Aku di London beberapa hari lepas. Berhari-hari breakfast di kantin Malaysia, aku kerap ternampak satu group orang tua. Jalan perlahan pagi-pagi menuju kantin.

Biasanya mereka berempat, tapi pagi itu cuma seorang sahaja. Pakcik tua, mundar mandir depan kantin. Aku bagi salam. “Pakcik tunggu orang?” Saja tegur.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Tunggu anak dia pergi ambil kereta sewa. Aku tengok jam 9.15 pagi. Aku ajak pakcik tu turun dulu, minum sementara menunggu. Kami duduk. Order teh tarik dua. Pakcik tu layan nasi lemak telur.

“Pakcik nampak sihat lagi. Dapat jalan-jalan London. Larat ye pakcik.”

“Tongkat Ali. Power.” Ayat selamba gaya orang muda. Tapi jelas janggut putih, dahi kedut seribu. Kejap-kejap betulkan kopiah.

Kau buat apa disini? Berapa lama kau disini? Tidak mahu balik Malaysia?

Macam-macam soalan dia tanya. Aku layan je. Pakcik cerita, anak dia sudah 24 tahun bekerja di Swiss, jarang balik Malaysia. Memang pernah anak ajak tinggal sana, tapi belum sampai seru katanya.

“Memanglah hidup senang, gaji besar. Tapi aku jarang dapat jumpa dia. Biasalah, siapa tak sayang anak”, pakcik mula cakap perlahan. “Bapa kau masih ada?”

Aku geleng kepala.

“Mak?”

Aku angguk.

“Alhamdulillah. Ada orang yang mendoakan hidup kau. Jaga mak kau baik-baik. Itu tanggungjawab anak lelaki. Aku tak merasa pun sebelum ini anak aku jaga aku, sekarang ini baru dapat peluang sikit”, muka pakcik nampak sikit puas.

“Bawa dia jalan, tengok dunia. Masa dia masih larat. Tak payah London pun, Langkawi pun dia dah ok. Orang tua ini mahu bersama anak-anak. Mahu orang sayang dia. Bukan mahu cuti tempat jauh pun, tapi mahu sama-sama.”

Aku angguk laju. Tapi dalam kepala, aku ligat fikir bila kali terakhir aku bawa ibu jalan-jalan. Aku sendiri sudah lupa.

“Jangan pandang emak seperti minta macam macam. Ingat, dia yang basuh cebok berak kau dari kecil. Satu hari nanti yang muda akan tua. Akan rasa juga. Apa yang kita tabur dalam kehidupan, itu akan kita tuai hasilnya nanti.”, nada pakcik lembut mengingat.

“Sejauh mana kau pergi, balik dan ziarah. Dia bukan mahu duit, cukup dengan kau telefon. Sayang dia selagi ada kesempatan. Kalau dia tiada, hilang tempat syurga dunia kau. Ada beza orang ada emak dengan tiada emak.”

Aku teguk teh tarik macam orang haus buka puasa. Tak pasal mata berair, bila teringat ibu di kampung. Fikiran terus terbang balik Malaysia.

Beberapa lama kemudian, anak pakcik datang, sembang kami terhenti di situ. Tapi fikiran aku tidak berakhir begitu.

Buat pertama kali aku rasa tindakan nekad keluar negara itu langkah yang salah. Buat pertama kali aku rasa tidak menjadi anak lelaki yang sepatutnya.

Kadang aku terfikir mungkin umur agak lewat untuk kembara luar negara. Ketika umur 37, aku angkut anak isteri keluar mencari kehidupan. Saat itu aku juga ayah dan ibu aku tinggalkan.

Kawan-kawan, itulah kekurangan anak perantau yang jauh. Asalkan kau hidup di luar jauh dari mereka, dekat atau jauh, bukan soalnya.

Kita ini akan sentiasa berjauhan. Memang benar, peluang bersama mereka tidak lama. Siapa yang pergi dahulu kita belum tahu.Bila kita semakin sibuk, matang dan dewasa, mereka juga semakin tua.

Untuk yang masih punya orang tua, kita berdoalah. Tadahkan tangan dengan ingatan kepada mereka.

“Ya Allah lindungi ibubapa untuk aku, di saat jauh dan tidak berdaya. Berikan kegembiraan dan kesihatan di hari-hari tua agar tiap hela nafas mendekat dia pada Pencipta. Gantikan rasa rindu ini dengan pahala buat mereka supaya hilang gulana sepanjang aku tiada di depan mata. Moga kami bertemu lagi. Amin Ya Rabb.”

Bagi yang sudah kehilangan mereka, Al-Fatihah. Hidup kita tidak selama mana.

Catatan kembara
Irwan Dahnil
Anak Cikgu Laili
Bayswater, London