flat foot’ macam saya. Jadi, pilih yang selesa. Bukan yang cantik atau berjenama semata-mata.

tips-berlari-1

3. Lari ikut kemampuan diri sendiri

Saya lari ikut kemampuan sendiri. Pada awalnya, 1 km dah cukup jauh untuk saya dan saya gembira dapat habiskan larian tersebut. Lama kelamaan, saya mampu untuk berlari lebih jauh dan lama.

Apa yang penting, saya rasa seronok dengan jarak yang saya lari. Bila kita seronok, kita akan buat berulang-ulang.

4. Jangan fikir tentang laju orang lain.

Kebanyakan pelari berlari dengan ‘pace’ 6-7 minit/km. Tapi kita harus ingat. Berat kita mungkin 20 atau 30 kg lebih dari mereka. Jika ikut ‘pace’ ini, memang tercabutlah lutut dan jantung. Haha.

‘Pace’ terbaik saya hanyalah 8 minit/km. Apa yang penting saya ‘enjoy’ kelajuan tersebut dan ia tak mendatangkan mudarat pada saya. Waktu mula berlari, saya selalu dipotong oleh orang yang berjalan laju. Tak perlu risau, ‘enjoy’ pace sendiri. Jalan pun ok. Yang penting bergerak ke depan.

5. Ada orang suka berlari dengan kawan. Saya suka lari seorang diri.

Ini buat saya tidak terikut dengan larian yang terlalu laju hingga menyebabkan saya tak suka berlari. Ataupun memaksa kawan untuk perlahankan larian. Jadi, lebih seronok untuk saya lari seorang diri. Lebih tenang dan tidak perlu rasa bersalah.

6. Saya beli jam larian.

Ya, orang akan cakap, kau beli jam mahal-mahal lari bukan laju pun. Jam atau aksesori ini memang tak penting. Tapi bagi saya ia motivasi. Seronok bila tengok kita lari makin laju atau makin jauh dari minggu ke minggu. Kalau mampu, apa salahnya kan?

tips-berlari-2

7. Jangan terlalu paksa diri.

Elakkan dari kecederaan. Jika sakit, jangan berlari. Kecederaan boleh rosakkan rutin dan hilangkan keseronokan untuk berlari. Untuk mula semula memang memerlukan semangat yang tinggi.

8. Saya suka sertai larian.

Saya pernah jadi antara orang yang terakhir sampai ke garisan penamat. Apa yang penting adalah sampai ke garisan penamat. Tapi jangan sertai larian jika belum bersedia.

Pastikan anda mampu habiskan jarak tersebut. Dan pilih larian yang ada kategori yang lebih jauh dari yang anda sertai. Contohnya jika nak lari 10km, pilih ‘event’ yang ada kategori 15km atau 21km juga. Ini supaya kita dapat habiskan larian sebelum ‘event’ tamat. Bijak kan? Haha

9. Hanya dapatkan nasihat bila dah rasa mudah

Bila dah selalu berlari, dan rasa ia dah jadi terlalu mudah, dan larian tidak bertambah baik, boleh lah mula dapatkan nasihat pelari berpengalaman. Ada senaman-senaman yang penting untuk memperbaiki larian. Bolehlah lari dengan lebih laju dan baik.

10. Sentiasa ingat yang kita semua berbeza.

Buat apa yang selesa untuk kita, bukan apa yang orang lain buat.

tips-berlari-3

Sebenarnya saya dah lama berhenti berlari selepas cedera buku lali akibat bermain futsal. Lebih dari setahun rasanya. Berat badan pun dah hampir kembali ke berat badan asal. Haha. Tahun ini, saya rancang untuk mula berlari (berjalan) semula.

“Get up, gear up, and just run/walk!”
Fahmi Hassan