Beberapa hari ini tular di media sosial dengan telatah Minions menggunakan beberapa patah perkataan yang kedengaran seperti Bahasa Malaysia dalam sebuah video teaser trailer untuk filem Minions: The Rise of Gru yang dikongsikan di media sosial.

Antara perkataan Bahasa Malaysia yang membuat ‘kemunculan’ dan kedengaran dalam video pendek berkenaan adalah nasi goreng, kicap manis dan juga terima kasih dengan menggunakan dialek yang sentiasa digunakan Minions sebelum ini.

“Adakah Bob (Minions) baru sahaja meminta nasi goreng kicap manis?” tulis akaun Facebook TGV dalam hantaran yang dibuat baru-baru ini.

Walaupun hanya berdurasi tidak sampai seminit dan tiga patah perkataan sahaja daripada apa yang dikatakan Minions itu difahami, namun ianya sudah cukup untuk membuatkan netizen teruja dengan perkara berkenaan.

Bukan sahaja netizen, tetapi kami juga tertarik dengan penggunaan perkataan-perkataan berkenaan dan akhirnya memutuskan untuk Google (membuat carian seperti orang biasa lakukan) bagi mengetahui lebih lanjut mengenai bahasa yang digunakan Minions ini.

Gimik atau kebetulan

Persoalan utamanya adakah memang Bahasa Malaysia termasuk dalam bahasa yang digunakan Minions dalam percakapan dan komunikasi sesama mereka sebelum ini? Atau hanya digunakan sebagai gimik untuk filem terbaru ini?

Pencarian kami untuk mencari jawapan kepada persoalan ini akhirnya terjawab selepas kami menemui sebuah artikel yang ditulis oleh portal hiburan luar negara, Loopers. Artikel berkenaan menjelaskan dengan terperinci apakah bahasa yang digunakan para Minions ini.

Pertama sekali, bahasa yang digunakan Minions ini dikenali sebagai ‘constructed language’ atau  jika diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia secara harfiahnya adalah bahasa yang dibina. Atau mungkin juga bahasa yang direka.

Bahasa yang digunakan Minions ini pertama kali dihasilkan oleh dua pengarah bersama filem berkenaan iaitu Pierre Coffin dan Chris Renaud- khas untuk digunakan watak-watak yang sinonim dengan warna kuning ini.

“Minionese, atau ada ketikanya dipanggil Bahasa Pisang kerana minat Minion terhadap buah itu, terhasil daripada beberapa bahasa yang sebenar termasuk bahasa Inggeris, Perancis, Sepanyol, Jepun, Itali, India dan beberapa bahasa lain lagi,” jelas artikel berkenaan.

Tidak mahu berpuas hati dengan satu sumber, kami kemudiannya mencari beberapa lagi artikel dan artikel oleh portal Vox ini mengesahkan ianya adalah bahasa yang terhasil secara spontan dan meminjam beberapa perkataan daripada bahasa-bahasa sebenar di dunia.

“Coffin (pengarah bersama) telah mengatakan bahawa Minion bercakap bahasa yang dia ciptakan secara spontan (walaupun bahasa itu diselitkan dengan perkataan atau frasa yang sesekali dipinjam dari bahasa sebenar),” jelas mereka.

Jadi, jika mendengar dan membaca penjelasan-penjelasan yang diberikan ini dimana mereka meminjam bahasa-bahasa utama dunia ini, maka ianya bukanlah sesuatu yang luar biasa jika bahasa kita juga turut digunakan.

Malah ini bukanlah kali pertama nama makanan daripada dunia sebenar disebut oleh Minions dan mereka pernah menyebut hidangan masyarakat India ‘poulet tikka masala’ dalam Despicable Me 2 sebelum ini.

Dan jika sudah membuat kemunculan di dalam trailer, persoalannya kini adakah perkataan ini akan kekal digunakan semasa tayangan filem berkenaan nanti?

Atau akan ada lebih banyak bahasa yang dipinjam daripada Bahasa Malaysia. Persoalannya mungkin terjawab bila filem yang dijadualkan untuk tayangan pada tahun hadapan itu menjengah pawagam nanti.

Tonton juga trailer rasmi pertama Minions: The Rise of Gru yang pernah kami kongsikan sebelum ini melalui pautan di bawah.

Tonton Trailer Rasmi Pertama Minions: The Rise Of Gru

Nikmati Ais Krim Terbaru Paddle Pop Minions Caramel And Chocolate

Sumber