NATO telah keluarkan amaran risikan kepada negara anggotanya dan memberi peringatan mengenai pengerahan kapal selam nuklear Rusia ‘K-329 Belgorod’, yang membawa peluru berpandu nuklear Poseidon, juga dikenali sebagai Senjata Apocalypse, lapor akhbar harian Itali ‘La Repubblica’ Ahad.

Memetik laporan News 360, Kapal selam baharu itu dilancarkan pada Julai dan kini dilaporkan sedang menyelam di perairan Artik selepas dilaporkan terlibat dalam sabotaj saluran paip gas Nord Stream, menurut beberapa sumber tidak rasmi.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Amaran daripada NATO ini difahamkan adalah kebimbangan bahawa Rusia bakal memulakan perang nuklear selepas negara itu dikatakan bakal menguji peluru berpandu Poseidon, torpedo yang mampu bergerak sehingga 10,000 kilometer di bawah air dan bakal meletupkan tsunami radiaktif.

Peluru berpandu berkuasa besar buatan Rusia ini telah diperkenalkan pada 2018. Tujuannya adalah untuk memastikan bahawa kekuasaan Rusia di Eropah tidak tergugat. Bagaimanapun, pakar nuklear berhujah bahawa kesan yang sama boleh dicapai dengan peluru berpandu antara benua seperti yang beroperasi sejak 1960-an.

Amerika Syarikat pula kini telah mengaktifkan satelitnya bagi mengesan kesan haba yang dikeluarkan oleh peluru berpandu yang diaktifkan. Bagaimanapun, satelit tersebut tidak mampu untuk mengesan apa-apa aktiviti peluru berpandu yang berada di bawah laut.

‘Belgorod’ mempunyai panjang 184 meter dan lebar 15 meter, ia boleh bergerak dengan kelajuan kira-kira 60 kilometer sejam di bawah air. Difahamkan bahawa ia boleh menyelam selama 120 hari tanpa perlu muncul ke permukaan.

Selain torpedo tersebut, antara senjata lain yang dimiliki oleh kapal selam K-329 ialah peluru 24 meter yang mampu membawa hulu peledak nuklear kira-kira dua megaton. “Ia adalah jenis senjata yang sama sekali baru, yang akan memaksa tentera laut Barat mengubah perancangan mereka dan membangunkan langkah pertahanan baharu,” kata pakar HI Sutton, menurut ‘La Reppubblica’

Untuk rekod, Rusia kini telah dikenakan pelbagai sekatan ekonomi selepas mereka menyerang Ukraine sejak pertengahan tahun ini. Perang yang dicetuskan oleh Rusia ini telah menyebabkan kesan ekonomi yang besar kepada dunia dan ia juga telah mendapat kritikan meluas daripada negara Eropah dan Amerika Syarikat.