Netizen telah mengusulkan agar pereka fesyen terkenal, Dato’ Rizalman Ibrahim dilantik sebagai Lembaga Pengarah UiTM yang baharu menggantikan pemilik jenama dUCk, Vivy Sofinas Yusof.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Vivy Yusof sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan di tengah-tengah situasi COVID-19 di mana beliau mempersoalkan bantuan yang disalurkan oleh kerajaan kepada golongan B40.

Bagi netizen, kredibiliti yang ada pada anak kelahiran Pulau Pinang, Dato’ Rizalman sebagai alumni dan bekas pelajar jurusan Seni Lukis dan Seni Reka (Fesyen) di UiTM antara faktor yang melayakkan beliau memegang jawatan tersebut.

“Ini baru betul the real alumni and betul-betul respected and successful figure,” kata @FarhuntFadil dalam ciapannya di laman Twitter.

Ciapan ini telah mendapat lebih 13,000 perkongsian di laman Twitter dengan kebanyakan netizen menyokong jika lantikan dibuat kepada Dato’ Rizalman.

Dalam masa yang sama, netizen juga telah melancarkan satu petisyen meminta Vivy Yusof meletak jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah UiTM susulan kenyataan sebelum ini.

Tidak pasti siapa di belakang petisyen ini, namun antara alasan kenapa petisyen ini wujud adalah kerana Vivy telah gagal menjaga nama baik selaku Ahli Lembaga Pengarah UiTM.

Melalui pemerhatian kami pagi tadi, laman petisyen ini telah ditutup selepas pengelola berjaya mencapai angka yang mereka mahukan iaitu 35,000 tandatangan bagi mendesak Vivy untuk melepaskan jawatannya.

https://twitter.com/adilahrostam/status/1244602206445174785

Sebelum ini, Vivy telah dikritik teruk selepas tindakan beliau membalas komen dengan seolah-olah menyokong kenyataan seorang pengguna Instagram yang mempersoalkan bantuan yang diberikan oleh kerajaan kepada golongan B40 dan M40.

Permohonan maaf telah dilakukan oleh pihak Vivy di mana beliau mendakwa bahawa kenyataannya telah diputar belit, namun ia tidak cukup untuk mententeramkan perasaan marah netizen dan golongan yang terkesan sejak Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa.

Untuk bacaan lanjut mengenai isu COVID-19 yang melanda negara, klik pautan di bawah.

Netizen ‘Salah Faham’ Kenyataan Artis Rayu Bantuan Khas COVID-19?

Bagaimana Rakyat Malaysia Boleh Bantu Bangunkan Semula Ekonomi Negara Selepas COVID-19