Dah lama sebenarnya saya nak kongsi pengalaman kami suami isteri dengan seorang doktor pakar sakit puan yang sangat Islamik. Isteri saya mengandung kali pertama tahun 2013. Masa tu seronok bila dapat tahu isteri mengandung.

Pergi periksa di klinik, memang sah mengandung. Tak lama tu isteri saya gugur. Mungkin sebab tak arif lagi macam mana nak jaga kandungan, kami selalu keluar jalan-jalan.

huawei-cover-image-671×373
HYPE
Rasai Pengalaman Masa Akan Datang Dengan Peranti Terbaru HUAWEI Smart Life!
Baca lagi →

Lepas gugur tu kami lebih kenal dengan Dr Marsita Mansor, seorang pakar sakit puan. Klinik dia di Taman Melati. Masa tu dia panel di beberapa hospital, antaranya Columbia Asia Setapak, KPJ Ampang Puteri. Dan dia pernah bertugas sebagai doktor di Timur Tengah, lupa dah negara mana.

Sebenarnya kami pun kebetulan je kenal. Saja-saja nak pergi periksa gugur di klinik pakar tu memang rasanya bukan pilihan kami sebab saya kerja seorang sahaja. Isteri belum posting lagi. Memang kena jimat duit sangat masa tu.

Semasa isteri saya bleeding, saya bawa ke klinik biasa. Tapi doktor cakap tak boleh kesan sama ada betul-betul gugur atau tak. Alat yang klinik guna, gambar scan tak jelas. Jadi doktor di situ minta saya bawa isteri buat check up dengan kawan dia, Dr Marsita Mansor di Klinik Medina, Taman Melati. Doktor siap buat surat kes emergency kepada Dr Marsita. Kami pun pergilah ke Klinik Pakar Medina bawa surat tu.

Dah sampai klinik, isteri saya dapat rawatan hari tu juga. Padahal ramainya orang tunggu giliran dari siang tadi. Bila tanya dengan kakak kaunter tu baru kami tahu yang klinik tu tak boleh nak buat check up sesuka hati. Kena buat appointment paling kurang sebulan.

Isteri saya keluar dari klinik selepas buat rawatan gugur tu pukul 4 pagi, pun ramainya orang. Tapi rezeki kami dapat jumpa Dr Marsita sebab emergency kes tu. Lepas tu setiap kali appointment kami akan jumpa Dr Marsita dan tiap kali jumpa mesti kami dapat ilmu baru. Inilah yang saya nak share dengan kawan-kawan pasal pemakanan.

Perkara pertama yang kami teruja dengan sharing Dr Marsita ialah bila kami beli produk gamat. Masa check up tu kami bagitahu Dr yang kami beli produk gamat untuk cepatkan sembuh keguguran. Dr tak bagi minum. Terkejut juga sebab harga sebotol dalam RM70 lebih dah terbeli. Rupanya Dr cakap gamat tu superhealing. Maksudnya dia akan melekatkan apa yang tak sepatutnya lekat dalam perut bila kita minum. Kami pun buang saje sebotol besar tu. Dr cakap ini bukan cakap kosong, tapi berdasarkan kajian.

Nak kata Dr Marsita tak percaya dengan kaedah tradisional, tak juga sebab Dr memang pengamal herba. Di klinik dia penuh dengan produk-produk herba yang dijual.

Bila mengandung anak pertama pun, Dr Marsita tak bagi pil asid folik kepada isteri saya. Dr suruh makan kurma 7 biji setiap hari. Dalam tu ada banyak asid folik. Cukup dah untuk ibu mengandung.

Kemudian Dr ajar lagi, kalau tak lalu nak makan kurma 7 biji tiap hari, blender kurma tu banyak-banyak, simpan dalam peti ais, bolehlah minum setiap hari. Dr suruh kami buat sendiri je semua, jadi kami pun blender sendiri.

Disebabkan isteri saya check up dan bersalin kedua-dua orang anak dengan Dr ni, jadi kami memang rapat dengan Dr. Ada sekali tu saya bawa mak saya check up di sini, masa mak keluar dari bilik Dr Marsita, Dato’ Siti Nurhaliza pula masuk check up. Rupanya artis pun ada check up di sini.

Ramai yang suka dengan cara Dr Marsita yang Islamik, peramah, selalu doa masa merawat, masa nak mula rawatan pun mesti baca Bismillah. Sebab tu kami sanggup berjimat semata-mata nak dapatkan rawatan di sini. Bukan sebab nak berbangga dengan rawatan yang mahal, tapi sebab ilmu dan tip-tip yang selalu Dr bagi, rasanya tak ternilai harganya. Ning Baizura pun check up di sini tau.

Tip seterusnya, ada orang yang tak boleh telan minyak zaitun,kan? Saya dan isteri pun sama. Tapi bila cekalkan hati, demi kebaikan baby dalam kandungan tu, isteri saya, Aimi Nazihah, minum juga. Saya pun turut minum untuk bagi semangat kepada isteri. Saya tak susah sangat nak biasa sebab dulu penah amalkan masa aktif dalam dunia herba dengan HPA.

Dr cakap, ada seorang patient tu bila disuruh amalkan minyak zaitun, dia cakap Dr bagi dia makan sampah. Memang rasanya tak sedap. Tapi Alhamdulillah sampai sekarang kami masih amalkan. Lama-lama minum tekak jadi biasalah. Minum 1 sudu je pagi sebelum makan apa-apa.

Pati delima dan madu pun kami minum sampai sekarang. Ini juga yang Dr syorkan. Masa Insyirah umur 1 tahun pun kami dah bagi minum madu, minyak zaitun dan pati delima. Insyirah sangat suka minum. Pesanan untuk ibu bapa, bagus kalau kita boleh ajar anak amalkan benda-benda macam ni sejak kecil lagi. Bila dah besar taklah susah nak biasa dengan herba.

Madu ni ada satu lagi tambahan yang Dr ajar. Ambil air suam, campur madu, selepas itu letak 7 ke 8 urat za’faran (saffron). Za’faran ni kena beli yang debunga tu. Debunga asal dia. Jenuh jugalah kami cari kedai yang jual tu. Klinik tu ada jual tapi nak cari yang dekat dengan rumah. Bila warna air dah kekuningan, bolehlah minum. Aimi selalu bawa bekal pergi sekolah.

Dulu saya ni jenis suka makan kacang pagoda. Boleh hilang mengantuk makan masa memandu. Tapi sejak Dr ajar makan kacang-kacang yang berkualiti, saya tukar cara pemakanan. Harga memang boleh tahan mahal tapi fikir positif. Isteri saya Alhamdulillah boleh amalkan.

Badam, hazelnut, walnut, pistachio – semua sangat bagus untuk ibu-ibu mengandung amalkan. Beli banyak-banyak, ratah masa duduk saje di tempat kerja atau dalam kereta. Tapi dalam banyak-banyak kacang, paling tak sedap walnut sebab rasanya tawar.

Walaupun mencabar nak makan banyak-banyak, Dr cakap walnut ni bentuk dia pun Allah jadikan macam bentuk otak manusia. Jadi memang sangat baik untuk pertumbuhan otak baby dalam kandungan.

Oh lupa, ada 1 lagi, cranberry. Dr suruh makan cranberry sebagai ganti asam. Mak-mak yang mengandung mesti nak makan asam kan. Carilah cranberry lepas ni. Kalau tak tahu macam mana cranberry tu, Google je. Bagus sangat untuk kencing kotor.

Yang terakhir susu kambing. Ini semua orang tahu rasanya. Cumanya Dr kurang galakkan minum susu kambing dalam sachet sebab banyak creamer daripada susu. Lebih baik cari susu segar. Tapi kalau susah nak cari susu kambing segar, carilah susu Good Day. Minum setiap hari sebab baby perlukan banyak kalsium. Susu Good Day ni antara yang paling segar dari ladang sebab Dr ajar tengok tarikh luput dia, kejap je dah expire. Cari di supermarket mesti ada punya. Ataupun kalau takde sangat, bolehlah minum susu kambing yang sachet tu.

Walaupun saya jadi agen unit trust Public Mutual part time, tapi dalam sibuk pun, saya tetap usahakan jaga kualiti makanan anak-anak sampai sekarang. Masa isteri saya mengandung lagi Dr pesan jangan sentuh fast food. Kalau nak makan ayam pun beli yang organik atau cari ayam kampung. Sebenarnya banyak lagi ilmu yang kami dapat dari Dr Marsita. Tapi tak sempat nak kongsi di sini. Ini pun dah panjang lebar bercerita. Kalau ada masa Insyaallah saya kongsi lagi.

Kawan-kawan bolehlah cuba. Tak rugi pun kita melabur banyak untuk kesihatan. Insyaallah dividen yang Allah bagi sangat berbaloi.

Semoga bermanfaat.

Artikel di atas disumbangkan oleh Nik Mohd Fahmi. Guru. Boleh ikuti beliau di sini.

Anda Mungkin Suka