Nanas, antara buah-buahan tempatan kegemaran saya. Ia sedap dimakan begitu sahaja setelah direndam di dalam air garam. Wah! Teringat-ingat pula makan baby pineapple semasa di Phuket, Thailand akhir tahun lalu.

Menyebut nanas, sudah pasti terbayangkan daunnya yang keras menegak ke atas dan kulitnya yang tajam bukan? Buah yang berwarna kuning, berjus dengan rasa masam-masam manis ini cukup enak dimakan begitu sahaja.

Bertambah enak bila dicicah kicap atau kuah rojak petis. Tqpi pastikan tahu bersihkannya agar tak tergatal mulut dan lidah kelak. Selain itu, nanas sering juga ditambah atau digunakan dalam masakan.

Sejarah Nanas Di Malaysia

Nanas (An an as comosus) adalah sejenis tanaman tropika yang dipercayai berasal dari Bahagian Timur Amerika Selatan. la diperkenalkan di Tanah Melayu pada abad ke 16 oleh orang-orang Portugis.

Selaras dengan perkembangan tanaman getah, nanas mula ditanam di Singapura, Johor dan Selangor pada 1921 sebagai tanaman kontan. Sejak itu, tanaman nanas terus berkembang dan diusahakan secara perladangan di kawasan tanah gambut terutamanya di Johor.

Kini Malaysia merupakan salah satu negara pengeluar utama nanas dunia selain daripada Thailand, Filipina, Indonesia, Hawaii, Ivory Coast, Kenya, Brazil, Taiwan, Australia, India dan Afrika Selatan.

Fungsi Nanas Dalam Masakan

Apabila dimasukkan isi buah nanas ke dalam masakan, ia mampu meningkatkan rasa masakan tersebut, selain membekalkan banyak nutrien kepada tubuh.

Chef Wan antara chef yang gemar menggunakan nanas dalam masakannya. Dalam buku beliau 400 Resipi Terbaik Chef Wan, terdapat beberapa menu yang menjadikan nanas sebagai bahan masakan.

Antaranya Daging Goreng Bernanas, Daging Masak Asam Nanas, Lamb Chop bersama Cutni Nanas, Nanas Goreng dengan Daging, Ayam Goreng Bernanas, Kari Udang Bernanas Thai, Mufin Kelapa Bernanas dan Lempeng Nanas.

Semestinya nanas memberikan rasa yang unik dan berbeza, jika tidak masakan chef selebriti ini banyak menggunakan nanas dalam resipi beliau.

Kelebihan Nanas

Buah nanas mempunyai kandungan Vitamin C yang tinggi yang amat diperlukan untuk kesihatan dalam membantu menyembuhkan luka atau cedera di samping penyerapan zat besi ke dalam saluran darah.

Kandungan Vitamin B di dalam buah nanas terutamanya B1 (thiamin) berfungsi dalam membantu proses penghadaman dan melicinkan proses pencernaan dalam usus manakala Vitamin B3 (niacin) bersama kandungan karbohidratnya dapat mengawal sistem penghadaman agar sentiasa sihat.

Kandungan potassium bersama-sama sodium di dalam buah nanas dapat mengawal imbangan air dalam tubuh manusia.

Selain itu, buah nanas juga mengandungi sejenis enzim yang sangat berguna di dalam sektor perubatan iaitu enzim bromelin di mana ianya digunakan dalam meluas semasa pembedahan untuk mengawal bengkak, jangkitan dan menghalang berlakunya pembekuan darah.

Enzim bromelin ini selain digunakan dalam bidang perubatan, mungkin juga boleh membantu pencernaan, menurut American Cancer Society.

Turut dipercayai pengambilan jus nanas membantu membakar lemak badan kerana kandungan enzim bromelin ini bekerjasama dengan enzim lain yang terdapat pada perut iaitu enzim lipase, untuk mencerna kandungan lemak pada makanan yang kita makan.

Dengan kedua-dua enzim ini, nafsu makan dapat dikurangkan dan penyingkiran lemak menjadi lebih optimum.

Cara Pilih Dan Potong Nanas

Menarik fungsi dan kelebihan memakan nanas. Namun begitu, betapa banyak khasiat nanas, tetap lebih baik diambil secara sederhana dan usah berlebihan.

Untuk mencuba resipi nanas, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia ada menyediakan 42 resipi nanas di sini.