Kapal angkasa NASA dalam misi selamatkan Bumi berjaya menghentam asteroid dalam ujian bersejarah dengan tujuan untuk mengubah laluan batu angkasa tersebut. Kapal angkasa Double Asteroid Redirection Test (DART), dilancarkan bertujuan untuk melanggar Dimorphos, asteroid bersaiz kecil dan dikategorikan sebagai tidak berbahaya yang terletak kira-kira 6.8 juta batu dari Bumi.

Menurut The Guardian, Misi yang menelan belanja sebanyak $325 juta itu direka untuk mengkaji sama ada pelanggaran itu mampu ‘mendorong’ asteroid tersebut mengubah laluannya. Hasilnya nanti akan memberi satu sudut pandang baharu buat para saintis dalam teknologi pertahanan planet.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Kapal angkasa DART merempuh Dimorphos pada jam 7.14 malam. Difahamkan bahawa ia menjunam ke permukaan asteroid pada kelajuan 14,000 mph. Dalam satu video yang dimuat naik oleh NASA, kelihatan kapal angkasa DART bergerak laju ke permukaan Dimorphos beberapa minit sebelum hentaman itu berlaku.

Pentadbir NASA Bill Nelson berkata usaha yang dijalankan oleh sekumpulan saintis dari pelbagai negara ini akan membantu melindungi Bumi daripada serangan asteroid. “Kami menunjukkan bahawa pertahanan planet adalah usaha global,” kata Nelson.

Misi NASA selamatkan Bumi – The Sun

Bagi mengetahui bahawa misi NASA untuk selamatkan Bumi ini berjaya atau tidak, NASA memerlukan beberapa minggu sebelum dapat mengesahkan sebarang perubahan dalam laluan asteroid tersebut. Matlamat misi ini adalah untuk melihat adakah terdapat perubahan – walaupun perubahan kecil – yang mampu untuk menghalang daripada berlakunya bencana besar yang akan memberi kesan kepada kehidupan di Bumi.

Asmall, satelit buatan Itali yang digunakan sebagai sebahagian daripada misi ini bakal terbang dalam jarak 25 hingga 50 batu dari Dimorphos bagi mengambil dan melihat kesan yang telah dibuat oleh kapal angkasa DART.

Untuk rekod, Dimorphos adalah asteroid bersaiz 525 kaki lebar, ia mengorbit asteroid yang lebih besar dipanggil Didymos yang berukuran 2,500 kaki. Baik Dimorphos mahupun Didymos, kedua-dua batu angkasa ini tidak mendatangkan ancaman kepada Bumi.

Dalam beberapa minggu akan datang, teleskop akan digunakan untuk mengkaji Dimorphos dan orbitnya. Misi yang diketuai oleh Agensi Angkasa Eropah (ESA) yang dijadualkan dilancarkan pada 2024, akan mengkaji kawah hentaman pada asteroid dan meneliti Dimorphos dan Didymos dengan lebih terperinci.