Akaun Twitter Netflix Malaysia sejak beberapa hari ini menjadi bualan hangat dalam kalangan netizen tempatan terutama mereka yang berada di aplikasi Twitter.

Ia susulan terdapat gesaan secara beramai-ramai agar akaun media sosial syarikat penstriman itu menggunakan bahasa Malaysia dalam ciapan mereka- sama seperti yang dilakukan di negara luar.

Melalui perkongsian dan semakan yang dibuat, beberapa akaun Twitter milik Netflix dari negara seperti Thailand, Jepun dan Brazil menggunakan bahasa kebangsaan mereka.

Namun, untuk Netflix Malaysia (@NetflixMY) mereka dilihat menggunakan bahasa Inggeris dalam ciapan dan juga di ruangan bio di akaun tersebut.

Berikut adalah salah satu ciapan yang dibuat akaun Netflix Malaysia di Twitter untuk berinteraksi bersama pengikut yang menggunakan bahasa Inggeris.

Susulan daripada perkongsian dan perbandingan tersebut, rata-rata netizen sejak Jumaat mula membanjiri media sosial dengan perbincangan mengenai perkara tersebut.

Seperti mana perkara tular lain sebelum ini yang terbahagi kepada dua pihak, situasi sama juga turut berlaku dengan isu ini.

Melalui pemerhatian di media sosial terdapat ramai yang bersetuju agar akaun Twitter syarikat penstriman itu menggunakan bahasa Malaysia dan mencontohi negara lain terutamanya Indonesia.

“Utamakan bahasa kebangsaan, kuasai bahasa asing.

“Bukannya utamakan bahasa asing, sisihkan bahasa kebangsaan,” komen salah seorang netizen.

Namun terdapat juga sebahagian netizen yang berpendapat perkara berkenaan sepatutnya tidak menjadi isu.

Terutamanya adalah kebolehan masyarakat kita menggunakan bahasa Inggeris dengan baik dan ianya juga bukanlah perkara yang sepatutnya menjadi perdebatan terutamanya di saat negara kita (dan seluruh dunia) sedang berhadapan dengan pandemik.

“Sebagai rakyat Malaysia kita sepatutnya mampu bercakap dua bahasa (bilingual).

“Kemampuan berbahasa Inggeris kita juga lebih baik daripada negara-negara yang disenaraikan.

“Benda bukan isu, tak perlu dijadikan isu,” jelas netizen.

Walaupun tidak menggunakan bahasa Malaysia dalam ciapan mereka, namun Netflix Malaysia sebelum ini pernah memperkenalkan bahasa Malaysia untuk tetapan antara muka (UI) di platform mereka.

Pilihan itu membolehkan pelanggan di Malaysia mengatur UI, membaca judul serta sinopsis, dan menonton rancangan serta filem dengan sari kata dan alih suara Bahasa Melayu.

Baca perkongsian kami sebelum ini mengenai pengenalan antara muka (UI) Netflix dalam bahasa Malaysia melalui pautan di bawah. 

Rakyat Malaysia Kini Boleh Nikmati Netflix Dalam Bahasa Melayu

Kemunculan Tandatangan Tun Mahathir Dalam Siri Drama Netflix Curi Perhatian Netizen

Kerana Kes Abang Burger, Filem One Two Jaga Kembali ‘Panas’ Di Netflix